23 Apr 2010

Sastera Malaysia: Satu Bahasa, Pelbagai Budaya

Forum Penulis Pelbagai Kaum: Satu Pertemuan Kreatif pada 8 Januari 1994 mungkin merupakan satu titik permulaan ke arah mencari bentuk sastera kebangsaan negara kita.
.

Forum tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan dipengerusikan oleh Prof. Madya Abdullah Tahir (Allahyarham) dihadiri sekitar 80 peserta pelbagai kaum. Penulis pelbagai kaum ini telah berpeluang untuk saling mengenali sastera pelbagai bahasa yang terdapat di Malaysia.

.

Salah seorang panel, Prof. Madya Dr Tang Eng Teik memperkatakan rentetan sejarah sastera Mahua (Malaysian Tionghua) dari tahun 1919 hingga akhir tahun 1980-an.

.

Kolumnis akhbar New Straits Times, Wong Phui Nam pula menjelaskan mengapa ada penulis yang masih menulis dalam Bahasa Inggeris. Beliau berpendapat bahawa penulis-penulis yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam berkarya tidak seharusnya mengabaikan idea, matlamat dan budaya negara ini.

.

Pada masa yang sama, menurut beliau lagi, untuk menjadi penulis yang berjaya, para penulis Malaysia amat perlu mengkaji dan meneliti perkembangan sastera dan sasterawan negara-negara lain. Di sinilah Bahasa Inggeris memainkan peranan yang amat penting kerana bahasa itu merupakan bahasa antarabangsa.

.

Suasana gamat sedikit apabila Dr Krishanan Maniam dari Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya mendedahkan bahawa karya Bahasa Tamil yang tersiar di akhbar dan majalah tidak dibayar honorarium. Malah, untuk menerbitkan antologi/kumpulan cerpen mahupun novel Bahasa Tamil, penulis terpaksa mengusahakannya sendiri; termasuk urusan pemasaran.

.

Usaha-usaha baru harus dilakukan bagi memastikan nasib penulis karya Bahasa Tamil terpelihara, kata beliau. Perlu juga diadakan bengkel penulisan atau seminar sastera bagi membantu meningkatkan mutu karya mereka. Jika tidak, mutu dan hasil karya sastera Bahasa Tamil akan terkubur di masa hadapan.

.

Kajian terperinci beliau terhadap hal ini dapat dibaca dalam Cerpen Tamil dan Melayu (1957-1970): Perbandingan Tema dan Struktur (DBP: 1993).

.

Ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu Berhad, Johan Jaafar pula membuat semacam kesimpulan bahawa masih belum berlaku penyatuan antara karya-karya Bahasa Malaysia, Tamil, Mahua dan Inggeris. Menurut beliau, perlu ada interaksi antara penulis pelbagai kaum (yang menulis dalam pelbagai bahasa) agar dapat menyumbang kepada perkembangan Sastera Malaysia.

.

“Pengelasan seperti penulis kaum India untuk sastera Bahasa Tamil, penulis kaum Cina bagi sastera Mahua dan penulis kaum Melayu untuk sastera Melayu akan menyebabkan penulis menulis mengikut orientasi kaumnya sendiri serta sukar untuk menerima bentuk penulisan kaum lain,” kata beliau.

.

Menurut beliau lagi, perlu ada satu interaksi yang lebih erat dan terancang bagi mencari jalan ke arah mewujudkan Sastera Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing.

.

Daripada pemerhatian penulis, forum yang lebih berupa “pertemuan” ini tidak mencapai sebarang kata sepakat sebagaimana yang telah penulis impikan sebelum menyertainya.

.

Apa yang agak aneh, sepanjang forum, panel dominan memperkatakan karya kaum dan bahasa masing-masing. Panel sekadar “mencadangkan” agar penulis pelbagai kaum menulis dalam Bahasa Malaysia. Para peminat sastera tanah air tentu maklum bahawa Tan Bok Hooi, Saroja Theavy Balakrishnan, Lawrence Quek, Eh Pon dan Prasert Eh Chai (sekadar menyebut beberapa nama) adalah penulis Bukan Melayu yang mampu mengungkapkan budaya kaum/etnik masing-masing dalam sastera Bahasa Malaysia.

.

Karya-karya bermutu penulis Bukan Melayu yang memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP terdapat dalam siri antologi Menara (DBP: 1988), Menara 2 (DBP: 1989), Menara 3 (DBP: 1990), Menara 4 (DBP: 1991) dan Menara 5 (DBP: 1993). Tanpa Mengira Warna (DBP: 1993) juga merupakan antologi cerpen penulis Bukan Melayu.

.

Tempoh forum yang relatif singkat juga tidak memungkinkan para peserta mengenali sastera pelbagai bahasa yang diterangkan oleh panel. Tanpa “pengenalan asas” itu, tentulah sukar untuk mencari satu titik pertemuan antara sastera Bahasa Malaysia, Tamil, Mahua dan Inggeris. Apatah lagi untuk merumuskan satu bentuk Sastera Kebangsaan!

.

Penulis pelbagai kaum yang sudah sedia menulis dalam Bahasa Malaysia boleh dijadikan agen atau tali penghubung antara sastera pelbagai kaum di negara kita. Penulis-penulis ini harus terus mempertahankan identiti dan budaya masyarakat dalam karya Bahasa Malaysia yang mereka hasilkan.

.

Selain daripada membantu memperkayakan sastera Bahasa Malaysia, karya-karya seumpama ini juga menyumbang ke arah membentuk persefahaman dalam kalangan masyarakat majmuk.

.

Cerpen “Kandasami” (Menara 4) dan “Nayagi” (Menara 5), misalnya, memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia meneliti secebis daripada permasalahan dan budaya kaum India yang didedahkan oleh penulis kaum India sendiri dalam Bahasa Malaysia yang sangat indah dan berkesan.

.

Penulis pelbagai kaum juga harus berani menulis tentang kaum-kaum lain. Azizi Haji Abdullah, misalnya, melalui novel Sinappapal (DBP: 1993) mempunyai keunikan tersendiri (walaupun masih tepu dengan gaya Melayu-Islam).

.

S.M. Zakir dan Anwar Ridhwan (sekadar contoh) pula menyelongkar khazanah sastera epik India, lalu memberi interpretasi baru mengikut perkembangan semasa.

.

Usaha Biro Antarabangsa PENA mewujudkan interaksi antara penulis pelbagai kaum/bahasa seharusnya dipuji. Harapan penulis adalah agar pertemuan-pertemuan susulan terus diadakan dari semasa ke semasa.

.

Badan-badan berwibawa seperti Kelab Sastera DBP, Kelab Sastera Bandingan, GAPENA dan Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) pula disarankan menganjurkan pertemuan antara penulis pelbagai kaum yang dikenal pasti berupaya mengungkapkan budaya pelbagai kaum dalam sastera Bahasa Malaysia.

.

Dalam pertemuan berbentuk diskusi itu nanti, perbincangan bukan lagi tentang titik persamaan antara karya kreatif Bahasa Malaysia, Tamil, Mahua dan Inggeris. Sebaliknya perbincangan harus lebih serius terhadap isu sastera pelbagai kaum yang dihasilkan dalam Bahasa Malaysia tanpa kehilangan identiti budaya masing-masing penulis pelbagai kaum/etnik.

.

(Uthaya Sankar SB, Utusan Malaysia, 12 Februari 1994)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!