Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini [BACA DI SINI] berkaitan isu Interlok, Uthaya Sankar berkata, ada yang cuba menyebarkan berita palsu kononnya (sebuah badan bukan kerajaan) NIAT cuba tumpang glamour berikutan tindakannya dan dua wakil yang lain keluar panel bebas mengkaji pindaan ke atas novel Interlok, buku teks sastera sekolah, yang bertukar menjadi kontroversi awal tahun ini.
“Saya secara peribadi kagum membaca laporan mengenai pelbagai aktiviti ahimsa seluruh negara anjuran NIAT pada 20 Mac 2011 (hari ini).
“Suara majoriti kaum India pelbagai agama di Malaysia amat jelas berhubung kontroversi novel Interlok edisi murid. Ada pihak yang cuba menyebarkan berita palsu kononnya NIAT cuba tumpang glamour berikutan tindakan saya, Dr NS Rajendran dan Krishnabahawan berundur daripada Panel Bebas pada 16 Mac lalu,” kata beliau dalam entri terbaru blognya hari ini.
Kelmarin, NIAT atau nama penuhnya Badan Bertindak Interlok Kebangsaan menyifatkan langkah Putrajaya menjadikan novel Interlok sebagai buku teks sastera Tingkatan 5 sebagai “menggadai” masa depan pelajar.
Sejak awal tahun ini ia mengambil pelbagai menggesa kerajaan menarik balik novel tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak membiarkan berita palsu seperti itu mempengaruhi atau melemahkan semangat NIAT.
“Semua sedia maklum bahawa NIAT amat kuat dan tidak perlu tumpang glamour sesiapa, termasuk glamour daripada tiga wakil kaum India dalam panel bebas,” katanya lagi.
Uthaya Sankar menambah, apa yang dilakukan oleh NIAT mungkin tidak sama dengan apa yang dilakukan oleh tiga wakil kaum India dalam panel bebas atau apa yang dilakukan Kumpulan Sasterawan Kavyan atau mana-mana pihak lain.
“Akan tetapi, kesemuanya adalah suara kaum India yang merupakan Bangsa Malaysia,” katanya lagi.
Malah tambah beliau, “kalaulah saya berpeluang menghadiri aktiviti NIAT pada 20 Mac (hari ini), jangan ada pihak cuba politikkan.”
“Jangan lupa bahawa saya telah turut hadir ke Perhimpunan NGO Melayu di Rumah Gapena pada 15 Januari 2011 dengan semangat ahimsa,” katanya lagi.
“Kenyataan ini adalah kenyataan mewakili diri saya sendiri. Kenyataan ini juga tidak ada sebarang pengaruh politik atau agenda tersembunyi,” katanya lagi.
Rabu lalu, wakil kaum India mengambil untuk menarik diri daripada panel bebas itu selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketiga-tiga mereka memutuskan demikian selepas pertemuan khas itu yang dikatakan meminta agar berkompromi dan mengurangkan jumlah pindaan kepada perkataan “paria” sahaja.
Selain Uthaya Sankar, dua yang lain ialah Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran, dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.
Wakil kaum India juga mahu segala pindaan yang bakal dilakukan Kementerian Pelajaran mesti mengikut keputusan yang telah dipersetujui oleh panel bebas pada mesyuarat terakhirnya 4 Mac lalu.
Malah kata mereka, jika pindaan itu tidak dibuat sebagaimana diputuskan, lebih baik novel tersebut “dikeluarkan terus” daripada dijadikan sukatan teks sastera.
Panel bebas itu dipengerusikan oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ketiga-tiga mereka dilantik menganggotau panel itu oleh MIC.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan kelmarin, Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata, ketiga-tiga mereka telah bersetuju bekerjasama menyelesaikan isu tersebut berkaitan dengan Interlok.
Kata Palanivel, anggota panel itu telah meminta supaya MIC mengatur pertemuan khas dengan Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran.