7 Mar 2010

Simposium Penulis Pelbagai Kaum IV

Walaupun Simposium Penulis Pelbagai Kaum IV (Simposium IV) sempena Festival Sastera Perpaduan Malaysia 2002 diadakan khusus untuk “menghimpunkan penulis pelbagai kaum bagi membincangkan dan menilai pencapaian karya para penulis yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Malaysia”, jumlah penulis kaum India yang menyertai acara ini adalah terlalu kecil. Tidak ada seorang pun penulis Bahasa Tamil yang hadir.
..

Wakil Gabungan Persatuan Penulis Tamil Malaysia (GAPETAM), Encik P. S. Vengadasan ketika ditanya berhubung hal ini berkata, “GAPENA tak minta kami bawa orang.”

..

Akhirnya, senarai penulis kaum India yang menyertai Simposium IV adalah seperti berikut: Dr Krishanan Maniam, S. G. Prabhawathy, Raja Rajeswari Seetha Raman, Saroja Theavy Balakrishnan, Sritharanee Subramaniam dan Uthaya Sankar SB.

..

Simposium IV yang berlangsung pada 21-24 Ogos 2002 di Kangar, Perlis adalah sebagai lanjutan bagi Simposium I di Miri, Sarawak pada 1999, Simposium II di Pulau Pinang pada 2000 dan Simposium III di Seremban, Negeri Sembilan pada 2001.

..

Simposium IV dianjurkan oleh Jawatankuasa Pusat Perayaan Bulan Kemerdekaan 2002, ditaja bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kerajaan Negeri Perlis serta diselenggarakan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Tema kali ini, "Keranamu Malaysia: Perpaduan Melalui Sastera".

,,

Kebanyakan acara berlangsung di Hotel Putra Palace, Kangar. Pada petang 21 Ogos 2002, para peserta Simposium IV diraikan oleh Persatuan Penulis Perlis (3P). Ternyata kesemua mereka amat mesra dan melayan para tetamu dengan penuh kasih.

,,

Festival Sastera Perpaduan Malaysia 2002 dilancarkan pada sebelah malam oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan Warisan Perlis. Turut berlangsung, pertandingan akhir Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan 2002 Peringkat Kebangsaan di mana 18 peserta mengambil bahagian.

,,

Persamian Simposium IV pula disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Hj A. Aziz Deraman di Putra Palace pada pagi 22 Ogos 2002.

,,

Pada kesempatan ini, Kavyan mengedarkan risalah bertajuk “Maklumat Ringkas Penulis Kaum India Dalam Sastera Bahasa Malaysia” kepada para hadirin. Risalah berkenaan memuatkan biodata ringkas beberapa penulis kaum India, senarai buku Bahasa Malaysia penulis kaum India, serta maklumat mengenai Kavyan dan Kavya.

,,

Ucap Utama bertajuk “Keranamu Malaysia: Perpaduan Melalui Sastera” disampaikan oleh Dr Anwar Ridhwan. Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh bahawa segala maklumat mengenai penulis kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia boleh didapati dalam risalah yang diedarkan oleh Kavyan.

,,

Saroja Theavy Balakrishnan mempengerusikan sesi Perbincangan Karya Penulis Setempat. Mohd Saleeh Rahamad dari Universiti Malaya membentangkan kertas kerja bertajuk “Cereka Penulis Bukan Melayu di Semenanjung: Restropektif Selepas Tiga Dekad”.

,,

Semasa memulakan pembentangan, beliau melakukan pembetulan dengan menjelaskan bahawa istilah “penulis Tamil” merujuk pada penulis yang menghasilkan karya Bahasa Tamil, manakala istilah “penulis kaum India” lebih tepat bagi penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia.

,.,,

Berikut petikan daripada kertas kerja Mohd Saleeh Rahamad yang menunjukkan sumbangan dan kedudukan penulis kaum India dalam sastera kebangsaan:

..

Bagi Uthaya Sankar SB, setakat ini beliau masih memegang rekod penulis novel Bahasa Malaysia pertama di kalangan penulis kaum India dengan novel Hanuman: Potret Diri dan Panchayat. Beliau merupakan penulis pelapis yang berani meneroka jalur penceritaan yang bersifat eksperimental.

..

Penulis kaum India yang menggulati genre cerpen Bahasa Malaysia agak berbilang juga tetapi yang prolifik amat kecil. Didahului generasi awal pada tahun 60-an seperti G. Soosai dan Joseph Selvam, barisan penulis kaum India seakan-akan terputus sehingga penghujung dekad 80-an dan seterusnya apabila muncul penulis generasi baru yang bertenaga iaitu Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB.

..

Kedua-dua penulis ini telah meletakkan mercu tanda pada peta penulis kaum India dengan kejayaan mereka meraih hadiah dalam beberapa sayembara. Petanda keprolifikan mereka terletak pada kumpulan cerpen yang dihasilkan iaitu Gemerlapan (1997) oleh Saroja Theavy Balakrishnan; manakala karya Uthaya Sankar SB pula antaranya adalah Siru Kambam (1997), Surat Dari Madras (1999), Orang Dimensi (1994), Nayagi (2000) dan Sasterawan Pulau Cinta (2001).

..

Di kalangan penulis kaum India, Uthaya Sankar SB dan Saroja Theavy Balakrishnan merupakan aset utama masa kini kerana kecenderungan mereka meneroka subjek cerita yang pelbagai dan mengaplikasikan teknik penukangan cereka yang lebih segar. Terlihat jelas usaha mereka menempatkan diri sebagai penulis yang bervisi dan menampilkan idiosinkrasi.

..

Berdasarkan pengamatan umum terhadap karya Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India dalam genre cerpen, dapat dikatakan bahawa pada umumnya, kecuali Uthaya Sankar SB, mereka masih selesa dengan cereka lazim (cereka realisme/mimetik). Tidak ketara keberanian mereka untuk meneroka cereka yang eksperimental cerbanding penulis kaum Melayu.

..

Kekontangan percubaan daripada penulis Bukan Melayu mungkin disebabkan mereka tidak mempunyai keyakinan untuk keluar daripada konvensionaliti/kelaziman, tidak gemar akan corak tersebut, tidak mahir menghasilkannya, atau berasaskan kehendak kelompok kaum masing-masing yang masih tega dengan cereka realistik.

..

Sehingga kini, ramalan Ismail Hussein (Dewan Sastera, Jun 1982) bahawa akan muncul karya yang lebih luas medan perbincangannya tentang amalan, kepercayaan dan agama lain sudah berlaku. ... Karya-karya penulis Bukan Melayu, atau Bukan Islam khususnya, setakat ini masih lagi terpelihara daripada sebarang unsur untuk merobohkan benteng sensitiviti pihak lain. Sekiranya mereka bverterusan kekal dengan sikap berhati-hati dan hanya membentangkan pengalaman dan aspirasi sendiri tanpa mencemari pihak lain, karya mereka tetap mempunyai masa depan cerah. Malah, karya sedemikianlah yang diperlukan dalam jagat Kesusasteraan Kebangsaan bagi memperkaya khazanah sastera dan seterusnya meneguhkan asas politik kebangsaan di negara ini.

..

Sesi Karya Sastera Pengarang Pelbagai Kaum Awal Abad 21 pula antara lain menampilkan Dr Lim Swee Tin dari Universiti Putra Malaysia serta Dr Hj Othman Puteh (Allahyarham) yang merupakan individu yang banyak mencungkil dan mengasuh ramai bakat baru, termasuk penulis kaum India.

..

Dr Lim Swee Tin yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Menelusuri Sumbangan Penyair Bukan Melayu di Pesisiran Alaf ke-21: Satu Sorotan Awal” menyebut Raja Rajeswari Seetha Raman sebagai antara “pendatang baru yang mula dapat ditemukan karya-karya mereka di media-media penyiaran tanah air”. Beliau juga menyebut bahawa Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB adalah cerpenis yang turut menulis puisi.

..

Dr Othman Puteh dalam kertas kerja bertajuk “Cerpen Pada Awal Abad 21: Penglibatan Pengarang Pelbagai Kaum” menegaskan bahawa “ternyata sayembara dan pemberian hadiah sastera merupakan suatu galakan yang merancakkan denyut kehidupan cerpen di ujana kesusasteraan.”

..

Kata-kata di atas memang ada benarnya. Tidak dapat dinafikan bahawa ramai penulis kaum India yang terbukti hanya menulis bagi tujuan “masuk pertandingan”. Malah, apabila Dr Othman Puteh bertanya kepada Sritharanee Subramaniam mengapa tiada karya baru, beliau menjawab bahawa beliau sedang menunggu peraduan!

..

Bercakap mengenai penulis Bukan Melayu dalam sastera Bahasa Malaysia, Dr Othman Puteh juga berkata:

..

Kehadiran mereka semakin bermakna dan terus-terusan memberi corak dan jalur dalam jagat penulisan cerpen dengan mengungkap multi isu kehidupan - tentang konflik, integrasi, sosio-ekonomi dan politik - dengan pendekatan dan langgam yang bervariasi. Mereka adalah golongan cerpenis generasi baru yang berusaha dengan serius dan yakin diri melakukan deviasi dan atau eksperimen bagi menemukan pencarian dan jati diri.

..

Saroja Theavy Balakrishnan diakui oleh Dr Othman Puteh sebagai “terus aktif menulis, dapat bertahan dan terus memperoleh kejayaan dalam penyertaan peraduan sepanjang dekad 1990-an.”

..

Dalam kertas kerja beliau, Dr Othman Puteh turut menyenaraikan cerpen-cerpen Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India yang tersiar di sebelas akhbar/majalah dari Januari 2000 hingga Ogos 2002. Didapati sepuluh cerpen Saroja Theavy Balakrishnan tersiar dalam tempoh berkenaan. Penulis-penulis lain ialah Annamalai Arnasalam, Parveen Kaur Gill Pritam Singh, S. G. Prabhawathy, M. Mahendran dan Sritharanee Subramaniam.

..

Tiada sebuah pun cerpen Uthaya Sankar SB di media cetak Bahasa Malaysia sepanjang tempoh berkenaan. Bagaimanapun, Dr Othman Puteh menjelaskan:

..

Satu hal yang wajar disentuh berkaitan dengan pengarang Bukan Melayu dalam penulisan genre cerpen Bahasa Malaysia adalah usaha dan sumbangan pengarang generasi baru Uthaya Sankar SB yang dikirakan produktif dan pantas diperhatikan upayanya menerbitkan kumpulan sepuluh cerpennya dalam Sasterawan Pulau Cinta (2001) dan menyelenggarakan antologi cerpen karya penulis kaum India-Malaysia dalam Vanakam (2002).

..

Pada hujung kertas kerja, beliau menyifatkan penulis Bukan Melayu dalam sastera Bahasa Malaysia sebagai “aset dan pewaris kepada kelangsungan citra dan kehidupan kesusasteraan itu sendiri”.

..

Pada sebelah petang 22 Ogos 2002, para peserta Simposium IV menyertai acara lawatan serta persembahan kesenian tradisional Perlis di Perkampungan Budaya Bintong. Turut diadakan acara baca puisi di mana Raja Rajeswari Seetha Raman mendapat pujian ramai atas kemampuannya mendeklamasikan sajak ciptaan sendiri dengan penuh gaya dan penghayatan.

..

Pada sebelah malam, acara baca puisi secara santai diadakan di Putra Palace. Kali ini, Raja Rajeswari Seetha Raman membacakan sebuah lagi sajak ciptaannya mengenai tanah air. Saroja Theavy Balakrishnan pula membacakan puisi ciptaannya mengenai penyu.

..

Acara pada 23 Ogos 2002 dipenuhi dengan pembentangan Proses Kreatif oleh beberapa penulis. Agak aneh juga mengapa tidak seorang pun penulis kaum India atau penulis Bahasa Tamil dijemput membentangkan kertas kerja mengenai proses kreatif masing-masing. Apatah lagi apabila antara tujuan Simposium IV adalah untuk “memberi kesempatan kepada para penulis yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Malaysia untuk mengucapkan pengalaman kreatif mereka”.

..

Semoga perkara ini diberi perhatian oleh pihak penyelenggara apabila menyusun aktiviti bagi Simposium V di Sabah pada tahun 2003.

..

Pada sebelah petang diadakan forum bertajuk “Peranan Penulis Pelbagai Kaum: Ke Arah Pemantapan Kebudayaan Nasional”. Dr Krishanan Maniam menyenaraikan Uthaya Sankar SB dan Saroja Theavy Balakrishnan sebagai penulis kaum India yang sudah mencipta nama dalam bidang penulisan kreatif Bahasa Malaysia. Beliau turut menyarankan agar penulis-penulis lain terus bergiat dan berusaha menempa nama supaya akan ada lebih ramai penulis kaum India yang mampu mengungkapkan citra budaya kaum India dalam karya sastera Bahasa Malaysia.

..

Acara perasmian penutup Festival dan Simposium IV serta majlis penyampaian Hadiah Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan berlangsung di Dewan Warisan pada sebelah malam 23 Ogos 2002. Turut diadakan Persembahan Puisi Pelbagai Kaum dan Antarabangsa. Uthaya Sankar SB telah dipilih mewakili penulis kaum India untuk membaca puisi “Bacalah Dalam Bahasamu” karya Baha Zain.

..

Pada sebelah pagi 24 Ogos 2002, diadakan sesi “Komsas” (Komponen Sastera) khusus untuk guru-guru Bahasa Malaysia seluruh negeri Perlis. Uthaya Sankar SB dan S. G. Prabhawathy turut serta. Penceramah terdiri daripada Sasterawan Negara Abdullah Hussain, Dr Othman Puteh dan Prof Rahman Shaari.

..

Secara keseluruhan, walaupun jumlah penulis kaum India yang menyertai Simposium IV terlalu sedikit, namun kehadiran mereka tetap memberi kesan. Mungkin lebih ramai akan dipilih untuk menyertai Simposium V di Sabah pada 2003.

..

Bagaimanapun, untuk memungkinkan lebih ramai penulis kaum India diberi peluang menyertai serta membentangkan kertas kerja pada Simposium V, tentulah para penulis kaum India perlu memastikan mereka terus aktif berkarya dan menghasilkan karya bermutu.

..

Harapan Kavyan adalah semoga Simposium V nanti akan menyaksikan kehadiran lebih ramai penulis kaum India sebagai peserta dan pembentang kertas kerja; serta penyenaraian lebih ramai penulis kaum India sebagai individu yang berjaya mencatat nama dalam dunia sastera Bahasa Malaysia!

..

Catatan: Foto dimuatkan dalam Kavya keluaran Oktober 2002 – Lihat foto DI SINI

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!