23 Apr 2010

Mengubah Teks: Intertekstual vs Cuplikan

Nampaknya isu pencuplikan @ penciplakan masih berterusan. Ia bukan lagi isu antara dua individu tetapi sudah menjadi isu antara kelompok penulis muda dengan penulis mapan (juga mantan penulis!).
.

Polemik di akhbar menjadi lebih rancak dan ceria apabila ada pihak ‘tidak berkenaan’ turut “tumpang semangkuk” untuk memperkatakannya. Dan isu ini menjadi sedikit serius apabila pihak yang arif dalam bidang teori tampil memberikan pendapat dan hujahan.

.

Saya lebih tertarik kepada hujahan golongan sarjana yang bercakap berdasarkan teori dan bukannya emosi semata-mata.

.

Sebenarnya, kalau diambil kira “teori cuplikan” yang dikemukakan oleh beberapa pihak, maka rata-rata karya kreatif yang terhasil adalah berciri “cuplikan” daripada teks-teks lain.

.

Sebaliknya, kelompok sarjana yang berpengetahuan teori tidak akan terus “melenting” dan “membuka bunga silat” apabila berhadapan dengan teks yang berciri intertekstual. Sebab itulah saya lebih tertarik kepada hujahan kelompok sarjana dalam isu “cuplikan vs interteks” yang hangat sekarang ini.

.

Ada baiknya jika peneliti sastera tanah air didedahkan dengan asas teori intertekstual supaya lebih memahami polemik yang wujud. Biar saya berikan huraian berserta contoh bagi membantu menambah pemahaman pembaca. Bagi tujuan penjelasan ini, saya akan menggunakan karya-karya saya sendiri sebagai contoh kerana saya secara penuh sedar sering menggunakan unsur intertekstual dalam karya.

.

Teks cerpen “Mengubah Teks” (Mingguan Malaysia, 11 Jun 1995 dan Siru Kambam, 1996) sesuai diteliti menggunakan teori intertekstualiti yang dikemukakan oleh Mikhail Bakhtin dalam Speech Genre and Other Late Essays (1986), Julia Kristeva dalam Desire in Language: A Semiotic Approach of Literature and Art (1980) dan Mana Sikana dalam Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme (1998).

.

Dalam teks “Mengubah Teks” berlaku dialog yang menghubungkan antara teks dalaman dan teks luaran; sebagaimana disebutkan oleh Bakhtin. Dalam teks ini juga terdapat beberapa lagi teks; iaitu ciri yang ditekankan oleh Kristeva.

.

Teks cerpen “Mengubah Teks” menampakkan ciri intertekstualiti melalui judulnya sendiri; di mana peranan pengarang adalah ‘mengubah’ teks-teks lain yang pernah dibacanya sebelum ini. Proses ‘mengubah’ itulah yang saya cuba sampaikan secara kreatif melalui cerpen ini.

.

Antara teks luaran yang terdapat dalam cerpen berkenaan adalah cerpen “A Horse and Two Goats” karya R.K. Narayan, novel Sinappapal karya Azizi Haji Abdullah (1993), Dari Salina ke Langit Petang tulisan A. Samad Said (1987), siri televisyen Quantum Leap dan cerpen “The Sword of Shiva” karya Khawaja Ahmad Abbas.

.

Prinsip transformasi fizikal banyak terdapat dalam teks “Mengubah Teks”. Misalnya perhatikan dialog berikut daripada cerpen “Mengubah Teks”:

.

Marvellous! Saya pasti awak tahu usia patung ini,” kata lelaki itu sambil menunjukkan patung kuda yang sedang berdiri dengan kedua-dua kaki belakang itu.

.

Petikan di atas merupakan transformasi daripada cerpen “A Horse and Two Goats” karya R.K.Narayan dalam kumpulan cerpen A Horse and Two Goats and other stories (1970). R.K.Narayan menulis begini dalam teks asal:

.

“Marvellous! I am sure you know when this horse was made.”

.

Patung kuda itu pula digambarkan sebagai “prancing its forelegs in the air”.

.

Melalui cerpen “Mengubah Teks”, saya berusaha melakukan transformasi fizikal daripada teks “A Horse and Two Goats”. Proses transformasi ini kemungkinan besar telah berlaku dalam proses pembacaan teks asal dan proses kreativiti semasa menulis.

.

Saya juga melakukan modifikasi terhadap teks asal yang dikemukakan dalam “Mengubah Teks”. Penyesuaian, perubahan dan pindaan ini dilakukan supaya interteks yang dilakukan sesuai dengan teks baru.

.

Misalnya, dalam “A Horse and Two Goats”, watak Muni menerima dengan gembira rokok yang dihulurkan oleh pelancong Amerika yang datang ke kampung Kritam. Sebaliknya dalam “Mengubah Teks”, apabila watak pelancong Amerika menghulurkan sebatang rokok, reaksi yang diberikan adalah “Maaf, saya antirokok.”

.

Modifikasi lain yang nyata adalah bila mana dalam “Mengubah Teks”, saya menulis begini:

.

“Dan kamu, Zul, cuba baca dua kalimah syahadat.”

“Saya?” tanyaku apabila menyedari bahawa ustaz itu sedang merenung tajam ke arahku.

“Ya! Kau Islam, bukan?”

“Err … saya bukan Zul.”

.

Bahagian ini sebenarnya merupakan modifikasi intertekstual daripada novel Sinappapal. Teks asal adalah seperti berikut:

.

“Haaa, kamu Zul!” kata Ustaz Sudin.

Zulkifli bangun tetapi tidak bersedia hendak mengucap. Dia tidak tahu mengapa dia sangat payah hendak menyebut dua kalimah syahadat itu.

.

Ternyata “Mengubah Teks” telah saya gunakan untuk menampilkan sifat demitefikasi iaitu salah satu prinsip intertekstualiti. Tentu sekali saya memahami teks-teks asal yang saya gunakan semula dalam “Mengubah Teks”. Saya seterusnya mempersoalkan serta menentang beberapa perkara yang terdapat dalam teks-teks asal berkenaan.

.

“Mengubah Teks” tersiar pada 11 Jun 1995. Pada 30 Julai dan 6 Ogos 1995 pula, saya menulis “Proses Pembacaan Novel Sinappapal” dalam Mingguan Watan. Dalam artikel itu, saya sejak awal-awal lagi mengatakan bahawa saya tertanya-tanya apakah jantina watak ‘Sinappapal’. Sehingga selesai membaca novel berkenaan, saya sebenarnya masih tidak mendapat penjelasan (gambaran jelas) mengenai jantina watak itu.

.

Saya masih tidak tahu adakah Sinappapal seorang budak lelaki atau perempuan. … Hanya setelah membaca cerpen “Seeds of Love” saya faham bahawa Sinappapal sebenarnya perempuan; itupun lantaran penggunaan kata ganti ‘she’!

.

Kritikan yang sama – yang berciri demitefikasi – saya kemukakan dalam teks cerpen “Mengubah Teks” apabila saya menulis:

.

Memang semasa membaca novel itu [Sinappapal] aku tidak berupaya menentukan jantina watak Sinappapal. Hanya setelah membaca cerpen “Seeds of Love” aku faham bahawa Sinappapal sebenarnya perempuan; lantaran penggunaan kata ganti she!

.

Ini bermakna, selain melakukan demitefikasi terhadap teks novel Sinappapal dalam teks cerpen “Mengubah Teks”, saya juga melakukan transformasi daripada teks “Proses Pembacaan Novel Sinappapal”.

.

Teks “Mengubah Teks” adalah relatif pendek; dan mustahil untuk memasukkan keseluruhan petikan daripada teks-teks luar yang digunakan dalam penghasilan cerpen berkenaan. Maka saya sekadar ‘mengutip’ bahagian-bahagian tertentu daripada teks-teks asal. Bahagian-bahagian yang tidak perlu pula digugurkan, ditinggalkan atau dibuang.

.

Misalnya, tidak keseluruhan teks cerpen “A Horse and Two Goats” diperturunkan dalam “Mengubah Teks”. Jadi cerpen ini memenuhi ciri haplologi dalam melakukan intertekstualiti.

.

Pada masa yang sama, saya juga secara penuh sedar melakukan kutipan sepenuhnya daripada bahagian-bahagian tertentu dalam teks asal. Ciri ekserp ini misalnya dapat diteliti dalam petikan “antara selera makan, aku lebih memilih selera otak” yang mana diakui sendiri oleh watak ‘Aku’ adalah kutipan kata-kata Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said daripada buku Dari Salina ke Langit Petang.

.

Sifat konversi dalam intertekstualiti pula tidak seradikal demitefikasi. Selain melakukan penentangan terhadap teks asal menggunakan ciri demitefikasi, melalui “Mengubah Teks”, saya turut menggunakan ciri konversi yang lebih berupa tindakan memutar-belitkan petikan daripada teks asal.

.

Contohnya apabila watak ‘Aku’ berada di tempat watak Muni dalam cerpen “A Horse and Two Goats”. Dalam teks asal, Muni tidak tahu berbahasa Inggeris. Watak ‘Aku’ sendiri mengakui bahawa “masalah bahasalah yang menjadi unsur utama bagi kejayaan cerpen berkenaan”. Sebaliknya, sebelum itu, apabila watak ‘Aku’ berada di tempat watak Muni, ‘Aku’ telah bercakap dengan watak orang Amerika menggunakan Bahasa Inggeris yang sangat lancar.


.

Begitu juga apabila watak ‘Aku’ muncul di tempat watak Hanuman dalam teks novel Hanuman: Potret Diri, ‘Aku’ terasa sangat takjub apabila berhadapan dengan watak Rama. Dalam teks asal Hanuman: Potret Diri, dialog antara Hanuman dan Rama sepatutnya begini:

.

“Aku dan Sita akan menyamar menjadi orang kebanyakan. Kami mahu pergi menebus dosa.”

“Dosa?”

“Aku tidak dapat menceritakannya. Dan kau mungkin tidak akan berupaya memahaminya.”

Aku faham, ayah! Tapi di saat segenting ini pun aku tidak dapat menyatakannya kerana aku segera teringatkan pesanan Ibu Anjathi.

.

Dalam “Mengubah Teks” pula, petikan itu diputar-belitkan menjadi begini:

.

“Aku terpaksa pergi untuk menebus dosaku di masa lalu,” kata seorang Maharaja Hindu sambil tiba-tiba sahaja memegang bahuku.

“Dosa?” tanyaku kebingungan.

“Kau tidak akan faham, Hanuman.”

“Hanuman?”

Aku memandang keliling.

.

Kebanyakan fakta dalam “Mengubah Teks” memang telah diputar-belitkan secara konversi daripada teks-teks asal melalui penggunaan teknik intertekstualiti. Selain itu, saya turut berusaha melahirkan unsur-unsur luar biasa dengan mengubah teks asal, mengubah makna asal serta mengubah peranan watak asal. Saya percaya, tindakan defamiliarisasi ini mampu memberikan makna baru kepada teks asal itu sendiri.

.

Dalam hal ini, teks novel Hanuman: Potret Diri (juga karya saya) merupakan versi parodi teks Ramayana. Dalam “Mengubah Teks” pula, saya sekali lagi mengubah teks dengan menampilkan watak ‘Aku’ yang bertemu Rama (dalam Hanuman: Potret Diri yang diparodikan daripada Ramayana!) sebagai diri Hanuman. ‘Aku’ @ Hanuman kemudian sempat pula bertanya kepada Rama:

.

“Eh, betulkah Sita tu sebenarnya adik awak? Betulkah awak mahu membuat filem dokumentari pengalaman awak berperang dengan Ravana?”

.

Pertanyaan mengenai filem dokumentari pastinya tidak berdasarkan teks Ramayana mahupun Hanuman: Potret Diri; tetapi berdasarkan teks cerpen-cerpen karya saya berjudul “Bitara Sita” (Mingguan Malaysia, 31 Oktober 1993), “Sengketa Pulau Cinta” (Mingguan Malaysia, 23 April 1995) atau “Sasterawan Pulau Cinta” (Mingguan Malaysia, 12 November 1995).

.

Hal ini bermakna, saya secara penuh sedar melakukan intertekstualiti terhadap teks penulis lain dan juga teks saya sendiri. Hakikat ini ada saya akui pada prakata kumpulan cerpen Siru Kambam (1996) di mana saya mengatakan:

.

Kekecewaan yang saya alami selepas membaca novel Sinappapal telah saya lahirkan dalam “Mengubah Teks”. Saya baurkannya dengan pengalaman saya ‘berkhayal’ sewaktu membaca buku-buku cerita. … Sebenarnya cerpen “Mengubah Teks” kaya dengan unsur intertekstualiti sehingga tidak enak dibaca tanpa merujuk kepada teks-teks lain yang disebut di dalamnya. … Malah saya suka mewujudkan hubungan intertekstual dalam cerpen-cerpen saya sendiri.

.

Dalam “Mengubah Teks”, saya menggunakan sudut pencerita orang pertama ‘Aku’ yang bukan diri saya (Uthaya Sankar SB). Namun ‘Aku’ ternyata mengenali diri saya (Uthaya Sankar SB) kerana dalam teks ini dinyatakan bahawa saya (Uthaya Sankar SB) pernah memberikan senaskhah kumpulan cerpen Orang Dimensi kepada ‘Aku’. Malah, dalam cerpen “Mengubah Teks”, watak ‘Aku’ sebenarnya sedang berada dalam teks “Mengubah Teks” (yang ditulis oleh saya, Uthaya Sankar SB) dan memutuskan untuk mengubahnya!

.

Aku berada di entah mana. Di hadapanku ada sebuah mesin taip Olivetti Lettera 32 yang sudah siap diisi kertas saiz A4. Di bahagian atas kertas putih itu tertaip frasa “Mengubah Teks”.

Agaknya sekarang ini aku menjadi watak Khandan dalam cerpen “Mengubah Teks”. Seingat aku, Khandan dalam cerpen berkenaan mahu menghasilkan sebuah karya parodi eksperimental bertajuk “Mengubah Teks’.

Ini peluang untuk aku mengubah teksnya pula!

.

Perlu juga disebutkan bahawa dalam cerpen saya berjudul “Persaudaraan Banyan” (Siru Kambam), watak Khandan dikatakan telah menghasilkan manuskrip cerpen bertajuk “Mengubah Teks”. Apabila Khandan meninggal dunia, manuskrip itu diserahkan kepada watak ‘Uthaya’. Dan dalam “Mengubah Teks”, watak ‘Aku’ ingin mengubah teks itu pula!

.

Tindakan saya yang secara penuh sedar mengubah teks-teks asal ternyata menghasilkan suatu teks baru yang menampilkan unsur luar biasa. Misalnya mengenai kemungkinan teks “Mengubah Teks” itu sendiri dihasilkan – diubah – oleh ‘Aku’, Khandan serta saya sendiri.

.

“Mengubah Teks” juga menampilkan unsur intertekstualiti yang berciri paralel. Terdapat beberapa unsur yang universal; yakni sukar dikatakan bahawa kutipan tertentu saya lakukan daripada suatu sumber sahaja.

.

Contoh yang sesuai adalah apabila watak ‘Aku’ menegaskan:

.

Aku percaya bahawa sebagai seorang pembaca, aku berhak menentukan apa yang aku mahu dalam sesebuah karya. Penulis tidak semestinya betul.

.

Pendapat ‘Aku’ adalah suatu pendapat yang bersifat sejagat; mungkin sahaja pendapat yang sama dikemukakan dalam teks-teks lain di mana-mana negara. Pendapat yang sama sebenarnya ada saya sendiri kemukakan antara lain dalam prakata kumpulan cerpen Siru Kambam (1996) dan rencana “Mendekati Khalayak Remaja” (Dewan Sastera, Julai 1995).

.

Intertekstualiti tidak harus disalahertikan sebagai ciplak, plagiarisme, epigon, ‘cuplikan’ atau yang seumpamanya. Cerpen “Mengubah Teks” juga tidak boleh dilabelkan sebagai ciplak, plagiarisme, epigon, ‘cuplikan’ atau yang seumpamanya kerana cerpen itu tetap memperakukan bahawa kutipan-kutipan yang terdapat di dalamnya bukan karya asli saya; melainkan adalah kutipan daripada teks-teks lain.

.

Secara tidak langsung, sifat intertekstualiti yang nyata dalam teks “Mengubah Teks” membuatkan ia menjadi sebahagian daripada jaring (sesawang) yang semakin melebar. Teks ini mempunyai hubungan intertekstual dengan sekian banyak teks lain yang dihasilkan oleh saya sendiri atau penulis-penulis lain.

.

Hal ini sekali lagi menguatkan kedudukan “Mengubah Teks” sebagai teks berciri intertekstual di mana “dalam setiap karya itu berlaku dialog yang menghubungkan antara teks dalaman dan teks luaran” seperti kata Bakhtin serta “dalam sebuah teks terdapat beberapa buah teks” seperti kata Kristeva.

.

Sekiranya prinsip-prinsip asas teori intertekstualiti ini difahami oleh kelompok penulis dan khalayak sastera, nescaya kita tidak akan terlalu ghairah “membuka bunga silat” berdasarkan emosi semata-mata.

.

(Uthaya Sankar SB, Mingguan Malaysia, 2 Ogos 1998)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!