5 Oct 2010

Semangat Kembara ke Rumah Ibadat

Sungguhpun senarai asal konvoi ke rumah-rumah ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) melebihi 30 orang, namun pada peringkat akhir ia hanya dihadiri sepuluh orang.
.

Dengan jumlah yang sedikit itu, konvoi yang dirancang pada peringkat awal menggunakan sekurang-kurangnya lima kereta hanya menggunakan dua kereta.

.

Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB ketika ditemui memberitahu, konvoi yang dirancang melalui laman sosial Facebook itu hanya satu percubaan. Kekurangan peserta pada peringkat akhir itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat beliau untuk menganjurkan konvoi yang lebih besar pada masa hadapan.

.

“Memang kami mengharapkan lebih banyak penyertaan, lebih-lebih lagi dalam situasi ketika ramai yang menghadapi masalah pemahaman tentang agama-agama lain di Malaysia.

.

“Namun saya gembira kerana walaupun hanya sepuluh orang, ia berjaya dijalankan seperti yang dirancang,” katanya selepas melawat enam rumah ibadat iaitu kuil, gudwara, gereja, tokong, masjid dan wat atau tokong Buddha.

.

Perjalanan ke rumah ibadat di sepanjang Jalan Ipoh dan Jalan Sentul, Kuala Lumpur sebagai jalan utama itu selain dipimpin Uthaya, turut dibantu rakannya, P Aslambigai, 38, yang memberi penerangan tentang tempat-tempat lawatan.

.

“Saya mendapat tahu mengenai lawatan ini melalui laman sosial Facebook Uthaya.

.

“Selaras dengan semangat 1Malaysia, lawatan ini satu pengalaman yang bermakna kerana Islam tidak menghalang umatnya berbuat demikian,” kata dua orang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Mohd Annas Shafiq Ayob, 21, dan Muhammad Shairuli Famie Ramli, 21.

.

Siti Nursyarina Tiara Aminuddin, 19, pula berpendapat lawatan bersama keluarganya itu membantu memberi peluang menjejakkan kaki ke rumah ibadat bukan Islam selain menambahkan pengetahuan tentang agama-agama lain di negara ini.

.

“Saya berharap usaha seperti ini dilakukan lebih kerap supaya dapat mengukuhkan hubungan sesama kita,” kata ibu Tiara, yang hanya mahu dikenali Nurliza.

.

Konvoi yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu berakhir pada pukul 12.15 tengah hari.

..

(Ditulis oleh Nizha Periaswamy yang menyertai konvoi dan disiarkan dalam akhbar Kosmo! 4 Oktober 2010. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai Konvoi ke Rumah Ibadat.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!