17 Jan 2011

Fakta Interlok edisi murid banyak mengelirukan

SHAH ALAM: Seorang penulis kaum India menggesa Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain tidak dibabitkan dalam kontroversi buku Interlok sekarang.
.
Uthaya Sankar SB, Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, berkata, ini kerana buku yang dibicarakan ialah edisi murid yang disunting Ruziati Abdul Rani dan Baharin Aiyob yang dicetak kali pertama pada tahun 2010.
.
Terdapat kesilapan fakta dalam buku komponen sastera dalam bahasa Malaysia tingkatan 5, edisi murid, Interlok.
.
Begitulah pandangan Uthaya dalam majis taklimat buku Interlok edisi murid, di sini, hari ini.
.
Kesalahan fakta yang diketahui ramai ialah kasta Paria dan kasta Brahma kerana menurutnya kasta Paria dan Brahma tidak wujud.
.
Kamus Dewan mendefinisi kasta sebagai pengelasan kumpulan manusia secara berperingkat iaitu Brahmin, Kshatriya, Vaisya dan Sudra.”
.
Menurutnya lagi, Brahma dalam agama Hindu merujuk kepada dewa.
.
Mengulas watak dalam keluarga Maniam, Uthaya menyatakan bahawa novel itu tidak jelas dalam menyatakan keturunan Maniam sama ada Tamil, Malayali atau Telugu meskipun kisahnya bermula di Kerala. Tambahan pula nama Maniam bukan nama Malayali.
.
Menurutnya, Malabar dan Kerala dirujuk sebagai dua tempat berbeza sedangkan Malabar ialah nama lama negeri Kerala.
.
Penerangan kepada tarian Kathakali juga adalah salah kerana dijelaskan sebagai tarian menggunakan topeng sedangkan ia menggunakan mekap (solekan).
.
Dari segi geografi, Kerala digambarkan sebagai negeri yang terletak di ‘utara sedikit dari Tamil Nadu’ sedangkan negeri yang terletak di ‘utara sedikit’ ialah Andhra Pradesh.
.
Suasana di negeri Kerala juga digambarkan dengan sawah padi walhal ia terkenal dengan pohon kelapa.
.
Uthaya turut menyenaraikan sebab lain orang India berhijrah selain daripada perbezaan kasta. Antaranya peluang pekerjaan, peningkatan cukai tanah dan tekanan British terhadap industri tempatan yang menyaingi industri tekstil.
.
Selain itu, buku tersebut turut menggambarkan masyarakat India di Pulau Pinang dengan pecahan 50% Malayali dan bakinya orang Tamil dan Telugu; sedangkan hakikatnya ialah 80 peratus masyarakat India ketika itu adalah orang Tamil.
.
Uthaya memberitahu hadirin di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam bahawa bab keluarga Maniam menunjukkan world view pencerita bukan India yang tidak menghayati budaya India.
.
Watak Malini memanggil suaminya (Maniam) dengan nama sedangkan wanita zaman tersebut tidak berbuat demikian.
.
Uthaya turut hairan mengapa watak Malini memanggil bapanya (Perumal; seorang Tamil dari Madras) sebagai ‘papa’ dan bukan ‘appa’.
.
Watak Mariama pula dikatakan ‘membujang selepas kematian suami’ sedangkan perkataan yang lebih sesuai ialah ‘balu’.
.
Dalam buku tersebut, Maniam dikatakan datang sendiri ke Tanah Melayu pada tahun 1910 sedangkan buku Pengajian Malaysia (yang menjadi rujukan di IPTS) menerangkan bahawa kemasukan buruh bebas terbantut pada 1859 kerana tambang terlalu mahal.
.
Perbuatan sujud kaki oleh watak Suppiah juga disalah gambarkan seperti memperhambakan diri kepada ‘orang putih’ sedangkan ia hanya dibuat kepada ibu bapa untuk mendapat restu.
.
Penulis tersebut turut mempersoalkan cara berubat ‘menggunakan tengkorak’.
.
“Mengapa NGO Melayu tidak membantah? Ia (gambaran cara perubatan itu) menyesatkan.”
.
Beliau turut mengulas komen Abdullah yang mengaku menjadi pengikut ajaran Mahatma Gandhi.
.
“Gandhi merujuk kepada mereka sebagai Harijan yang bermaksud Anak-anak Tuhan,” katanya.
.
Sebagai respon kepada resolusi Gapena yang tidak mahu buku Komsas itu diubah walau sepatah perkataan [“membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda mana-mana teks dalam novel tersebut” seperti dilaporkan DI SINI], Uthaya menyatakan terdapat beberapa ayat yang ada di dalam edisi khas tetapi tiada di dalam edisi murid.
.
Beliau juga menggunakan contoh sajak “Gagak Parit” tulisan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.
.
Sajak tersebut bukan sahaja dialih bahasa ke bahasa Inggeris, malah beberapa baris sajak diubah.
.
Beliau turut menjawab persoalan pihak tertentu berkisar mengenai protes terhadap buku Mulk Raj Anand, Untouchable.
.
“Adakah buku tersebut digunakan sebagai teks komponen sastera bahasa Inggeris atau sastera Inggeris di Malaysia?”
.
Pensyarah dan penulis, Profesor Madya Dr Lim Swee Tin yang turut hadir dalam sesi taklimat ini berpendapat, “adalah baik sekiranya jika Abdullah Hussein sendiri membuat perubahan dalam buku tersebut demi kepentingan pelajar sekolah.”
.
Lim berkata begitu kerana sebagai penulis, seseorang akan rasa perit sekiranya karyanya diubah begitu sahaja.
...
(K Pragalath, Free Malaysia Today, 16 Januari 2011. Versi Bahasa Inggeris laporan ini boleh dibaca DI SINI. Sila KLIK DI SINI untuk membaca reaksi orang awam.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!