1 May 2020

Reaksi Pembaca Beta — Cerpen Empat


Sebuah lagi cerpen baharu ditulis pada 28 April 2020. Saya mengirim petikan sekitar 150 perkataan, iaitu bahagian awal cerpen itu (belum tersiar), kepada sekumpulan pembaca beta yang menawarkan diri secara sukarela. Berikut reaksi ikhlas yang diterima:

“Ya, saya tertarik membaca petikan awal cerpen ini walaupun saya kurang berminat dengan isu politik. Saya rasa cerpen ini agak menarik kerana cara penyampaiannya membuatkan saya mahu terus membaca. Bahasa yang digunakan mudah difahami dan saya dapat kaitkan cerpen ini dengan era politik pada zaman saya. Gaya bahasa sememangnya mudah difahami dan pemilihan perkataan yang sesuai memudahkan pemahaman saya terhadap teks ini. Watak ‘Dia’ mungkin akan menginspirasi para remaja untuk bangkit menjadi pemimpin yang berkaliber dan cemerlang dalam politik.” Anuradha Chelliah

“Saya amat tertarik membaca petikan awal cerpen ini dan ingin mengetahui lanjutan cerita. Saya juga ingin mengetahui sebab watak dipenjarakan dan mengapa kini dia enggan menunjukkan nilai-nilai baik yang pernah ada pada dirinya. Gaya bahasa dan gaya penulisan amat menarik untuk dibaca dan mudah difahami; menjadikan saya ingin mengetahui kesudahan cerpen. Pada pendapat saya, penulis akan menerangkan sebab watak ‘Dia’ masuk penjara dan dianaiaya walaupun dia pernah menjadi seorang yang mempunyai nilai-nilai perikemanusiaan dan empati sebelum masuk penjara.” — Darrshini a/p S. Murgan

“Pembaca ingin tahu apa agaknya punca kemarahan watak ‘Dia’ sehingga sanggup membalas dendam tanpa belas kasihan. Bahagian awal cerpen ini sudah menimbulkan perasaan ingin tahu tentang misteri di sebalik kemarahan watak ‘Dia’ sehingga sanggup melihat kemusnahan seseorang. Gaya bahasa dan gaya penulisan yang digunakan adalah sangat menarik dan baik. Pada pendapat saya, watak ‘Dia’ dalam cerpen ini akan membuat rancangan yang kejam dan licik untuk membalas dendam terhadap ‘mereka’.”Diviya Devaraj

“Permulaan cerita yang agak menarik kerana membuatkan pembaca tertanya-tanya mengapa watak utama ingin membalas dendam. Saya ingin mengetahui kesudahan cerpen ini dan punca watak utama ingin membalas dendam. Pada penelitian saya, bahasa istana klasik digunakan dalam cerpen ini dan gaya penulisan bercorak cerita raja-raja. Pada pendapat saya, watak utama akan cuba membalas dendam dan watak-watak yang mengkhianati watak utama akan menyesal atas salah laku mereka.” Elavarassan a/l M. Suppiah

Saya sukakan cerita tentang kehidupan, nasib manusia, dan perjuangan yang ditempuhi, sama ada untuk diri sendiri atau negara. Saya ingin tahu apakah tindakan ‘Dia’, yang pendirian dan pemikirannya berubah 360 darjah selepas dibebaskan dari penjara, dalam merangka agenda membalas dendam kesumatnya. Gaya bahasa adalah lancar dan senang difahami. Gaya penulisan membawa pembaca untuk mengaitkan kepada kisah benar yang berlaku dalam negara. Walaupun ia mungkin tidak sama kerana cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak terkait dengan yang hidup atau mati, namun jiwa pembaca tetap tertarik ke arah itu.  Pembaca ingin mempercayainya begitu. Membaca cerita sambil boleh membayangkan di depan mata dan ruang minda ternyata lebih memberi kepuasan jiwa. Pada pendapat saya, ‘Dia’ akan merencana dan melaksanakan pelan membalas dendam kesumatnya dengan cara yang licik sehingga mereka yang menghumbannya ke penjara akan musnah sama sekali.” — Hanisa Hosni


Cerpen ini seolah-oleh berkait rapat dengan politik, kuasa, dan dendam di mana ia mengingatkan saya pada ideologi politik oleh Machiavelli. Bagi saya, agak kurang cerpenis menyentuh isu politik yang digambarkan dengan konotasi negatif dan ia sangat diperlukan. Gaya bahasa ringkas, tidak berbelit, bersifat minimalis, terselit metafora dan memiliki proses penulisan plot yang menarik. Pada andaian saya, watak ‘Dia’ akan menyertai semula politik dengan menubuhkan parti baharu bersama sisa pengikutnya, lalu merancang kemusnahan pihak yang mengkhianatinya dahulu.” Jaymani Sevanathan

“Ada unsur dendam yang dipaparkan dalam diri watak utama pada petikan awal cerpen. Sebagai pembaca, saya ingin mengetahui punca perasaan dendam tersebut. Saya berminat untuk membaca cerpen ini sepenuhnya kerana ingin mengetahui adakah kemusnahan yang diinginkan oleh watak itu berjalan seperti yang dirancang atau sebaliknya. Gaya bahasa dan gaya penulisan sangat relevan dalam menggambarkan kekecewaan serta dendam dalam diri watak. Pada pendapat saya, watak ‘Dia’ akan berjaya melaksanakan dendamnya. Namun, setelah melihat kemusnahan yang berlaku, watak itu tidak dapat merasai kemenangan moral yang diinginkannya.” Khairani Binti Abd Samad

Saya hendak tahu apakah  tindakan banduan (yang berminat dalam bidang politik) seterusnya. Siapakah banduan itu? Kenapa dia dipenjarakan? Soalan-soalan ini wujud sewaktu membaca petikan awal cerpen ini. Kisah yang berunsur politik ini pasti mempunyai persamaan dengan keadaan politik semasa negara. Perasaan ingin tahu kisah selanjutnya hadir dalam diri saya. Gaya bahasa mudah dan tidak ada istilah bombastik. Gaya penulisan yang berusur saspens meningkatkan perasaan ingin tahu walaupun hanya membaca beberapa perenggan awal. Susah untuk memberi andaian tentang kesudahan cerita kerana masih kabur siapakah banduan itu dan pembaca tidak tahu sama sekali mengapa dia dipenjarakan.” M. Mahendran

“Saya tertarik dengan gaya bahasa dan penceritaan. Boleh jadi, cerita ini berkisar tentang politik. Sudah pasti saya ingin mengetahui cerita lanjut. Selain susunan gaya bahasa yang mudah difahami, cerita pun menarik. Pada saya, gaya bahasa yang digunakan pada petikan awal ini mudah difahami dan tidak terlalu berat atau bosan. Memang susah untuk membuat ramalan kesudahan cerita kerana belum tahu sepenuhnya cerita genre apakah ini. Saya mengagak kemungkinan akan ada cerita imbasan kembali kenapa dan bagaimana terjadinya peristiwa ini.” — Mohd Abu Sopian @ Abu Sufyan b. Wahab

“Saya tidak tertarik membaca petikan awal cerpen ini kerana pada pandangan saya, ceritanya berbaur isu politik. Saya tidak minat dengan politik! Jadi, saya tidak tertarik. Walaupun saya tidak tertarik, saya masih hendak tahu apakah kesudahan cerita. Adakah orang itu berjaya menghapuskan kedua-dua musuhnya? Gaya bahasa mudah untuk dibaca tetapi tiada ayat atau ungkapan yang meremang bulu roma saya. Walau bagaimanapun, saya suka ayat terakhir pada bahagian intro ini. Pada pendapat saya, mungkin watak itu akan berjaya memusnahkan musuhnya, lalu menjadi ahli politik walaupun dia tidak berniat demikian. Mungkin dia akan ke penjara lagi!” Murali Mohan


“Saya sangat tertarik untuk membaca kesudahan cerita ini. Intro yang menarik pada pendapat saya. Unsur-unsur saspens membuatkan saya tertanya-tanya akan kesudahan cerpen ini. Gaya bahasa dan penulisan yang digunakan juga baik. Pada pendapat saya, mungkin kisah ini akan memaparkan pelbagai lagi konflik yang dialami oleh watak utama, iaitu kisah-kisah pembalasan dendam.” Noraini Abd Rahman

“Saya tidak tertarik membaca petikan awal cerpen ini.  Sound very negative.  So sorry. (Kedengaran sangat negatif. Maaf.) Saya juga tidak berminat membaca sambungan cerita ini kerana latar belakang seolah-olah yang berunsurkan politik. Gaya bahasa dan gaya penulisan yang digunakan sangat formal.” Noriah Abdul Malek

“Petikan bahagian awal cerpen ini menguji pemikiran pembaca untuk mengetahui perkembangan cerita seterusnya. Pembaca juga ingin tahu watak sebenar cerpen tersebut. Saya berminat untuk membaca cerpen ini sebenarnya untuk mengetahui mesej yang mahu disampaikan oleh pengarang. Gaya bahasa yang digunakan mudah difahami dan tidak merumitkan pembaca. Struktur ayat jelas. Pada andaian saya, cerpen akan menggambarkan bagaimana dendam watak ‘Dia’ mungkin tercapai suatu hari nanti akibat seksaan yang dihadapinya. Watak itu mungkin percaya pada hukum karma.” Richard Ignacy

Petikan awal cerpen ini menimbulkan rasa ingin tahu saya terhadap perkara yang terjadi sehingga menjadikan ‘Dia’ seorang yang mementingkan diri. Saya mahu mengetahui kesudahan cerita sama ada watak itu akan mengubah pendiriannya dan menjadikan mimpi sebelum ini nyata atau kekal sebagaimana sekarang. Gaya penulisan yang digunakan agak straightforward dan memudahkan saya memahami setiap ayat. Saya tidak dapat mengagak cerita selanjutnya tetapi saya percaya ‘Dia’ seorang yang positif dan akan membawa kebenaran kepada pembaca di sebalik penderitaan yang pernah dilalui.” Rupasree a/p Ganesan

Dari ayat pertama sudah boleh merasai ‘kekecewaan’ yang cuba digambarkan oleh penulis. Saya ingin mengetahui lebih lanjut apa punca ‘kekecewaan’ dan ‘kemarahan’ yang dialami oleh watak ‘Dia’. Kenapa sampai ke tahap itu ‘marah’nya. Adakah kerana ‘seni’ politik itu tersangat ‘kotor’ dan tidak berupaya bagi watak itu mengikut ‘rentak songsang’ para politikus yang hanya pentingkan tembolok sendiri? Ada rasa kecewa dan nada marah yang dapat dihayati pada setiap baris ayat. Apa yang akan berlaku seterusnya? Mungkin kesan permulaan daripada lama terkurung di penjara dan merasakan berlakunya ketidakadilan dalam ‘sistem’ yang dicipta manusia. Individu yang jujur, amanah, dan pentingkan kebajikan rakyat dihukum tanpa sebab tapi individu yang melakukan kerosakan sebenar lepas bebas. Mungkin juga di kemudian hari, watak ‘Dia’ akan tetap meneruskan perjuangannya apabila merasakan kebajikan rakyat dan kemajuan negara adalah lebih utama berbanding diri sendiri. ‘Dia’ akan meneruskan pengorbanan membersihkan ‘sistem’ sedia ada yang kotor dan penuh tipu daya demi kehidupan generasi akan datang. Demikian andaian saya.” Rushida Binti Abdul Wahid


Saya amat tertarik dengan petikan awal cerpen ini kerana ia menunjukkan semangat kendiri yang begitu tinggi. Watak ‘Dia’ mewujudkan nilai tidak mahu mengaku kalah walaupun sudah beberapa kali mengharungi kegagalan. Ya, saya berminat dan tidak sabar untuk mengetahui penghujung cerpen ini kerana watak ‘Dia’ menyemat perasaan dendam yang teramat. Saya ingin mengetahui siapakah watak-watak yang menyebabkan individu itu terkandas dalam kehidupan sehingga dihambun ke penjara. Gaya bahasa yang digunakan adalah berbentuk perlambangan. Penegasan maksud amat ketara pada ayat ‘dendam kesumat sudah mendarah daging’. Gaya bahasa citra pula menggambarkan betapa kejam pihak lawan sehingga ‘Dia’ mahu memastikan kesemua mereka menderita. Penulis menggunakan teknik naratif yang menghasilkan nukilan yang kreatif. Pada pendapat saya, watak ‘Dia’ akan berbaik dengan kesemua mereka, iaitu bersandirawa menjalin persahabatan pada mulanya, tetapi pada penghujung cerita akan memberikan satu tamparan hebat sehingga mereka (musuh politik) tidak boleh melupakan tindakan itu.” — Saratha Ramdass

Saya tertarik untuk membaca ceerpen ini selanjutnya kerana ada unsur saspens yang membangkitkan rasa ingin tahu. Ada persoalan dalam minda saya yang memerlukan jawapan dan hanya penulis yang mampu memberikan jawapan (menerusi cerpen penuh). Gaya bahasa yang mudah difahami dan gaya penulisan yang menimbulkan rasa teruja. Mengikut firasat saya, akan ada unsur imbas kembali dalam cerpen ini. Apakah akan berlaku perebutan kuasa dan peperangan?” Thanusya Shanmuganathan

“Petikan cerpen ini membuatkan pembaca ingin tahu apakah yang berlaku pada zaman silam kepada watak utama dalam cerpen ini. Petikan awal memberi sedikit gambaran tentang musnahnya impian seorang yang mempunyai semangat kental untuk mencapai kejayaan. Namun, sesuatu telah berlaku pada zaman silam sampai dia dipenjarakan. Plot petikan ini membuatkan pembaca berfikir apakah yang telah berlaku pada zaman silam. Gaya bahasa yang terdapat dalam petikan ini adalah diksi dan bahasa kiasan. Penulis menggunakan perkataan yang sesuai, jelas dan khusus. Perkataan yang digunakan mempunyai hubungan dengan ayat. Contohnya: ‘Kekecewaan demi kekecewaan yang dialami telah membunuh mimpi lama.’ Seterusnya, bahasa kiasan pula boleh kita melihat dalam ayat ‘Walaupun dia diberi pengampunan diraja dan dibebaskan dari penjara, dendam kesumat sudah mendarah daging bersama setiap butir nasi yang disuap ke mulut sepanjang berada dalam tahanan.’ Pada pendapat saya,  watak utama akan tahu siapakah dalang utama yang membuatkan dia dipenjarakan. Mungkin kawan karib atau musuh.” — Varatharasan Subramaniam

Cerpen ini berkisar tentang dendam seseorang, dipercayai watak utama, yang merupakan seorang ahli politik. Watak ‘Dia’ menyatakan ingin membalas dendam terhadap seterunya. Hal ini membuatkan pembaca tertanya-tanya apakah yang ingin dilakukan dalam usahanya membalas dendam. Cerpen yang bertema thriller politik sebegini jarang diangkat dalam penulisan cerpen menjadikannya agak unik. Sebagai pembaca, saya tertanya-tanya apakah tindakan yang akan dilakukan dan bagaimanakah pengkahirannya. Laras bahasa yang mudah dan ringkas memudahkan pemahaman pembaca. Selain itu, simpulan bahasa serta peribahasa yang digunakan sangat tepat dan menguatkan lagi asas gaya bahasa dan penulisan cerpen. Apa yang akan berlaku seterusnya? Terdapat dua kemungkinan. Pertama, watak utama akan meneruskan agenda dan berjaya memusnahkan seterunya. Kedua, sebagai kebiasaan ahli politik, watak utama mungkin berubah fikiran dan menyertai salah satu parti susulan tawaran yang diberikan.” Wan Nurhidayat bin Wan Muhamad

Saya ingin mengetahui lanjut apa yang protagonis akan buat setelah dibebaskan dan keluar penjara. Saya ingin mengetahui apa yang dimaksudkan dengan ‘Biar aku meraikan kemenangan moral melihat kemusnahan mereka.’ Ada elemen-elemen schadenfreude dan mencurigakan. Gaya bahasa dan penulisan boleh difahami. Tidak terlalu rumit dari segi penbendaharaan kata. Penulisan ditulis seperti potongan yang kemas dan teliti secara disengajakan. Seterusnya dalam cerpen ini, pada pendapat saya, akan ada pertarungan fizikal atau mental/minda dan psikologi protagonis.” Weng Poh Leng @ PL Weng


Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]



Setiap reaksi yang diberi amat bernilai dan amat saya hargai dalam usaha berterusan menjadi penulis yang mampu menghasilkan karya bermutu. Saya [Uthaya Sankar SB] mendoakan supaya para pembaca beta terbabit sentiasa dirahmati dan dimurahkan rezeki.