23 Dec 2024

Pandangan Pembaca Beta “Raman dan Kultus Guruji”

Orang ramai telah dipelawa menjadi pembaca beta [baca di sini] dan berkongsi pandangan ikhlas selepas membaca petikan awal sebuah cerpen bertajuk “Raman dan Kultus Guruji”. Berikut pandangan yang diterima:

Cerpen “Raman dan Kultus Guruji” bermula dengan penegasan dan mempunyai cangkuk naratif yang menarik minat saya. Keadilan apa yang ingin ditegaskan? Mengapa perbincangan dibuat secara tertutup dan bukan dalam khalayak ramai? Siapakah yang inginkan keadilan dan adakah akan berlaku keadilan? Semua pertanyaan saya sebagai pembaca beta dalam bahagian permulaan petikan cerpen ini mungkin akan terjawab melalui pembacaan seterusnya. Sememangnya teks cerpen ini ada unsur menarik minat pembaca untuk membaca kisah seterusnya.

Ketiadaan gambaran fizikal watak (misalnya rupa, pakaian, dan gaya rambut) langsung tidak mengganggu daya imaginasi saya, malah menambahkan daya imaginasi saya. Saya menggambarkan watak-watak dalam cerita ini mengikut pembacaan dan pengalaman pembacaan (previous knowledge). Harus saya akui bahawa cerita ini menjadi lebih menarik dengan watak-watak dan aksi-aksi mereka yang ada dalam imaginasi saya sendiri berbandingan apa yang tertulis pada kertas.

Pada pemerhatian saya, watak Fedrus seperti tidak terkejut dan tiada sebarang reaksi yang mengejutkan dalam menangani kes amang seksual yang dibincangkan. Kes itu seolah-olah sudah biasa berlaku dalam kultus berkenaan. Pada andaian saya, Fedrus mungkin mempunyai agenda tersendiri untuk mengambil alih tempat atau memegang jawatan tertinggi dalam kultus dengan mengenakan Raman.

Apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Saya membayangkan bahawa ibu bapa terbabit akan berasa kecewa dengan apa yang berlaku kepada anak-anak mereka, namun mereka tidak akan berbuat apa-apa atau mengambil sebarang tindakan kerana mereka lebih setia kepada kata-kata Guruji berbanding undang-undang sedia ada. Semasa membaca petikan awal cerpen ini, saya sebenarnya tertanya-tanya mengapa golongan ibu bapa itu berjumpa dengan Guruji untuk menyelesaikan isu gangguan seksual dan bukannya pergi kepada pihak yang sepatutnya. Kita tunggu penghujung cerita untuk mengetahui jawapannya.

[Anuradha Chelliah lahir di Klang, Selangor pada 1978. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Methodist dan SMK Methodist, Banting sebelum melanjutkan pengajian sarjana muda (2001) dan sarjana (2011) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha kini tinggal di Banting, Selangor dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di SK Sri Langat, Banting. Karya beliau boleh dibaca di portal Sastera Kavyan.]

Kisah dalam “Raman dan Kultus Guruji” merupakan seperti kisah yang sering  berlaku di negara kita. Saya secara peribadi lebih meminati  kes-kes penculikan,  pembunuh bersiri, atau rompkan bank. Kisah seperti ini kurang menarik perhatian saya.

Saya boleh gambarkan watak-watak dalam cerpen ini berpakaian biasa sahaja. Tidak ada pakaian seragam khas untuk mereka. Apa-apa pun, cerita yang lebih penting di sini, bukan penonjolan fizikal watak. Maka, tidak salah apabila penulis tidak memberi gambaran fizikal watak dan tempat secara terperinci.

Pada pada pandangan saya, watak Raman memang bersalah dalam isu yang berlaku. Tidak ada agenda tersembunyi oleh mana-mana pihak yang mungkin berdendam ke atasnya. Saya percaya watak Fedrus hanya melaksanakan tanggunjawabnya sahaja apabila melakukan siasatan kes.

Apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Saya rasa, Raman tidak dapat membuktikan yang dia tidak bersalah. Dia akan ke muka pengadilan. Ibu bapa pula akan bertindak luar biasa terhadap Raman sebelum dia sempat dibawa ke mahkamah.

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang pada 1968. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan.]

Kisah di halaman pertama cerpen Raman dan Kultus Gurujimenarik minat saya untuk meneruskan pembacaan. Tuduhan serius yang dikenakan terhadap watak Raman, seorang individu yang berkedudukan tinggi dalam kultus berkenaan menarik minat saya untuk mengetahui apakah yang berlaku seterusnya.

Walaupun gambaran fizikal watak-watak terbabit tidak diberi oleh penulis, ia tidak menjadi penghalang kepada saya sebagai seorang pembaca. Malah, gambaran fizikal watak dapat saya bayangkan sedikit sebanyak berdasarkan pengalaman melihat watak hampir sama dalam kehidupan sebenar sehari-hari dan watak rekaan dalam filem-filem yang pernah ditonton.

Bercakap secara khusus tentang watak Fedrus, saya rasa dia tidak mempunyai apa-apa agenda atau motif tersembunyi pada ketika in. Namun, siapa tahu kalau-kalau penulis mungkin ada “twist” pada bahagian akhir cerita.

Selepas membaca petikan awal cerpen ini, saya cuba membayangkan apa yang mungkin berlaku seterusnya. Pertemuan ibu bapa para mangsa dengan Guruji dan Fedrus bersama ahli-ahli kultus yang lain mungkin akan membongkarkan pekara sebenar yang berlaku kepada mereka (remaja terbabit).

[Kasthuri Anamalay @ Jeeva Kasthuri dilahirkan di Taiping, Perak dan kini tinggal di Sungai Petani, Kedah. Beliau berkelulusan dari Informatics dalam bidang komputer dan Open University Malaysia (OUM) dalam bidang pengajian bahasa. Kasthuri seorang pengusaha dan guru tuisyen sepenuh masa serta jurulatih teknik menjawab bagi mata pelajaran Sains.]

Berikut pula reaksi pembaca beta bagi cerpen-cerpen lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?]

Anda juga mungkin berminat membaca kisah benar berikut: [Siapa Bunuh Veer Singh?] – [Siapa Bunuh Nagamuttu?]