Hakikat ini tidak pernah saya fikirkan kerana sejak kecil, keluarga saya tidak pernah memberi penekanan terhadap aspek kebudayaan. Saya dan adik-beradik saya mengenali Ramayana, bharatanatyam, Ponggal dan seumpananya hanya pada nama. Kalau diminta memberi penjelasan, kami hanya mampu ternganga.
Baru-baru ini, saya dan rakan-rakan kolej menghadiri upacara perkahwinan kakak salah seorang rakan sekursus. Masa beberapa jam yang saya luangkan di sana menyedarkan saya betapa saya “buta budaya”.
“Ternyata, dalam kehidupan seharian masyarakat India, pohon pisang mendapat tempat yang istimewa.”
Saya agak terkejut mendengar komentar yang dilakukan oleh Elaine semasa kami duduk di dewan sementara menanti upacara perkahwinan bermula.
“Maksud awak?” Zetti bertanya.
“Maksud saya, pohon pisang berguna semasa upacara yang menggembirakan seperti perkahwinan, mahupun semasa upacara yang menyedihkan seperti kematian.”
Tentu sahaja saya kagum mendengar penjelasan Elaine. Saya memilih untuk berdiam sahaja kerana kalau saya membuka mulut, mungkin akan pecah rahsia bahawa pengetahuan Elaine mengenai budaya kaum India jauh mengatasi pengetahuan saya!
“Apabila pasangan mendirikan rumah tangga, generasi tua kaum India selalunya akan merestui mereka supaya hidup beranak-pinak seperti pohon pisang,” Kameshwaran pula menambah. “Perbandingan seumpama ini digunakan kerana pohon pisang memang subur dan mampu ‘melahirkan zuriat’ secara produktif dan berterusan.”
Kami sama-sama tertawa kecil mendengar ulasan itu. Beberapa orang hadirin menoleh ke arah kami; mungkin kerana hairan melihat sekumpulan remaja pelbagai kaum berpakaian tradisional India dan berbual rancak sambil ketawa ria.
(Petikan cerpen “Pengantin Pohon Pisang” dari Kathakali, 2009)
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!