10 Jan 2010

Vanakam: Antologi Cerpen Bahasa Malaysia

Berikut ulasan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said bertajuk “Vanakam: Antologi yang Sempat Menghibur dan Mengajar” pada Diskusi Karya Sasterawan Kaum India di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 16 Disember 2003. Ulasan ini turut disiarkan dalam majalah Minda, April 2004.
.
Ada cerita di sini yang membayangkan setakat manakah seorang lelaki sanggup berganjak jika latar hidup dan resam tulennya menunjukkan dia selalu sangat tergugat. Dalam situasi lain, dibayangkan juga sejauh mana pula seorang wanita berpelajaran sedia mengalah jika suasana rumah tangganya kurang menjanjikan kebahagiaan.
.
Ini adalah antara sebahagian inti kisah penting dalam antologi Vanakam, susunan dan usaha Uthaya Sankar SB. Malah, saya rasa, bukan sekadar dihidangkannya cerita, tapi – lebih mencabar – pembaca juga turut dicabar agar berani memetik gugus iktibar seputar kehidupan kaum India yang ternyata masalahnya tidak banyak berbeza daripada masalah kehidupan masyarakat kaum lain.
.
Vanakam adalah satu pernyataan baru sekelompok sasa penulis kaum India yang yakin menulis dalam Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia, tegas Uthaya Sankar SB). Saya berpeluang memperkatakan antologi ini pada Diskusi Karya Sasterawan Kaum India di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 16 Disember 2003.
.
Kebanyakan kisah dalam antologi ini membayangkan simptom penyakit tabii yang mula – atau sudahpun – membahayakan masa depan seseorang. Dengan begitu, kita memerlukan benteng. Kalau dalam sastera Barat, seremaja-remajanya lagi mereka sudah disarankan supaya berfikir seperti Winnie-the-Pooh atau Mary Lennox (dalam The Secret Garden) untuk mengimbangi kerisauan masyarakat.
.
Dalam The Secret Garden kita diyakinkan bagaimana – dan bahawa – tindakan kecil-kecilan sempat menyingkap bayang makna yang besar. Misalnya, Mary tekun mendengar decip dan meneliti lonjakan burung dalam taman yang amat rahasia. Dibayangkan bahawa kehidupan boleh kita indah dengan bantuan khayalan yang seni. Atau dalam Winnie-the-Pooh kita ditunjukkan bagaimana seekor beruang sentiasa saja berfikir dulu sebelum bertindak. Malah Winnie menemui makna pada belon, awan, juga pada warna.
.
Kisah-kisah remaja dan “haiwanan” ini menunjukkan bahawa sikap sederhana yang tulus sempat mendamai hati; sementara kecanggihan yang menyombong pula mudah mencurah racun.
.
Sedikit berbeza daripada kisah-kisah lain, Uthaya Sankar SB tampaknya memilih cerita yang disarati terkaan. Kehidupan memangnya boleh mudah, tapi anggota masyarakat biasaya – secara sedar atau sengaja alpa – lebih memilih kekocar-kaciran.
.
Dalam “Cat” kita memang percaya bahawa kehidupan seharian tidak begitu “melurus”. Kita yakin manusia sering mudah tersangkut pada tebaran sesarang – a fake reality. Dan tentu saja cerpen atau karya seni mudah tergelincir memungkinkan ini. Dalam cerpen “Cat” yang – saya jangka – sengaja ditulis secara fragmented, secara sindiran merujuk kepada masalah hati nurani. Secara senyap, umpamanya, kita seperti ditanya, katakanlah jika semua kucing berbahasa satu (koda sewarna), tanpa mengira di negeri mana kucing-kucing ini berada, apakah bakal selesai masalah manusiawi (atau di sini, masalah haiwani).
.
Di sini tampaknya kisah menjadi teka-teki. Kita dituntut menjengah jauh ke dalam diri –melupakan kisah yang sengaja fragmented itu, tapi memetik hanya secebis realiti – tulen atau palsu – yang diharap bakal mampu membimbing kita menjadi lebih rasional dan bersedia untuk lebih memahami.
.
Keberatan saya cuma bahawa cerpen sebegini biasanya tidak sempat – atau di sini mungkin sengaja – memberikan latar psikologi watak-wataknya. Dengan demikian, dunia tulen menjadi samar; dan dunia palsu menjadi kacau. Pada hal dengan mencalitkan sedikit latar diri, tempat atau pendidikan, kegusaran atau kegentingan dalam sesebuah cerita dapat dimaklumi. Dan kisah tidak mustahil akan menjadi lebih menawan – ada jenaka di samping ada iktibarnya, tergantung kepada yang mana kita ingin memetik.
.
Betapa pun, memang “Cat” berjaya mendorong kita berfikir lain – mendorong kita mencari hasrat sebenar penulisnya. Dan di sini cerita jelasnya bukan hiburan lagi; ia dipenuhi teka-teki yang menduga.
.
Sedikit berjenaka, dalam “Cat” Uthaya memberitahu seekor kucing kononnya mempunyai sembilan nyawa. Sedikit berjenaka, saya katakan, kerana Uthaya sendiri sebenarnya secara “perumpamaan” seolah-olah sempat mengisi “kepercayaan” itu. Contohnya, setakat ini dia pensyarah, penulis, penerbit, Presiden Kavyan, pejuang Bahasa Malaysia. Sudah berapa “nyawa” itu? Setidak-tidaknya masih ada tiga atau empat nyawa lagi!
.
Bathmavati Krishnan, saya kira, seorang penulis yang cerdik. Cerpen “I Love You, Raj” memang bermula dengan ayat yang menerjun-mendadak: “Aku menghentikan motosikal dan meletakkannya dalam barisan yang ada.”
.
Dan pada para ketiga, Bathmavati masih tetap tidak menjawab. Sebaliknya, dilanjutkan ayat: “Dia pasti menunggu keputusanku hari ini.”
.
Dari situ barulah kita mengesani kisah sulit seorang wanita – Sudha – untuk meyakinkan kekasihnya supaya berterus terang (tentang diri dan statusnya) kepada ibu bapanya. Kebetulan saja Raj seorang anggota kumpulan haram, dan Sudha ingin dia kembali kepada kehidupan yang bersih.
.
Retna Devi Balan pula, bekas guru berijazah kelahiran Johor, turut menguasai teknik asas bercerita yang menawan. Permulaan cerpennya, “Kamovarthini”, ditulis dengan awalan misteri yang bagus: “Sudah berapa minggu Bairavi tidak bercakap dengannya.”
.
Ketika itu Sridhar sedang termenung di ruang tamu, sementara Bairavi pula sedang duduk di taman. Sepasang suami isteri yang pada awalnya terpesona dan terikat oleh kuasa muzik, kini sedang menghadapi momen-momen yang keruh.
.
Ada masalah peribadi yang menyangkuti masalah nafsu sebenarnya. Pengalaman keguguran begitu mempengaruhi. Meneliti kenangan lalu, menghalusi semula warkah-warkah yang pernah ditulis, masalah batin itu sempat disembuhkan. Melalui sudut pandangan yang berganti, kita akhirnya cepat disedarkan bahawa pasangan ini sempat berdamai dan kini rupa-rupanya telah pun mempunyai anak. Rasanya, dengan segala kelembutan dan keindahannya, cerpen ini mungkin seenaknya dijuduli “Muzik Warkah Cinta”.
.
Masalah bermula sejak ayat awal dalam “Langkah Pertama” karya Vijayaletchumy Vellasamy. Nila menangis, menarik tangannya, dan memberitahu: “Aku nak balik.” Dan, tentu saja ini menjadi masalah besar kepada Devanand (“Aku”) sebab, baginya, Nila seperti bulan dan “setiap kali Nila datang, duniaku menjadi gilang-gemilang.”
.
Hanya ibu saja yang menyedari, memberitahu anaknya – Devanand – Nila sebenarnya masih amat muda. Gadis itu mempunyai kakak yang tampaknya lebih berani. Sebagai jiran, Surya – kakak Nila – datang untuk meminjam oven. Surya memang lebih terbuka. Dan dalam dunia yang berani itu tampaknya Surya yang wajar menang. Nila yang pemalu hanya menjadi penghantar pesan – kad – daripada Surya.
.
“Dia nak tahu jawapan abang dengan segera,” malah kata Nila. Bagi Vijayaletcumi, guru berijazah yang menulis dalam tiga bahasa ini, Sang Suria memang dibenarkan menelan sinar cahaya Sang Nila. Ternyata, yang lain diidami, yang lain pula menyambut.
.
Empat cerpen berikutnya memang ditangani oleh penulis-penulis berbakat juga – malah ada yang terbukti terlalu berbakat! Dua orang daripadanya – Saroja Theavy Balakrishnan dan M. Mahendran – adalah pemenang beberapa hadiah sastera, sementara dua orang lagi – S. G. Prabhawathy dan Ganesan Duraisamy – ternyata memang pesungguh bidang tersebut.
.
M. Mahendran cuba menangani kisah anak angkat, kisah yang sedikit sulit kerana biasanya ia kisah pantang-larang kaum. Dengan berhati-hati, tapi, pada waktu-waktu tertentu, berlaku ketegangan yang agak cemas. Seorang ibu angkat terpaksa mengakui Manggerai (nama Cinanya Siow Mei) memang mempunyai ibu Cinanya. Bagaimana masalah bermula dan bagaimana genting berakhirnya menjadi semacam “polemik” yang mengajar. Betapapun, ia masih tidak sampai menyelesaikan.
.
Barangkali masalah tipikal dalam keluarga kaum India telah dilukiskan dengan jujur oleh S.G. Prabhawathy. Meenatchi (itulah juga judul cerpennya) yang termenung hingga jam l:30 pagi memanglah seorang isteri yang cukup penyabar, sementara Narayan, suaminya, punca segala masalah – banyak hutang, malas, tapi ingin mewah. Sejauh ini Vicky, seorang jiran, yang amat bersimpati kepada Meenachi. (Amat terseksa, tapi, sejak awal memang Meenachi sendiri yang memilih Narayan kerana cinta!)
.
Terkadang-kadang terasa aneh, cubaan kehidupan terseksa selama l7 tahun ini seolah-olah membenarkan andaian bahawa bagi wanita kaum India, perkahwinan memanglah seluruh kehidupan rumah tangga; bagi lelaki pula, ia hanya sekadar sebahagian daripada kehidupan.
.
Puan Kathy, seorang guru, adalah insan baik lainnya yang cuba ikut membantu Meenachi. Sementara penderitaan berlanjutan oleh karenah seorang suami, akhirnya wanita penyabar itu terpaksa mengambil satu keputusan yang bakal mengejutkan. Cuma, kita dibiarkan meneka sendiri tindakan yang misteri itu.
.
Dengan pengalaman seni yang banyak padanya – terbukti dirinya Pemenang Hadiah Pertama Pertandingan Penulisan Cerpen Formula Malaysia (dan sebelumnya memenangi hadiah sastera lain sebanyak empat kali), Saroja Theavy Balakrishnan, menghidangkan sebuah cerita yang mempunyai judul menarik: “Mendamba Puyu di Air Jernih”. Selain kepintarannya memilih judul yang kreatif, saya kira, Saroja juga adalah antara penulis yang jarang lupa memanfaatkan lukisan alam dan lakaran karakter. Iklim cerita hidup kerana kelebihan itu.
.
Dalam cerpennya ini, misalnya, sejak awal lagi kita sudah dimungkinkan melihat warna alam pagi, mencium bau tanah, malah mendengar desir air sungai. Kisah yang tampaknya sengaja dimisterikan itu menyebut betapa selama tiga hari sudah Munusamy menyelongkari hutan.
.
Rupa-rupanya, dia sedang mencari cendawan busut untuk anaknya, Saraswati, yang bakal melahirkan anak sulungnnya. Dan dari situ bercabanglah kisah Munusamy yang sudah 50 tahun tinggal di estet. Lalu terjengahlah semula semua pengalaman zaman kanak-kanak dan remajanya. Dicatatkan betapa laranya dia tidak sempat mengenai ayahnya sejak kecil. Kisah berlanjut bagaimana ada keluarga yang sudah meninggalkan Estet Tanah Merah, gara-gara gema ancaman estet tersebut akan dibangunkan sebagai Red Soil Golf Resort.
.
Betapapun, rasanya, segala itu tidak sepenting kecekalan Munusamy mencari cendawan busut untuk anaknya. Di sebalik latar itu barangkali terselit satu pesanan yang paling nyaring: “Sudah tiga generasi kami menjadi kuli,” katanya.
.
Perubahan Estet Tanah Merah kepada Red Soil Golf Resort terlalu banyak melukakan batin, apa lagi semakin terbayang bahawa akan bertambah ramai buruh di situ bakal menjadi mangsa. Dalam latar itu, barangkali, pencarian cendawan busut bagi mengisi kempunan seorang bakal ibu, mula mempunyai erti simbolis yang lebih memilukan.
.
Secara tersusun cerpen “Tidak Sehaluan” oleh Ganesan Duraisamy mengembalikan kita kepada masalah pelajaran yang memangnya satu asas penting dalam pembinaan watak masyarakat . Di sini bukan soal peluang pelajaran itu yang dipertengkarkan. Sebaliknya, secara halus, penulis (yang pernah menyertai Minggu Penulis Remaja l997) cuba mengemukakan dua peristiwa bagaimana pergaulan murid yang disalah sangka dapat meninggalkan kesan buruk kepada para pelajar.
.
Disusuri bagaimana Arul dan Robert (dan kemudiannya Arul dengan Murali, Mohandas dan Thevan pula) sempat merobah tabii mereka daripada anak-anak yang baik kepada remaja yang jahat. Dijelaskan, bagaimana dalam lingkungan yang berpura-pura baik, seorang anak telah berubah menjadi jahat.
.
Meneliti keseluruhannya, memanglah terbayang bahawa antologi Vanakam berhasil membuktikan keupayaan generasi penulis baru yang sama seimbang bakat dan kemampuannya dari sisi penguasaan bahasa – Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia – dan penekanan tema.
.
Dan paling nyata antologi ini bukanlah berniat menghibur. Di tangan penulis-penulis generasi baru ini, cerpen – yang tentu saja boleh menghiburkan – dimanfaatkan lebih jauh daripada niat tersebut. Paling menakjubkan rata-rata penulis ini kelihatan selesa – malah santai – menulis dalam Bahasa Malaysia.
.
Diberi beberapa tahun dari sekarang kita tidak harus terkejut jika ada antara mereka nantinya yang akan mendekati – tidak mustahil “menjadi” atau mengatasi – Rohinton Mistry, Bharati Mukherjee dan Anita Desai, sasterawan kaum India yang begitu sebati menulis dalam Bahasa Inggeris!
..
[Sila KLIK DI SINI untuk lebih banyak maklumat berhubung proses penerbitan buku ini. Sila KLIK DI SINI untuk catatan oleh Uthaya Sankar SB mengenai penerbitan buku ini.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!