11 Jan 2010

Panchayat

Panchayat Memaksa Pembaca Berfikir

Pengulas: Retna Devi Balan

.

“Saya sudah menjadi balu.”

Ramani masuk. Matanya terbeliak melihat keadaan saya.

“Malliga!”

.

Elemen kejutan dan plot yang tidak dapat diduga adalah keistimewaan sasterawan yang tidak asing lagi dalam dunia sastera Bahasa Malaysia iaitu Uthaya Sankar SB. Aspek ini tidak ketinggalan dalam novel Panchayat yang beliau terbitkan sendiri setelah manuskrip berkenaan mengalami nasib malang di tangan beberapa editor sebuah penerbitan.

..

Tujuh tahun terdahulu, Uthaya menghasilkan novel sulung Hanuman: Potret Diri, sebuah novel parodi retorik yang berjaya menambat hati pembaca remaja dan dewasa sehinggakan setiap peminat setia beliau ternanti-nantikan kemunculan novel beliau yang seterusnya.

..

Uthaya ternyata tidak mengecewakan harapan pembaca dan peminat sastera Bahasa Malaysia. Walaupun ini hanya merupakan usaha kedua beliau menulis novel, Uthaya menampilkan penulisan mantap yang meletakkan beliau sebaris dengan kelompok sasterawan mapan tanah air.

.

Plot novel Panchayat mencabar pemikiran pembaca kerana amat kompleks; dan boleh pula dibaca pada pelbagai lapis makna. Novel ini pasti bukan untuk pembaca yang malas atau mereka yang mahukan pembacaan ringan. Seorang pembaca harus meneliti penanda dan petanda yang bertaburan sepanjang novel untuk mengikuti serta memahami plot dan makna yang cuba diungkapkan oleh pengarang.

..

“Apa sudah terjadi pada keadilan? Apa sudah terjadi pada panchayat yang sepatutnya membela orang yang tidak bersalah?”

..

Pokok persoalan novel Panchayat terletak pada petikan di atas yang diambil dari halaman 23. Namun, novel ini turut mempersoalkan pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan kepercayaan dan tradisi masyarakat India.

..

Novel ini boleh dibaca dan difahami pada pelbagai lapis makna mengikut tahap intelektualiti masing-masing. Sebab itulah juga novel ini boleh dibaca oleh khalayak umum tanpa batas kaum, agama, status sosial, profesion dan ideologi.

..

Apa yang pasti, novel Panchayat tidak membenarkan pembacaan yang pasif; sebaliknya memaksa pembaca terlibat secara aktif agar dapat mengupas persoalan-persoalan yang diutarakan dengan lebih teliti.

..

Uthaya mengajukan lebih banyak persoalan yang merayu untuk diselesaikan bagi setiap persoalan yang terjawab. Teknik ini bukan sahaja ditampilkan dalam novel Panchayat tetapi dalam semua penulisan beliau; selari dengan pegangan beliau yang hanya menulis untuk khalayak berotak; yakni pembaca yang mampu berfikir.

..

Kubur Gajah merupakan latar yang dipilih oleh Uthaya untuk memaparkan kisah Panchayat. Pembaca tidak dapat lari daripada berfikir bahawa Kubur Gajah sengaja diberikan pewarnaan tempatan supaya bersesuaian dengan konteks Malaysia. Jika beberapa watak diubah, latar Kubur Gajah boleh sahaja berubah menjadi sebuah gramam (kampung) di India, dari mana berasalnya konsep panchayat iaitu majlis timbang tara peringkat kampung.

..

Watak-watak utama novel ini adalah watak bundar yang berjaya menyentuh perasaan pembaca. Ada kalanya menimbulkan perasaan geram; ada kalanya mengundang perasaan gembira – bagaikan berinteraksi dengan watak-watak sebenar. Aspek ini memang terbukti dikuasai dengan baik oleh Uthaya dalam cerpen-cerpen serta novel sulungnya sebelum ini.

..

Uthaya turut menunjukkan kehebatan dari segi penonjolan perwatakan. Beliau tidak “memberitahu” (tell) sesuatu perkara mengenai watak dan perwatakan tetapi membiarkan perlakuan, percakapan dan aksi watak menunjukkannya. Teknik to show dan to suggest yang sering gagal ditangani kelompok penulis muda sentiasa berjaya digunakan oleh Uthaya untuk mencapai maksud yang diinginkan olehnya.

..

Contohnya:

.

Ramani menggeleng. Dia cepat-cepat mengesat air di pipi. Tapi ternyata tindakan itu belum cukup berupaya menyembunyikan kesedihan hati.

..

Satu lagi aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam novel ini adalah sudut penceritaan yang digunakan oleh sasterawan generasi muda ini. Setiap bab menggunakan sudut penceritaan yang berbeza. Ini agak mengelirukan bagi seorang pembaca biasa (average reader) kerana hanya setelah membaca beberapa baris, dapat disimpulkan bab itu ditulis dari sudut pandangan siapa.

..

Ada kalanya memerlukan pembacaan teliti lebih dari sekali untuk menentukan sudut pandangan tersebut. Aspek ini boleh menjadi satu bentuk gangguan yang menghambat fikiran bagi pembaca yang tidak menumpukan sepenuh perhatian semasa membaca Panchayat.

..

Kekuatan novel ini turut terletak pada beberapa teknik yang digunakan oleh Uthaya. Teknik-teknik ini telah membantu mengekalkan momentum penceritaan dari awal hingga akhir. Unsur suspen yang menyelubungi hampir keseluruhan novel ini mengajak pembaca untuk terus membaca walaupun mata meminta rehat.

..

Teknik imbas kembali (flashback) muncul secara meluas dalam novel Panchayat. Istimewanya, bukan penggunaan teknik tersebut tetapi cara ia digunakan. Uthaya mengolahnya ke dalam cerita dan tidak membiarkannya berdiri sendirian secara sumbang, terasing dan janggal.

..

Imbas muka (foreshadow) adalah suatu lagi teknik yang menarik perhatian pembaca. Teknik ini digunakan dalam beberapa cara. Ia ditonjolkan sebagai khayalan pada halaman 21. Penggunaan khayalan membuat pembaca berteka-teki tentang apa yang akan berlaku seterusnya; dan hal ini membantu mengekalkan ketegangan konflik dalam pembacaan.

..

Gabungan imbas muka dan unsur mimpi adalah satu gaya penulisan yang amat sukar ditangani; tetapi telah ditangani dengan berkesan oleh penulis keturunan Malayalam ini. Unsur mimpi muncul di beberapa tempat seperti di halaman 58 dan 64. Watak yang mengalami mimpi tersebut cuba mentafsirnya.

..

Penggunaan teknik mimpi dan imbas muka dalam Panchayat boleh dibandingkan dengan novel Daerah Zeni oleh Sasterawan Negara Datuk Dr A. Samad Said, di mana unsur mimpi memainkan peranan penting.

..

Setelah membaca novel ini, mungkin juga ramai pembaca akan cuba mencari kebenaran dan makna simbolik dalam dunia mimpi. Uthaya seolah-olah telah memukau pembaca dengan penulisan beliau yang mengimposisikan dunia mimpi dan dunia realiti sehinggakan garis yang membezakan kedua-duanya menjadi pudar.

..

Suatu lagi unsur yang amat sukar ditampilkan dalam penulisan adalah unsur ironi tetapi unsur ini berjaya digunakan oleh Uthaya di beberapa tempat. Salah satu daripadanya adalah apabila watak Malliga memakai sari putih dan mengaku dirinya sebagai balu kerana menyangka bakal suaminya sudah meninggal dunia.

..

Terdapat juga unsur visual dalam novel ini. Pembaca boleh membayangkan babak-babak yang diceritakan oleh pengarang. Di sini terletak kejayaan pengarang menggunakan unsur imaginasi untuk membantu pembaca “melihat” adegan-adegan yang dipaparkan di dalam novel berkenaan.

..

Selagi ada manusia yang mudah tertipu, selagi itulah akan ada manusia yang cuba menipu. Selagi ada pemikiran kolot dan kepercayaan karut, unsur-unsur agama juga mungkin diperalatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, demi kepentingan peribadi.

..

Pada tahap pembacaan yang lebih mendalam, Panchayat menghantar isyarat bahawa selagi kelompok pembaca (masyarakat) tidak memikirkan persoalan-persoalan yang mencabar minda, selagi itulah tahap mentaliti serta mobiliti sosial akan terbantut.

..

Secara keseluruhan, novel Panchayat karya Uthaya Sankar SB memaksa pembaca untuk membuat penilaian – bukan terhadap novel yang dibaca tetapi terhadap diri sendiri serta amalan dan budaya dalam masyarakatnya.

..

Novel ini wajar dibaca oleh golongan pelajar, mahasiswa, peminat sastera, pengkaji sastera, penulis serta orang ramai yang dahagakan karya bermutu.


Maklumat edisi khas (2012) -- klik di sini.

..

(Disiarkan dalam Tunas Cipta, Mac 2004 dan Kavya, Mei 2004)