20 Apr 2010

Reformasi Budaya yang Gagal?

Uthaya Sankar SB perlu diakui adalah nama yang tidak asing lagi bagi khalayak sastera di Malaysia. Malah peminat sastera Malaysia yang sering mengikuti perkembangan sasterawan muda ini akan mengetahui bahawa cerpen-cerpen beliau tidak terkecuali daripada penampilan budaya masyarakat India.
.

Bagaimanapun, berjayakah beliau melakukan reformasi budaya sebagaimana yang sering dilaung-laungkannya dalam ceramah, seminar dan bengkel penulisan yang dikendalikannya?

.

Uthaya, selaku sasterawan yang multilingual dan arif dalam pelbagai bahasa ternyata memanfaatkan diksi serta ungkapan dalam Bahasa Sanskrit, Bahasa Malayalam dan Bahasa Tamil serta semangat India dalam cerpen-cerpen beliau.

.

Jika dibaca sepintas lalu, cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB dalam kumpulan Siru Kambam (DBP: 1996 & 1997) khususnya seolah-olah mengkritik budaya masyarakat India secara membuta-tuli.

.

Tetapi pembaca yang prihatin dan matang akan dapat menanggap mesej tersirat yang cuba diketengahkan oleh penulis muda ini.

.

Sebenarnya, Uthaya tidak mengkritik budaya masyarakat India per se tetapi yang dikritiknya secara terbuka dan direct adalah manusia yang mengamalkan kepercayaan konservatif secara membuta-tuli tanpa memikirkan rasional di sebaliknya.


Inilah reformasi pemikiran yang cuba dilakukan oleh Uthaya melalui karya-karyanya yang amat pedas dan memenuhi peribahasa siapa termakan cili, dia terasa pedasnya.

.

Sebagai sasterawan muda yang berpendidikan tinggi, berpandangan jauh, berwawasan serta komited terhadap masyarakatnya, beliau ingin membawa reformasi dalam kalangan masyarakat India yang masih berpegang teguh kepada beberapa amalan serta kepercayaan karut yang diwarisi daripada nenek-moyang mereka.

.

Hasrat beliau murni iaitu ingin membawa mereka ke pangkal jalan setelah sekian lama tersesat. Beliau berusaha sedaya upaya untuk mencelik mata serta membuka minda masyarakat India melalui cerpen-cerpen beliau.

.

Jika dikaji secara teliti, ada kesahihan fakta di sebalik kritikan beliau. Malah terbukti bahawa beberapa amalan serta kepercayaan karut yang telah berakar umbi dalam kebudayaan masyarakat India sebenarnya bercanggah dengan ajaran agama Hindu sendiri. Semua ini dikemukakan oleh Uthaya melalui karya kreatif.

.

Misalnya agama Hindu melarang mendiskriminasi sesama insan. Amalan sistem kasta, adat satee, sistem dowri, kahwin paksa, pemakaian sari putih oleh balu, penggunaan nama suami dalam kalangan wanita India yang telah berkahwin dan yang lain-lain tidak tercatat dalam kitab suci agama Hindu. Sebaliknya amalan-amalan ini sengaja dicipta oleh insan biasa demi kepentingan kelompok tertentu.

.

Penulisan Uthaya ternyata bukan berdasarkan imaginasi dan naluri semata-mata. Sebaliknya ia bertunjangkan ilmu bantu dan pengetahuan mendalam berhubung persoalan yang dikemukakan dalam karya.

.

Misalnya, semata-mata untuk menulis cerpen “Datuk Datang ke Kampung Kami”, Uthaya khabarnya telah menjadi ahli sebuah pertubuhan politik secara aktif selama tiga tahun. Tindakan ini dibuat untuk memastikan bahawa apa yang digambarkannya dalam karya adalah berdasarkan realiti.

.

Uthaya juga ternyata memanfaatkan cerpen sebagai wahana untuk menyedarkan masyarakat India yang masih berfikiran konservatif dalam segala aspek hidup. Segala ketidakpuasan yang tersemat dalam sanubari beliau diluahkan melalui cerpen.

.

Dalam cerpen “Nayagi” misalnya, Uthaya dengan sengaja menyelitkan ceramah yang dikendalikan oleh salah seorang pengikut Subramaniam Barathi.

.

Subramaniam Barathi ialah seorang pujangga yang telah berjuang untuk kebebasan wanita di negara India. Beliau pernah menghasilkan banyak karya agar wanita India dibebaskan daripada belenggu sistem kekeluargaan India.

.

Dengan penuh kreatif, Uthaya telah meneruskan perjuangan hak wanita kaum India di Malaysia. Penelitian terhadap beberapa cerpennya dalam Siru Kambam akan membuktikan hakikat ini.

.

Dalam cerpen “Nayagi”, Uthaya menggambarkan imej wanita kaum India yang diimpikannya: kekal dengan jati diri, bersemangat Malaysia dan bebas daripada kongkongan yang tidak berasas.

.

Manakala dalam cerpen “Cerpenis” pula, watak Vasanthi dilarang oleh suaminya untuk melibatkan diri dalam penulisan kreatif setelah berumah tangga. Vasanthi tidak semata-mata menyerah diri pada nasib atau takdir. Sebaliknya dia dengan penuh keyakinan memberitahu kakaknya bahawa dia akan berbincang dengan suaminya secara mendalam dan akan terus menulis dengan sokongan moral suaminya.

.

Wanita India yang berani, berpendirian tegas, berjiwa kental, berani menuntut hak serta kebebasan diri seperti merekalah yang diharapkan oleh Uthaya.

.

Uthaya juga nyata berasa hampa dengan sikap segelintir wanita India yang semakin hilang keperibadian mereka. Mereka terlalu pasif serta masih memperhamba diri mereka kepada suami. Segala kekecewaan beliau digambarkan melalui tindakan watak Citra dalam cerpen “Wanita”.

.

Uthaya mengkritik watak Citra yang menggugurkan nama asalnya setelah berkahwin. Apabila dipersoal, dia menegaskan bahawa amalan sedemikian berkaitan dengan agama. Kritikan Uthaya memang kena pada tempatnya kerana amalan sebegini tidak tercatat dalam ajaran agama Hindu. Adalah tidak munasabah untuk mengaitkan segala amalan kolot itu dengan ajaran agama.

.

Sebagai sasterawan yang berjiwa rakyat, ternyata Uthaya ingin melihat masyarakatnya berfikiran kritis, berpandangan jauh serta berfikiran terbuka seperti kaum lain.

.

Beliau mahukan sekurang-kurangnya generasi muda yang berpendidikan tinggi, berpengetahuan agama dan yang berfikiran terbuka akan dapat membezakan yang mana intan dan yang mana kaca.

.

Reformasi budaya ini dimulakan oleh Uthaya dengan memberi tumpuan khas dan khusus kepada watak wanita. Ini tidaklah menghairankan kerana sebagaimana yang dinyatakannya dalam cerpen “Nayagi”:

.

Untuk rakyat merdeka, kaum wanita perlu terlebih dahulu merdeka. ... Mana boleh anak-anak bangsa merdeka jika kaum ibu yang mengandungkan mereka masih belum merdeka.

.

Sama ada Uthaya berjaya atau sebaliknya dalam reformasi budaya yang dimulakannya, bukan lagi terletak di tangannya. Tetapi dalam jiwa pembaca yang menghayati karyanya.

.

Pada masa yang sama, timbul pula persoalan, apakah Uthaya akan sendirian dalam usahanya melaksanakan reformasi budaya. Mungkin rakan-rakannya seperti Saroja Theavy dan Srivalli (kedua-duanya pengarang wanita) perlu ada kesedaran tentang kemerdekaan wanita sebagaimana yang dimiliki oleh Uthaya.

.

Para penulis muda dan bakal penulis daripada kalangan kaum India di Malaysia juga perlu memulakan penulisan masing-masing dengan ideologi dan pegangan yang kuat; bukan menulis sekadar untuk menulis dan memenuhkan ruang akhbar.

..

(Raja Rajeswari dalam Kavya keluaran Mac/April 2000)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!