Saturday, 14 April 2018

Merakam Realiti dengan Kata-kata

Berikut petikan daripada bahagian “Pengantar” oleh Uthaya Sankar SB bagi buku Karupaya (2018) tulisan M. Mahendran.

Sesungguhnya, Mahendran yang turut menggunakan nama pena M. Prabhu ialah antara sekelompok kecil penulis kaum India yang aktif menghasilkan karya Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1980-an, sepertimana diceritakan sendiri oleh penulis dalam Prakata.

Walaupun beliau mungkin belum cukup menonjol seperti Saroja Theavy Balakrishnan, peta sastera kebangsaan tidak akan lengkap tanpa menyebut nama Mahendran. Tambahan pula, penulis kelahiran Bentong, Pahang ini mampu menghasilkan karya Bahasa Malaysia dan Tamil, serta melakukan terjemahan silang antara kedua-dua bahasa berkenaan.

Mahendran turut terlibat dalam pertemuan pada 22 Ogos 1999 yang menyaksikan kelahiran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Sayang sekali, kekangan kerja dan jarak perjalanan membuatkan beliau kurang berpeluang menyertai kebanyakan aktiviti Kavyan.

Cerpen-cerpen Mahendran yang disajikan secara bersahaja sentiasa berupaya mengangkat realiti permasalahan dan isu-isu sensitif dalam kehidupan masyarakat India di Malaysia. Isu-isu berkenaan diadun secara kreatif dalam bentuk cerpen untuk merangsang pemikiran pembaca.


Sesungguhnya kelahiran kumpulan cerpen ini merupakan suatu sejarah penting dalam hidup Mahendran, serta sejarah penting kepada kelompok Sasterawan Kavyan (istilah yang diperkenalkan pada tahun 2004) dalam mendokumentasikan sumbangan ke arah memperkaya khazanah sastera kebangsaan dengan karya-karya bermutu.

Buku Karupaya memuatkan 13 cerpen yang pernah tersiar di pelbagai akhbar, majalah dan antologi sejak tahun 1988. Beberapa cerpen pernah menang hadiah dalam pertandingan berprestij. Terdapat juga beberapa cerpen yang pada asalnya tersiar di akhbar/majalah Tamil, dan diterjemah sendiri oleh Mahendran bagi buku ini.


Saya percaya bahawa cerpen-cerpen yang terkandung dalam buku ini mampu menarik minat khalayak pelbagai kaum dan pelbagai latar belakang untuk bukan hanya membacanya sebagai karya kreatif, tetapi untuk mengkaji serta memahami realiti permasalahan dalam kehidupan seharian kaum India di seluruh pelosok negara.

(Pengantar penuh tulisan Uthaya Sankar SB boleh dibaca dalam buku Karupaya.)