Untuk itu, saya amat perlu membawa anda mengimbau masa silam saya; seawal di sekolah rendah. Nama sekolah saya adalah SRK Convent Aulong di Aulong, Taiping.
Memang ramai yang hairan mengapa saya belajar di sebuah sekolah convent. Sebenarnya, ia sebuah sekolah campur. Cuma namanya masih kekal sebagai convent sehingga kini.
Di sekolah itulah saya mula terlibat dalam pelbagai aktiviti yang tidak berorientasikan peperiksaan.
Saya masih ingat lagu “Drunken Sailor” yang saya nyanyikan bersama-sama Sakthivel, Tarmizi, Rohaizat, Sakrapani dan Surendran sempena program persembahan bakat murid.
Semasa di Darjah Enam, saya diberi kepercayaan menjadi pengacara majlis bagi Hari Penyampaian Hadiah. Walaupun secara fizikal, saya dikategorikan sebagai terlalu kurus dan bersaiz kecil, guru-guru menyedari bakat dan penguasaan bahasa yang saya miliki.
Antara guru yang saya maksudkan ialah Neo Kee Boon dan Hajah Fadilah.
Saya menganggap segala aktiviti bahasa, sastera, persatuan, permainan dan semuanya sebagai aktiviti yang menyeronokkan.
Minda saya tidak berorientasikan peperiksaan. Saya amat rajin membaca buku cerita di perpustakaan kecil di sekolah. Imaginasi dan daya kreativiti saya terus berkembang bersama-sama pembacaan ini.
Semuanya saya lakukan kerana minat terhadap bahasa dan ilmu. Semuanya saya lakukan tanpa dipaksa; tanpa disuruh. Mungkin sebab itulah juga segala ilmu dan pengalaman yang ditimba seawal sekolah rendah masih kekal dalam minda hingga kini!
Penglibatan aktif dalam persatuan, drama, deklamasi puisi, penulisan dan pelbagai aktiviti lain saya teruskan juga di Sekolah Menengah Darul Ridwan.
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!