14 Mar 2010

Proses Pembacaan Novel Sinappapal

Pembuka Bicara
..

Apabila berkarya, kita harus sentiasa ingat bahawa pembaca karya kita bukan calang-calang orang. Teks karya sastera kita bakal meninggalkan kesan pada khalayak. Karya yang baik akan diterima dan disambut baik. Karya yang memperbodoh-bodohkan pembaca akan ditertawakan oleh mereka; tentunya dan selayaknya. (“Mendekati Khalayak Remaja,” Dewan Sastera, Julai 1995.)

..

Pra Pembacaan

..

Saya telah mendapatkan senaskhah novel remaja Sinappapal (Azizi Haji Abdullah, DBP: 1993) dengan harapan akan dapat menghayati budaya kaum India melalui kaca mata seorang penulis Melayu yang bukan calang-calang orang.

..

Selama ini, karya-karya Azizi kebanyakannya diakhiri dengan tragedi (Dewan Sastera, Disember 1993, hlm. 31). Jadi, melalui novel Sinappapal, saya ingin juga tahu jika akan berlaku sesuatu seperti itu di akhir novel setebal 101 halaman ini.

..

Catatan ini saya lakukan apabila selesai membaca setiap bab. Jadi, catatan ini lebih merupakan pengalaman membaca novel pasca kolonial tanpa dipengaruhi apa-apa teori kritikan yang khusus.

..

Terus terang, tajuk novel ini sendiri menimbulkan sedikit tanda tanya dan sekali gus menimbulkan minat untuk dibaca.

..

Sinappapal.

..

Apakah watak Sinappapal dalam novel ini seorang budak perempuan atau lelaki? Demikian fikir saya setelah selesai membaca bahagian blurb.

..

Walaupun begitu, saya memulakan pembacaan pasca kolonial terhadap novel ini dengan menganggap Sinappapal sebagai seorang budak lelaki kaum India.

..

Era Pembacaan

..

Dalam bab pertama, Sinappapal (Sina) disuruh tinggal di dalam kelas semasa pelajaran agama Islam oleh ibunya, Minaci. Ini kerana Sina selalu diusik oleh kawan-kawannya di kelas Moral. Sina yang berusia lapan tahun belajar di kelas tahap satu, tahun dua.

..

Ustaz Sudin mengajar agama Islam dengan tidak peduli lagi sama ada murid-murid bukan beragama Islam atau tidak (hlm. 10). Beliau mengajar murid-muridnya mengucapkan dua kalimah syahadat sambil mengingatkan, “Orang Islam sahaja. Yang lain diam!” (hlm. 11).

..

Di bab pertama lagi sudah nampak usaha penulis yang cuba mempermudahkan cerita. Adalah tidak wajar bagi Ustaz Sudin mengajar agama Islam semasa Leong dan Gordi Singh masih ada di dalam kelas. Sepatutnya Ustaz Sudin mengajar dua kalimah syahadat semasa kelas agama Islam. Penulis tidak sepatutnya terburu-buru dalam usaha menonjolkan minat Sina terhadap ajaran agama Islam.

..

Adalah pelik dan kurang wajar juga sikap Peter Lim (Guru Besar) dan Minaci yang membenarkan Sina duduk dalam kelas agama Islam semata-mata kerana Sina diusik oleh kawan-kawannya. Penulis seperti memaksa watak Peter Lim dan Minaci bertindak mengikut kemahuan penulis tanpa alasan yang kukuh dan meyakinkan.

..

Sampai di bab dua, saya bertambah hairan memikirkan bagaimana Sina boleh tahu kata-kata Ustaz Sudin bahawa “Allah jadikan burung!” dan “Berdosa bunuh burung” (hlm. 16). Bukankah kata-kata itu diucapkan oleh Ustaz Sudin “pada satu hari” (hlm. 17)? Saya tertanya-tanya bagaimana Sina boleh tahu sedangkan baru pada hari berkenaan dia mengikuti kelas agama Islam.

..

Dalam bab ketiga, penulis mendedahkan bahawa ibu Sina iaitu Minaci “tidak sembahyang dan tidak pernah pun ke kuil” (hlm. 20). Malah Sina sendiri dikatakan tidak tahu di mana terletaknya kuil!

..

Bab ini mewajarkan mengapa Sina begitu berminat dengan ajaran agama Islam. Minatnya timbul bukan kerana dia tidak yakin dengan agama asalnya, tetapi kerana dia langsung tidak diberikan ajaran asas agama. Lalu, apabila disuakan dengan agama Islam, Sina terus terpikat.

..

Ustaz Sudin terus mengajar murid-murid Islam menulis dua kalimah syahadat. Anehnya, Leong, Gordi dan Sina masih ada di dalam kelas. Sina begitu berminat untuk belajar menulis dua kalimah syahadat yang diajar tetapi Ustaz Sudin asyik tidak memberikannya peluang.

..

Seterusnya, sewaktu membaca bab kelima, saya tiba-tiba terfikir akan kemungkinan Zulkifli (Zul) dan Sinappapal adalah anak kembar. Hal ini kerana kebanyakan orang hairan, mengapa Pak Akob setua itu, baru mendapat anak dan kini baru berusia lapan tahun (hlm. 32).

..

Saya mula memikirkan kemungkinan Zul sebenarnya anak Minaci yang diserahkan kepada Pak Akob dan Mak Biah yang tidak mempunyai anak. Mungkin juga akibat kesempitan hidup Minaci; lebih-lebih lagi setelah kematian suaminya enam tahun terdahulu (hlm. 32).

..

Dalam bab enam, Gordi Singh menyorokkan roti canai Zul dalam bungkusan Sina. Zul lalu merajuk apabila Sina memanggilnya pencuri. Zul tidak mengendahkan teguran Sina selepas itu.

.

Kalau di bab pertama tadi penulis mengatakan bahawa Sina tidak mahu berpisah dengan Zulkifli (hlm. 13), maka dalam bab ini pula pembaca akan mengakui sendiri kenyataan itu melalui penceritaan Azizi yang begitu menyentuh perasaan pembaca.

.

Sina tiba-tiba datang ke rumah Zul selepas waktu Maghrib dalam bab ketujuh. Zul benar-benar cemburu kerana Sina tahu menyebut dua kalimah syahadat dan Laila ha illallah lebih baik daripadanya; walaupun ucapan Sina masih pelat.

.

Atas dasar cemburu, Zul berkata dengan marah, “Ini Tuhan kami! Dua kalimah syahadat ni orang Islam punya” (hlm. 45).

.

Keesokannya, dalam bab yang seterusnya, Minaci agak hairan melihat Sina asyik menyebut La ila ha ilala. Apabila Sina memberikan salam kepada Zul sewaktu bertembung semasa dalam perjalanan ke sekolah, Zul pula membalas dengan poraahh!

.

Penulis terus mengusik perasaan pembaca dalam bab yang seterusnya. Mazni, rakan sekelas Sina, menyorokkan pemadam Zul. Zul pula ditampar oleh Ustaz Sudin kerana memadam kesalahan dalam buku dengan air liur (hlm. 54-55).

.

Pada waktu rehat, Sina memaksa Mazni mendedahkan hal yang sebenar kepada Ustaz Sudin. (Hmm! Mungkin Sina budak perempuan kerana berkelahi dengan Mazni. Mungkin.) Ustaz itu pula hanya berkata, “Sudahlah! Pergi!” (hlm. 61) kerana merasakan waktu rehatnya terganggu.

.

Selepas waktu rehat, Sina membantu Zul mengucapkan kalimah syahadat. Zul juga tidak membawa kain untuk bersembahyang di surau. Lalu, Sina meminjamkan kain yang dibawanya. Sina benar-benar seronok apabila Zul sudi menggunakan kain yang dibawanya itu untuk bersembahyang.

.

Oleh kerana Zul menumbuk Leong di kelas (dalam bab sembilan tadi, hlm. 65), maka tengah hari itu, Leong dan Gordi Singh menghalang Zul dan Sina dalam perjalanan pulang. Zul dan Leong bertumbuk.

.

Dalam bab sebelas, Minaci menyangka Sina dan Zul bertumbuk. Sina lalu mendedahkan bahawa Gordi Singh dan Leong yang menumbuk Zul. Selepas itu, Mak Biah pula memukul Zul. Walau bagaimanapun, kanak-kanak itu berjaya melarikan diri.

.

Zul duduk di bawah pokok manggis di belakang rumah Sina. Dia hairan memikirkan mengapa kawan-kawannya seperti membencinya. Ustaz Sudin dirasakannya berlaku tidak adil dan asyik suka menghukumnya (hlm. 70).

.

Sejurus selepas itu, Sina datang dan mengajak Zul pulang ke rumahnya. Malam itu di rumah Minaci, Sina mengajar Zul mengucap dua kalimah syahadat.

.

Keesokannya, Ustaz Sudin mengajar murid-murid Islam sembahyang di surau sekolah. Sina menyelinap masuk tanpa disedari oleh sesiapa. Tetapi saya pasti setiap pembaca novel ini menyedarinya!

.

Semasa di kelas kemudian, Leong dan Gordi memberitahu Ustaz Sudin bahawa Sina telah turut bersembahyang di surau. Lalu Sina ditampar berkali-kali. Walaupun begitu, Sina terus mengucap Allahuacbat! dan Lailaha ilala! secara spontan (hlm. 88).

.

Zul cuba memberitahu Ustaz Sudin bahawa Sina yang mengajarnya mengucap tetapi tidak diendahkan oleh Ustaz Sudin. Penulis berjaya mengusik perasaan pembaca sekali lagi. Aksi dramatik yang digunakan pasti membuatkan pembaca terharu.

.

Akan tetapi, tidak lama selepas itu, Sina jatuh pengsan. Dia dibawa ke surau. Sepuluh minit kemudian dia sedar diri. Persoalannya di sini, mengapa Sina dibawa ke surau? Adakah kerana “di sana agak selesa” (hlm. 90)? Bilik darjah tahap satu, tahun dua berupaya memuatkan tiga puluh pelajar (hlm. 4) manakala surau boleh memuatkan empat puluh orang (hlm. 81). Lalu?

.

Memang surau lapang dan bilik darjah pula berisi meja dan kerusi. Tetapi bukankah lebih lojik – juga logis; walaupun mungkin tidak logik – sekiranya Sina yang pengsan di dalam kelas itu dibaringkan di lantai atau di atas meja guru? Penulis ternyata sengaja mahu mewujudkan suasana syahdu bagi mengusik hati pembaca dengan penggunaan objek surau.

.

Dalam bab keempat belas, Pak Akob, Mak Biah dan Zul menziarahi Sina di rumah Minaci. Zul juga memutuskan untuk bermalam di situ.

.

Tiba-tiba saya teringat kembali akan tindakan Zul lari dari rumah dalam bab sebelas dan dua belas tadi. Nampaknya kejadian itu mati begitu sahaja atau sengaja dimatikan oleh penulis atas sesuatu sebab.

.

Keesokan pagi, Pak Akob menghantar Zul dan Sina ke sekolah. Sepanjang perjalanan, mereka mengucapkan kalimah asyhadu an la ilala illalah (hlm. 95).

.

Pada hari-hari berikutnya, dalam bab enam belas yang panjangnya satu halaman sahaja, Ustaz Sudin terus mengajar agama di kelas. Dia mengajar pelajaran agama Islam walaupun pada waktu pelajaran lain semata-mata kerana “mata pelajaran lain bukan bidangnya” (hlm. 96).

.

Bahagian ini amat meragukan. Pelik, kurang wajar dan memperbodohkan pembaca, malah. Masakan pula Peter Lim selaku guru besar boleh membiarkan sahaja pelajaran lain terabai. Penulis ternyata memperalatkan – tetapi tidak berjaya sampai ke tahap mengeksploitasi – ketiadaan Cikgu Hamid untuk berusaha mempercepatkan proses penerimaan ilmu agama Islam oleh Sina. Tetapi kurang wajar, saya kira.

.

Tentulah lebih diterima akal jika penulis mengatakan bahawa Ustaz Sudin mengajar agama Islam semasa pelajaran agama Islam yang mana turut dihadiri oleh Sinappapal. Plot ini lebih munasabah dan tidak meragukan. Setelah memaksa Minaci dan Peter Lim membenarkan Sina duduk di kelas agama Islam, penulis nampaknya masih tidak puas sekiranya Ustaz Sudin mengajar agama Islam semasa pelajaran agama Islam sahaja. Lalu penulis menggunakan ruang ketidakhadiran Cikgu Hamid untuk menyampaikan hasrat dan wacana mengislamkan Sinappapal secepat mungkin.

.

Selepas sekolah, Ustaz Sudin pergi ke surau untuk solat Zohor. Sina mengikutnya tanpa disedari. (Tetapi sekali lagi, pembaca yang paling bodoh sekalipun pasti sedar tanpa ragu-ragu!) Semasa Ustaz Sudin bersolat, Sina menurut.

.

Melihat tindakan Sina, perasaan benci dalam diri Ustaz Sudin bertukar menjadi kagum dan simpati. Sina lalu dipeluknya. (Hmm! Tentulah Sina budak lelaki. Sebab itulah Ustaz Sudin menerkam dan memeluknya tanpa rasa kekok di dalam surau sekolah. Mungkin.)

.

Anehnya, perasaan itu tiba-tiba sahaja muncul dalam diri Ustaz Sudin sedangkan Sina sejak awal-awal lagi sudah menunjukkan minat terhadap Islam (hlm. 11). Masakan pula Ustaz Sudin – dan Azizi juga barangkali – tidak sedar.

.

Penulis tidak memberikan akhiran yang mutlak bagi novel sepanjang tujuh belas bab ini. Namun begitu, ada bayangan yang agak jelas bahawa Sina akan masuk Islam dan tinggal bersama Ustaz Sudin. Memang itulah wacana yang cuba diterapkan oleh Azizi melalui novel ini; saya pasti.

.

Atau tidak mustahil juga jika Minaci yang “tidak sembahyang” dan “tidak pernah pun ke kuil” (hlm. 20) tidak menerima lamaran Ustaz Sudin. Hal ini pasti membuka ruang perbicaraan pasca kolonial yang baru pula; seperti yang saya lakukan melalui proses pembacaan ini.

.

Segalanya adalah mungkin. Karya kreatif adalah bersifat subjektif. Penulis adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca; bukan penyelesai masalah. Dan, terima kasih kepada Azizi Haji Abdullah kerana di sebalik wacana mengislamkan Sinappapal – dengan apa cara sekalipun – penulis tetap memberikan ruang yang cukup luas kepada pembaca – termasuk saya sendiri secara peribadi – untuk memikirkan sendiri pengakhiran cerita secara pasca kolonial.

..

Pasca Pembacaan

.

Oleh kerana di bahagian awal tadi saya telah mengharapkan agar novel ini memaparkan budaya hidup kaum India, maka saya berhadapan dengan kekecewaan. Novel Sinappapal saya dapati tepu – melebihi tahap penuh – dengan nilai Melayu-Islam. Namun begitu, sekurang-kurangnya saya mendapat sedikit lagi ilmu tentang Islam; seperti tahanan, takbiratul dan tahiyat.

..

Saya masih tidak tahu adakah watak Sinappapal seorang budak lelaki atau perempuan. Mungkin juga dia perempuan kerana dia memakai kain batik (hlm. 99) seperti yang dipakai oleh Mazni (hlm. 82). Malah kain pelikat yang dibawanya ke sekolah adalah milik emaknya (hlm. 52). Dengan itu, saya fikir mungkin Sinappapal budak perempuan. Saya sendiri yang tidak cukup prihatin semasa membaca novel Sinappapal tadi; agaknya.

.

Dengan penuh ragu-ragu dan rasa tidak pasti, saya merujuk semula pada dialog “Haaaa, por, por!” (hlm. 8). Ketawa semula saya dibuatnya. “Por” bermakna perang dalam Bahasa Tamil. Mungkin penulis tersalah eja “po” (pergi). Jadi, apakah mungkin Azizi tersalah eja sehingga “Sinappayal” (budak lelaki) menjadi “Sinappapal” (budak perempuan)? Sebagaimana Othman Puteh dalam novel Kalut (Fajar Bakti: 1997) menamakan wataknya “Ariosamy” dengan menyangka ia adalah “Arokiasamy”?

.

Mustahil juga. Masakan begitu sekali. Azizi bukannya calang-calang penulis! Nampaknya saya sendiri yang gagal memahami bahawa Sinappapal adalah seorang budak perempuan.

.

Saya cuba mencari-cari kalau-kalau ada klu yang diberikan oleh penulis; seperti pottu di dahi, tocang, pakaian perempuan dan sebagainya yang boleh menjawab kekeliruan saya. Tiada yang saya temui.

.

Ah! Sama ada Sinappapal perempuan atau lelaki tidak penting. Bukankah penulis secara terang-terangan lebih mementingkan mesej keislaman yang cuba diterapkan secara paksa ke atas watak Sinappapal?

.

Tetapi masakan saya harus membiarkan proses pembacaan saya terbiar begitu sahaja. Mungkin saya perlu membaca novel ini sekali lagi untuk memungkinkan saya mencapai tahap kepuasan yang telah saya harapkan. Membaca tanpa pemikiran pasca kolonial tetapi diganti pemikiran Melayu-Islam, mungkin.

..

Penutup Bicara

.

Hanya setelah terbaca cerpen “Seeds of Love” (terjemahan cerpen “Bibit Cinta” yang menjadi asas bagi novel Sinappapal) saya faham bahawa Sinappapal sebenarnya watak perempuan; itu pun lantaran penggunaan kata ganti she dan her.

..

..

Uthaya Sankar SB, “Proses Pembacaan Novel Sinappapal: Suatu Pengalaman Pasca Kolonial,” Mingguan Watan, 30 Julai 1995 & 6 Ogos 1995 serta www.suaraanum.com, 15 September 2002.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!