11 Jan 2010

Hanuman: Potret Diri

“Biarlah kera putih bermata hijau ini hadir menyerikan mimpi indah kalian.”
.

Seperti yang disebutkan pada bahagian blurb novel Hanuman: Potret Diri (DBP: 1996) setebal 128 halaman ini, Ramayana adalah epik India yang tersebar luas ke seluruh dunia.

.

Dua versi terkenal dalam kalangan masyarakat India adalah versi asal Valmiki (Bahasa Sanskrit) dan versi Kamban (Bahasa Tamil).

.

Melalui adaptasi dan interpretasi setempat, maka lahir pula Hikayat Seri Rama di Malaysia dan Ramakien di Thailand.

.

S.M. Zakir telah menghasilkan novel Kembang Kanigara (DBP: 1992) yang mengkhusus pada watak Indrajit, anak Rawana.

.

Melalui Hanuman: Potret Diri (DBP: 1996) pula, kita diberi peluang mendengar luahan hati Hanuman terhadap segala apa yang terdapat di dalam dan di luar Ramayana, Hikayat Seri Rama dan Ramakien.

.

Sebagai sebuah novel retorik berunsur parodi, Hanuman: Potret Diri hampir terpesong langsung daripada epik kudus Ramayana. Misalnya, dalam Ramayana, watak Rama berketurunan Arya manakala Ravana berketurunan Dravida. Hal yang sebaliknya pula dikemukakan dalam Hanuman: Potret Diri.

.

Novel lima belas bab ini mengambil latar masa tidak sampai sehari; dari subuh hingga senja. Kisahnya tentang Hanuman, kera putih bermata hijau yang mengganti Rama sebagai maharaja Kerajaan Indus di Lembah Sindhu.

.

Pada malam sebelumnya, Hanuman telah bermimpi terdapat seorang manusia duduk di takhta kerajaan. Sejak itu, fikirannya mula melayang mengenangkan segala kejadian masa lalu. Tambahan pula, hari itu menandakan genap setahun “pemergian” Rama dan Sita.

.

Hanuman mengunjungi makam Tamnat Gangga. Di situlah Hanuman yang berumur tiga puluh tahun bercerita secara langsung kepada para pembaca tentang segala apa yang berlaku sejak hampir lima puluh tahun terdahulu.

.

Untuk membolehkan kita menghayati sepenuhnya novel ini secara kritikal, kita wajar terlebih dahulu membaca Ramayana.

.

Walau bagaimanapun, Hanuman: Potret Diri masih boleh dibaca secara tekstual tanpa mengaitkannya dengan epik-epik terdahulu.

.

Kisah dalam Hanuman: Potret Diri menyimpang daripada teks Ramayana. Misalnya, Hanuman menjadi Maharaja pada usia 29 tahun. Dia menagih kasih sayang ibu bapa kandungnya.

.

Benarkah segala hipotesis yang dikemukakan? Mengapa pula Hanuman lahir sebagai kera? Mengapa dia tidak menerima kasih sayang ibu bapanya? Siapakah Tamnat Gangga? Malah, siapakah wira sebenar dalam kisah perang Rama dan Ravana?

.

Itulah antara persoalan pokok dalam novel ini. Penyampaian cerita melalui penggunaan sudut pencerita orang pertama ("Aku" @ Hanuman) benar-benar mampu memikat hati pembaca remaja mahu pun dewasa. Begitu juga ilustrasi kulit yang menggambarkan Maharaja Hanuman duduk termenung atas singgahsana.

.

Di akhir novel terdapat penerangan ringkas mengenai setiap watak. Ia sangat berguna bagi mereka yang tidak pernah membaca Ramayana. Tetapi ada fakta yang sengaja diputar-belitkan bagi merangsang pemikiran kreatif dan kritikal dalam kalangan pembaca.

.

Watak-watak dalam novel ini bukan lagi sekadar hitam dan putih. Rama ditampilkan sebagai manusia tiga dimensi berperwatakan kelabu. Begitu juga dengan Sita, Letchumanen (Laksamana), Surgiwa, Indrajit dan Ravana (Rawana).

.

Cerita berjalan lancar secara dramatik. Imbas kembali pula berlaku secara spontan; tanpa disedari. Pembaca perlu teliti untuk membezakan antara “masa kini” dan “masa lalu”.

.

Hanuman: Potret Diri mungkin mengingatkan pembaca kepada cerpen-cerpen parodi karya Uthaya Sankar SB yang tersiar di akhbar Mingguan Malaysia sebelum ini.

.

Antaranya “Bitara Sita”, “Sengketa Pulau Cinta” dan “Sasterawan Pulau Cinta”.

.

Unsur parodi dan penyimpangan daripada teks Ramayana terus menjadi “mainan” penulis prolifik ini dalam Hanuman: Potret Diri.

.

Novel ini bukannya bacaan ringan. Pembaca diajak untuk mentafsir, menginterpretasi serta menghayati potret diri Hanuman dan watak-watak lain dalam novel ini secara kritikal.

.

Yang pasti, Hanuman: Potret Diri menjanjikan “kejutan budaya” kepada mana-mana pembaca yang selama ini menyempitkan fikiran dan mengagung-agungkan keperwiraan Rama.

.

Bersediakah anda? Biarlah kera putih bermata hijau ini hadir menyerikan mimpi indah kalian …
.

Catatan: Selepas saya berusaha sejak 13 Februari 2007, akhirnya pada 21 Disember 2009, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lagi mempunyai alasan untuk menghalang saya daripada mengambil semula hak penerbitan terhadap kumpulan cerpen Orang Dimensi, Siru Kambam dan Surat Dari Madras; selain novel Hanuman: Potret Diri dan cerita rakyat Nari! Nari! Uthaya Sankar SB

..

Catatan 2: PEMENTASAN teater Hanuman dalam bentuk wayang kulit dan wayang wong berlangsung di Yayasan Warisan Johor, Jalan Mariamah, Johor Bahru, Johor, pada 9 Julai 2005 pukul 8.30 malam. Skrip teater Hanuman ditulis berdasarkan novel parodi retorik Hanuman: Potret Diri karya Uthaya Sankar SB.

2 comments:

  1. Salam tuan..saya adalah peminat novel karya tuan..saya amat berharap untuk memiliki karya Kembang Kanigara dan Hanuman:Potret Diri.

    Harap tuan dapat membantu saya.

    ReplyDelete
  2. qalam_timur: Harap sudi hubungi saya di uthayasb@yahoo.com.my

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!