7 Mar 2010

Naqdu bersama ... Salbiah Ani

Saya terpanggil untuk memberi reaksi terhadap tulisan yang disiarkan dalam ruangan “Naqdu bersama Salbiah Ani” (Berita Harian, 5 Julai 2007, halaman B13).
..

Sebagai penulis yang menghasilkan sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” (Mingguan Malaysia, 24 Jun 2007), saya ingin menegaskan bahawa makna sajak berkenaan telah disalahertikan oleh Salbiah Ani.

..

Sajak berkenaan adalah berkaitan perjuangan memartabatkan dan mendaulatkan Bahasa Malaysia (yang juga dikenali sebagai Bahasa Melayu) sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara Malaysia.

..

Salbiah Ani ternyata mentafsir sajak berkenaan sebagai menentang “Bahasa Melayu”. Saya tidak tahu bagaimana beliau sampai kepada kesimpulan yang tersalah sasar seperti itu.

..

Saya mengakui sifat sajak sebagai sebuah karya sastera yang boleh ditafsir dengan pelbagai makna. Mungkin sahaja Salbiah Ani menganggap bait “Dirgahayu bahasaku/Dirgahayu Bahasa Malaysia!” sebagai bait yang menentang istilah “Bahasa Melayu”.

..

Sedangkan sajak berkenaan secara nyata adalah mengenai bahasa kebangsaan yang perlu terus didaulatkan walaupun menerima saingan daripada bahasa-bahasa lain. Mesej sajak itu amat nyata dan mudah difahami. [BACA DI SINI]

..

Malah, salah tafsir yang lebih ketara adalah apabila Salbiah Ani menganggap, “beliau melabelkan pejuang bahasa sebagai dalang, petualang dan talam yang cuba mencabar.”

..

Ternyata Salbiah Ani tersasar langsung daripada mesej sebenar sajak. Kandungan sajak itu mengatakan bahawa “pejuang bahasa” perlu berhadapan dengan “dalang, petualang dan talam yang cuba mencabar”, bukannya “pejuang bahasa” itu sendiri menjadi “dalang, petualang dan talam”!

..

Saya tidak percaya bahawa Salbiah Ani sebagai seorang pengelola ruangan sastera yang sangat berilmu dan amat saya segani akan membuat salah tafsir terhadap sebuah sajak yang secara amat jelas menunjukkan bagaimana seluruh rakyat Malaysia perlu sama-sama menjadi “pejuang” terhadap bahasa kebangsaan walaupun akan menerima cabaran daripada pelbagai pihak.

..

Apapun, saya tetap mengakui hakikat sajak sebagai sebuah karya yang boleh ditafsir dengan pelbagai makna mengikut tahap penghayatan dan emosi setiap pembaca.

..

Namun, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk menegaskan bahawa ulasan yang dibuat dalam ruangan “Naqdu bersama …” (Berita Harian, 5 Julai 2007) adalah tidak benar dan terkeluar daripada makna sebenar sajak berkenaan.

..

Uthaya Sankar SB

5 Julai 2007

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!