3 Apr 2010

Mereka yang Merdeka

Mereka yang merdeka

ghairah dalam keagungan diri

rakus mengejar kakayaan

mengorbankan kemanusiaan.

Mereka di tengah-tengah kota

bergelar metropolitan merdeka

tersisih golongan merempat

tiada tempat berteduh

hidup merdeka di tepian

longkang yang sebu.

..

Mereka yang merdeka

melihat tetapi membuta

mendengar tetapi membisu

tangisan anak terdera

raungan bayi terbuang

jeritan isteri teraniaya

kerana mereka telah merdeka.

..

Mereka melaung-laungkan

Merdeka, merdeka

tetapi melelongnya di pasaran dunia

tidak mengendahkan martabat bangsa

mengenepikan budaya bangsa.

..

Mereka yang merdeka:

inikah erti keamanan,

inikah harga kemerdekaan?

..

(Karya Retna Devi Balan sempena Ratib Seribu Syair)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!