25 Apr 2010

Penulis Malaysia Kurang Wawasan

SEMINAR Kesusasteraan Bandingan yang dianjurkan di Shah Alam pada 6-7 Oktober 2001 amat baik. Usaha ini menampakkan ada inisiatif untuk menggerakkan kegiatan sastera yang agak kekurangan khususnya di Selangor sejak kebelakangan ini selain kegiatan baca puisi yang semakin galak. Pembentangan kertas kerja oleh beberapa penulis dan sarjana sastera tanah air dapat memenuhi keperluan seminar berkenaan, walaupun kesusasteraan bandingan belum begitu mendapat tempat di kalangan peminat sastera.
.

Saya berkesempatan hadir pada hari pertama (6 Oktober 2001). Sambutan pagi itu agak memberangsangkan kerana hampir semua tempat duduk dipenuhi peserta, terutama pelajar sekolah yang dibawa oleh guru mereka. Sesi pertama dan kedua seminar berkenaan menampilkan beberapa penulis yang menceritakan pengalaman dan mengapa mereka menulis.

.

Daripada pembentangan didapati penulis menceritakan pengalaman mereka menulis, bagaimana mereka bermula, kejayaan yang dicapai dan kegiatan mereka masa kini. Mereka lebih cenderung menceritakan pengalaman yang dilalui sekian lama daripada menceritakan tujuan sebenar mereka menulis. Kebanyakan penulis lebih senior dan tersohor nampaknya lebih mementingkan kepuasan diri sebagai matlamat penulisan mereka.

.

Di sini nampaknya penulis berkenaan kurang visi yang mantap dalam penulisan mereka. Mereka lebih mementingkan keperluan peribadi iaitu kepuasan setiap kali karya mereka tersiar di media. Cuma Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB yang agak jelas menampakkan visi dalam penulisan mereka.

.

Saroja Theavy Balakrishnan yang tampil dalam sesi pertama mengatakan bahawa beliau mahu menjadikan penulisan sebagai medan dalam memperjuangkan alam sekitar. Oleh sebab itu, dalam kebanyakan karyanya, aspek alam sekitar menjadi tema pilihan untuk digarap menjadi bahan penulisan.

.

Malah kehebatan beliau terbukti apabila karya beliau telah terpilih sebagai salah sebuah karya yang memenangi tempat pertama Pertandingan Cerpen Formula Malaysia 2000. Selain itu, salah sebuah cerpennya terpilih sebagai bahan bacaan Komponen Sastera Bahasa Malaysia. Cerpen berkenaan juga mengambil alam sekitar sebagai bahan utama pengkaryaan.

.

Begitu juga dengan Uthaya Sankar SB. Dalam pembentangan yang didakwanya paling ringkas iaitu memakan masa lima minit (malah penganjur kononnya “tidak sempat” membuat fotokopi kertas kerja Uthaya Sankar SB untuk diedarkan kepada peserta seminar sedangkan kertas kerja telah diserahkan terus kepada urus setia seminar pada 2 Oktober 2001!), beliau mahu menjadikan karya sebagai wahana untuk mengetengahkan budaya dan pemikiran masyarakat India untuk diterima oleh masyarakat Malaysia.

.

[Klik untuk kertas kerja Uthaya Sankar SB]

.

Beliau menganggap karya adalah wadah paling ampuh untuk menyatukan masyarakat di bawah satu label budaya.

.

Beliau berkata, masyarakat Malaysia tidak harus dibahagikan mengikut kelompok ras yang berasingan tetapi perlu menjadi satu bangsa iaitu “Bangsa Malaysia”.

.

Walaupun matlamat itu agak tinggi dan terlalu ideal malah sukar dicapai – malahan sebenarnya bukanlah satu idea baru – beliau meletakkan matlamat itu sebagai landasan menghasilkan karya sastera terutamanya cerpen.

.

Tidak hairanlah dalam kebanyakan karyanya, tema dan persoalan dalam masyarakat India dipilih untuk dijadikan tema dan persoalan.

.

Visi Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB jelas sekali. Cuma masa yang bakal menentukan sama ada kedua-dua penulis Bukan Melayu ini dapat mencapai matlamat mereka. Namun dengan kesungguhan dan iltizam, tidak mustahil mereka dapat melakukannya.

.

Berbalik pada penulis lain, tujuan mereka menulis tidak begitu bersifat global. Mereka lebih mementingkan matlamat jangka pendek dan dekat dengan diri sendiri. Sedangkan kesusasteraan adalah cerminan masyarakat. Kesusasteraan tanah air yang kembali diberikan nafas sejak akhir-akhir ini sewajarnya mempunyai matlamat yang lebih besar dan bersifat nasional.

.

Selama ini dapat diperhatikan banyak karya yang berbaur protes terhadap pihak tertentu. Jika dilihat dalam halaman sastera siber, penulis semakin lantang menghentam kerajaan dalam karya mereka. Ada pula penulis yang bersikap talam dua muka dalam berkarya. Mereka mencari keuntungan material dengan karya mereka. Mereka seolah-olah menjadi penulis upahan sekadar untuk mendapatkan sedikit bayaran.

.

Seharusnya sebagai penulis yang sudah ada nama, mereka perlu menampakkan matlamat yang jelas dalam penulisan. Tidak salah sekiranya mereka menjadikan karya sebagai alat untuk mendidik masyarakat muda yang semakin liar dengan pelbagai pengaruh yang tidak dijangkakan. Apakah salahnya sekiranya penulis menjadi pengantara yang menjelaskan dasar kerajaan kepada golongan yang tidak mahu mengerti akan dasar-dasar yang digubal.

.

Dalam hal ini, penulis patut bertindak sebagai agen perubahan. Di bahu penulis tergantung tanggungjawab besar untuk memajukan negara, menaikkan martabat bangsa Malaysia dan paling tinggi adalah meletakkan martabat agama di tempat yang paling wajar. Jika semua penulis mempunyai pandangan jauh seperti Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB, tidak mustahil suatu hari nanti, kegemilangan sastera tanah air akan kembali bertapak.

.

Penulis perlu mempunyai visi dalam bidang mereka sendiri. Penulis bukanlah golongan syok sendiri yang terperap dalam kerjaya mereka yang sunyi. Penulis perlu menjelaskan segala kekeliruan yang menyebabkan masyarakat hilang hala tuju dalam kehidupan. Karya mereka harus menjadi suara besar yang mampu membawa sesuatu pada diri, pada bangsa, pada negara dan pada agama.

.

(Ahmad Muhammad, Berita Harian, 2 November 2001)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!