Friday, 1 October 2010

Trivia Nama Malaysia

Nama “Malaysia” sebenarnya bukan nama yang hanya diperkenalkan menjelang tahun 1963 selepas Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah dipujuk menyertai persekutuan baru. Sebaliknya, peta yang dicetak di Chicago, Amerika Syarikat pada 1914 (lihat peta di kiri) melabelkan beberapa negara di Nusantara sebagai “Malaysia”.
.

Politikus di Filipina juga pernah memikirkan untuk menggunakan nama itu sebelum 1963. Semasa pembentukan Malaysia pada 1963, nama lain yang turut dicadangkan ialah “Langkasuka” sempena kerajaan lama yang pernah wujud di bahagian utara Tanah Melayu.

.

Bercakap mengenai “Melayu”, istilah itu diambil daripada Bahasa Sanskrit iaitu Malaiur dan Malayadvipa (negara bergunung). Nama lain yang dinyatakan dalam buku Sejarah adalah Swarnabhumi (Semenanjung Emas). Nama-nama itu digunakan pedagang India yang datang jauh sebelum Portugis. Pedagang China pula menggunakan sebutan “Mo-lo-yo”.

.

Istilah “Melayu” kemudian digunakan untuk merujuk kepada Kerajaan Melayu (abad ke-3 hingga ke-7) di Jambi, Sumatera. Dari sanalah kemudian beberapa kisah yang diceritakan dalam Sejarah Melayu bermula dan berkembang.

.

Pakar etnologi dari Britain, George Samuel Windsor Earl mencadangkan istilah “Melayunesia” dan “Indunesia” dalam Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia (1850) untuk kepulauan Indonesia.

.

Pada 1826, pelayar Perancis, Jules Dumont d’Urville mencipta istilah ‘Malaisia”, “Micronesia” dan “Melanesia”. Pada 1831, beliau mencadangkan kepada Persatuan Geografi (diasaskan pada 1821) untuk menggunakan istilah “Malaisia” untuk merujuk kepada kawasan yang menggabungkan apa yang kini kita kenali sebagai Malaysia, Indonesia dan Filipina.

.

Pada zaman itu, istilah “kaum Melayu” (Malay race) merujuk kepada kesemua penduduk keturunan Melayu di Kepulauan Melayu; berbanding istilah yang digunakan kini iaitu “bangsa Melayu” (Malay nation) dan “dunia Melayu” (Malay world). Definisi “Melayu” dalam konteks Malaysia boleh dirujuk DI SINI manakala penjelasan konsep “kaum” dan “bangsa” boleh dirujuk DI SINI.

.

Trivia menarik berkaitan nama beberapa bandar utama dunia boleh dibaca di Halaman Global, akhbar Sinar Harian mulai 4 Oktober 2010.

.

Dalam pada itu, maklumat mengenai nama “Malaysia” seperti di atas tentu sahaja merujuk pada sumber Barat dan pasti sahaja kesahihannya dipertikaikan pihak tertentu.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!