Judul Buku: Panchayat
Pengarang: Uthaya Sankar SB
Penerbit: Uthaya Sankar SB
Cetakan Pertama: April 2002
ISBN: 983-40562-3-0
Harga Pasaran: RM20.00
Panchayat adalah majlis timbang cara dalam amalan hidup kaum India. Tarafnya lebih kurang seperti mahkamah penghulu (tetapi tidak sama). Pada asalnya, panchayat diwakili oleh lima (panca) orang warga tua terhormat di kampung berkenaan. Akan tetapi, mengikut peredaran zaman, panchayat mula dipengerusikan seorang sahaja; biasanya ketua kampung.
Cerpen “Pancayat” (Siru Kambam, 1996) yang berlatarkan Kubur Gajah menampilkan misteri kehilangan berhala emas Kaali Devi dan disusuli beberapa kes kematian secara tiba-tiba. Tidak ada penyelesaian yang jitu pada akhir cerpen; dan ini disengajakan.
Beberapa persoalan dalam cerpen berkenaan terjawab dalam novel Panchayat. Tetapi novel ini pula pasti menimbulkan beberapa persoalan baru yang tidak dijawab di sini. Hal ini juga disengajakan.
Suatu hal yang ketara (dan sesungguhnya saya senangi) dalam karya saya adalah penampilan budaya, bahasa, adat dan cara hidup masyarakat India yang terdiri daripada beberapa keturunan yang bangga dengan identiti keturunan masing-masing.
Sebenarnya, saya beranggapan adalah menjadi tanggungjawab saya menampilkan kebudayaan kaum India untuk tatapan dan pemahaman para pembaca yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia.
Lapan bab pertama novel Panchayat saya hasilkan antara waktu-waktu kuliah di Universiti Malaya pada awal tahun 1994. Sewaktu saya terlantar di Hospital Universiti akibat kemalangan pada bulan Februari 1994, saya membina plot dalam kepala untuk sepuluh bab terakhir.
Manuskrip novel ini pada mulanya diberi kepada sebuah penerbitan terkemuka tanah air [Dewan Bahasa dan Pustaka]. Penilai [Allahyarham Dr Othman Puteh] meluluskan manuskrip novel ini untuk diterbitkan. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya diberitahu bahawa manuskrip berkenaan sedang dinilai semula sebagai sebuah novel kanak-kanak!
Tidak setakat itu, kemudian, manuskrip yang sama diserahkan pula kepada seorang “ustaz” di penerbitan yang sama untuk dinilai semula bagi kali yang entah ke berapa. Dan seperti yang telah saya duga, manuskrip yang saya serahkan lesap begitu sahaja. ...
Akhirnya, novel yang sama saya terbitkan sendiri pada April 2002. Bacalah dan mungkin anda dapat menjadi ketua panchayat untuk memberikan keadilan terhadap segala persoalan yang wujud di dalam dan di luar novel ini.
.
Sila KLIK DI SINI untuk membaca ulasan oleh Retna Devi Balan dan KLIK DI SINI untuk membaca ulasan Raja Rajeswari Seetha Raman.
.
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!