6 Apr 2010

Dia, Sebuah Pentas dan Drama Paul Lathic

KALI ini dia menjadi manusia pula. Peluang seumpama ini memang telah dinantikannya sejak lama dahulu. Sebelum ini, pernah dia merayu-rayu meminta dirinya dibenarkan menjadi manusia. Tapi tiap kali itulah juga usahanya tidak membuahkan hasil. Rayuannya sering dipandang enteng.
.

“Kau tidak layak menjadi manusia.”

.

Demikian jawapan yang sering diterimanya. Tapi kini impiannya sudah tercapai. Dia mejadi manusia. Dia benar-benar menjadi manusia.

.

Dia benar-benar diberi kepercayaan untuk menjadi manusia. Manusia pada erti kata yang sebenar.

.

“Kau jadi siapa?” Tanya rakannya yang sebelum ini sering menjadi pengawal pintu istana atau pun pengayuh sampan.


“Manusia!”

.

“Itu aku tahu. Malah mungkin semua orang sudah tahu sebab sudah kau hebohkan merata-rata,” rungut rakannya itu. “Kau jadi siapa; maksudku watak siapa yang akan kau mainkan?”

.

‘Watak siapa yang akan aku mainkan?’ Tanyanya sendirian. ‘Ah! Itu tidak penting. Yang penting, aku memegang peranan seorang manusia di dalam pementasan kali ini.’

.

Sebelum ini, dia terlalu sering diberi peranan bukan manusia. Rakannya agak beruntung kerana walaupun dia sekadar menjadi pengawal istana atau pendayung sampan atau pak pacak, wataknya tetap manusia. Dirinya pula sering diberi peranan yang tidak memerlukan apa-apa pergerakan atau dialog. Malah ekspresi muka pun tidak perlu. Dia hanya perlu berdiri -- atau terbaring -- kaku tanpa suara.

.

Semasa mula-mula menyertai kumpulan pementasan ini, dia mengharapkan peranan yang kecil sahaja. Maklum sahaja dia tiada pengalaman mahu pun pengetahuan tentang dunia teater. Yang ada hanya minat yang sangat mendalam. Berbekalkan minat itulah dia merayu pada tuan pengarah. Akhirnya dia berjaya.

.

Peranan pertama yang diberikan padanya adalah mangkuk. Ya, mangkuk yang digunakan untuk makan itulah. Pada mulanya dia fikir peranan “mangkuk” ada makna simbolik. Mungkin “mangkuk” yang dimaksudkan bukan mangkuk yang digunakan untuk makan tetapi merujuk kepada “orang bodoh”.

.

Demikian tanggapan dan harapannya. Tapi ternyata dia silap. Peranan “mangkuk” yang dipegangnya tidak lebih daripada peranan bekas makanan. Dia hanya perlu duduk mencanguk di atas meja semasa pementasan. Di situlah letak duduknya sepanjang pementasan dari awal hingga akhir.

.

Mungkin ada penonton yang menyangka “mangkuk” itu akan turut memainkan peranan di dalam pementasan yang dilakukan. Tapi ternyata dia hanya menjadi prop yang tidak berperanan dari awal hingga akhir. Dan dia tidak terlalu kecewa kerana dia akur pada hakikat bahawa dia masih terlalu mentah dalam alam pementasan pada waktu itu.

.

Kemudian dia pernah menjadi pokok pinang dalam sebuah lagi pementasan lain. Bukan dia seorang sahaja sebenarnya. Ada sekitar tujuh pelakon lain. Mereka hanya perlu berdiri tegak di atas pentas. Beberapa pelakon lain akan mempersembahkan lakonan dengan berlatarkan pokok-pokok pinang itu. Itupun hanya bagi satu scene. Babak-babak lain menggunakan latar tempat lain di mana pelakon lain pula yang menjadi prop latar.

.

Begitulah sejak empat tahun lalu. Dia sudah pernah memegang hampir semua peranan tidak bernyawa. Dia sudah menjadi kerusi, meja, pokok, tiang, tembok. Malah pernah juga dia menjadi burung hantu. Dia perlu berlari dari penjuru kiri pentas menuju ke penjuru kanan sebanyak dua kali sambil mengibaskan tangan. Itu sahaja. Kemudian dia turun pentas dari arah belakang. Habis. Pelakon-pelakon lain yang memainkan peranan-peranan lain bagi menjayakan pementasan tersebut.

.

“Tahniah!” tegur seseorang.

.

Dia tersenyum bangga kerana sudah dapat mengagak bahawa ucapan tahniah itu adalah kerana dia akan memegang peranan manusia di dalam pementasan teater terbaru nanti.

.

“Pengarah kata, kau pegang peranan Paul Lathic,” tambah rakan tadi sambil mengerak-gerakkan kening berulang kali.

.

“Paul Lathic? I don't believe this! Aku menjadi Paul Lathic yang mashyur itu?!”

..

“Ya, sayang,” rakan itu meyakinkan dengan suara manja.

..

“Wow! Dan kau?”

.

“Ah! Macam biasa sahaja ... pak pacak.”

.

‘Nasib kaulah,’ dia berkata di dalam hati.

.

Sepanjang malam dia tidak dapat melelapkan mata. Peluang yang diterimanya benar-benar di luar jangkaannya.

.

Bayangkan: aku menjadi Paul Lathic!

...

[Petikan cerpen karya Uthaya Sankar SB yang disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia pada 8 Oktober 1995 serta termuat dalam Sasterawan Pulau Cinta (2001). Petikan cerpen ini turut disiarkan dalam Risalah Online Arahkiri pada Disember 2002]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!