27 Mar 2010

Sejarah Awal Kavyan

“Sasterawan bererti penulis yang menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia seperti novel, cerpen, drama, puisi dan lain-lain.”
.
Sumber: http://dbp.gov.my/dbp98/penulis/asn.htm (Oktober 2002)
..
22 Ogos 1999. Suatu tarikh yang penting bagi masyarakat India di Malaysia. Pada hari tersebut sekumpulan kecil penulis kaum India dan peminat sastera Bahasa Malaysia mengadakan satu perjumpaan tidak rasmi di ibu negara. Nama sementara yang diberikan bagi kumpulan ini adalah KuSasKI iaitu Kumpulan Sasterawan Kaum India.
..
(Nama itu mengalami beberapa perubahan – Persatuan Penulis Kaum India Malaysia, Yayasan Sasterawan kaum India Malaysia – sebelum dimuktamadkan sebagai Kumpulan Sasterawan Kavyan.)
..
Perjumpaan itu amat bermakna kerana telah menyatukan minda-minda yang inginkan pembaharuan dalam bidang penulisan dan kemajuan masyarakat India di Malaysia. Tidak setakat itu, kumpulan penulis ini juga diharapkan akan menjadi pengantara yang akan menghubungkan idea-idea baru golongan pasca-merdeka, muda dan berilmu.
..
Hasil daripada pertemuan itu maka lahirlah Kavyan, semacam kelab/persatuan tidak rasmi yang dianggotai khusus oleh masyarakat India di Malaysia. Ia terdiri daripada penulis karya kreatif, penulis karya non-kreatif, peminat karya kreatif Bahasa Malaysia dan juga individu yang terlibat dalam kegiatan seni dan budaya masyarakat India di Malaysia.
..
“Kavyan” adalah istilah Sanskrit dan Malayalam yang membawa makna “sasterawan” atau “pengarang karya sastera”. Istilah “karyawan” dalam Bahasa Malaysia berasal daripada istilah “Kavyan”.
..
Menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka (http://dbp.gov.my/dbp98/penulis/asn.htm, Oktober 2002), “Sasterawan bererti penulis yang menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia seperti novel, cerpen, drama, puisi dan lain-lain.”
.
Satu aspek utama yang perlu diberi perhatian adalah bahawa Kavyan tidak bernaung di bawah mana-mana parti politik atau pertubuhan lain. Langkah ini bagi memastikan Kavyan dapat mengekalkan keunggulan dan jati diri tanpa dipengaruhi sesiapa.
..
Kavyan juga dengan penuh sedar memutuskan bahawa sebutan Sastera Bahasa Malaysia akan digunakan bagi merujuk kepada karya-karya bahasa kebangsaan yang dihasilkan penulis kaum India di Malaysia. Kavyan sedar bahawa sebutan ini adalah tepat dan betul; tidak perlu digantikan dengan istilah/sebutan/frasa lain.
..
Salah satu aktiviti sulung Kavyan adalah menerbitkan surat berita Kavya. Istilah “Kavya” diadaptasi menjadi “karya” dalam Bahasa Malaysia.
..
Surat berita Kavya diterbitkan mulai September 1999 untuk diedarkan secara percuma kepada para ahli. Kavya bertujuan menyebar luaskan maklumat mengenai karyawan/sasterawan/seniman kaum India di Malaysia. Bahan-bahan yang dimuatkan menggunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil. Segala maklumat mengenai aktiviti Kavyan dilaporkan di dalamnya.
..
Mulai Julai 2002, surat berita dwibahasa Kavya mula dimuatkan di laman sesawang; agar Kavya dan perjuangan serta aktiviti Kavyan boleh diakses melalui internet dari mana-mana penjuru dunia.
..
Ahli Kavyan turut terlibat dalam mengendalikan BENGKEL KARYAWAN MUDA dalam usaha melahirkan sasterawan alaf baru. Lanjutan daripadanya, beberapa ahli Kavyan berusaha menerbitkan antologi cerpen Bahasa Malaysia karya penulis kaum India Malaysia. Hasilnya adalah antologi cerpen Vanakam.
..
Sila KLIK DI SINI untuk membaca ringkasan “sejarah awal” dan aktiviti Kavyan, 1999-2003.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!