25 Mar 2010

Kolem

Kebudayaan dan tradisi mencerminkan peribadi sesuatu masyarakat. Kebudayaan dan tradisi tersebut mempunyai nilai-nilai serta maksud tersembunyi yang tersendiri. Penghayatan dan pemahaman terhadap kebudayaan dan tradisi itu akan membolehkan seseorang untuk lebih menghargai keunikannya.
.

Masyarakat India merupakan satu kelompok manusia yang amat kaya dengan kebudayaan dan tradisi. Hampir kesemua amalan masyarakat India mempunyai nilai-nilai serta maksud yang tersirat. Salah satu daripada tradisi orang India adalah kolem iaitu lukisan di atas lantai. Perkataan kolem dalam bahasa Tamil membawa maksud indah atau cantik.

.

Mengapakah orang-orang India mengamalkan tradisi melukis kolem? Menurut ajaran agama Hindu, seseorang itu harus melakukan kebajikan atau dharmam pada setiap hari. Amalan melukis kolem merupakan satu cara yang mudah untuk melakukan kebajikan. Ini adalah kerana kolem biasanya dilukis menggunakan beras atau serbuk beras. Beras atau serbuk beras itu akan dimakan oleh semut atau burung. Ini akan menyempurnakan keperluan melakukan kebajikan seperti yang dikehendaki oleh agama Hindu.

.

Kegiatan melukis kolem dilakukan oleh golongan wanita. Cara-cara untuk melukis kolem ini diturunkan dari generasi ke generasi daripada ibu kepada anak perempuannya. Apabila seorang anak gadis sudah pandai berjalan, iaitu di antara umur empat dan lima tahun, si ibu akan mula mengajarnya untuk melukis kolem. Pada mulanya diajar kolem yang mudah dan semakin anak itu dewasa, akan diajar pula lukisan yang lebih sukar.

.

Salah satu sebab mengapa amalan ini hanya dipraktikkan oleh golongan wanita adalah kerana pada zaman dahulu mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan rumah mereka. Oleh yang demikian mereka tidak mempunyai cara untuk menyempurnakan keperluan agama, iaitu melakukan kebajikan. Dengan ini amalan melukis kolem telah dimulakan sebagai cara melakukan kebajikan tanpa melangkah keluar dari kawasan rumah.

.

Pada masa dahulu, kolem dilukis di halaman rumah pada setiap hari. Tetapi pada zaman moden, sebab sebenar kolem dilukis telah dilupakan. Ia lebih diamalkan sebagai satu bentuk perhiasan yang dilukis semasa hari-hari perayaan seperti Tahun Baru dan Deepavali. Ia juga dilukis semasa hari-hari yang dianggap istimewa dan suci seperti pada hari Selasa dan Jumaat. Upacara-upacara kenduri dan perkahwinan juga dianggap tidak sempurna jika tidak terdapat lukisan kolem.

.

Secara tradisi, kolem dilukis pada halaman rumah tetapi kemudiannya ia dilukis di kuil-kuil dan di dewan-dewan semasa diadakan upacara-upacara keramaian. Apabila diadakan upacara-upacara keagamaan, kolem pasti akan dilukiskan. Kolem memainkan peranan penting dalam tradisi India dan kini kesemua aktiviti yang melibatkan orang India akan mempunyai kolem.

.

Menurut tradisi kepercayaan orang India, kolem menambah seri kepada sesebuah rumah. Dengan itu juga ia akan membawa tuah dan berkat kepada ahli keluarga tersebut. Terdapat juga kepercayaan bahawa kolem bertindak sebagai satu kawalan dan menghalang unsur-unsur jahat daripada memasuki rumah tersebut. Ini juga boleh dikatakan sebagai satu sebab mengapa tradisi kolem ini tidak luput ditelan zaman.

.

Di India kolem mempunyai berbagai nama dan berbagai bentuk. Orang Punjabi menamakannya Alpona yang diperbuat daripada tepung beras yang diwarnakan dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan berwarna. Rangoli pula adalah nama yang digunakan oleh orang Marathi dan Kannada. Lukisan ini diperbuat daripada serbuk yang berwarna-warni. Kolem yang dibuat oleh orang Kerala adalah dengan menggunakan bunga-bungaan.

.

Penghijrahan masyarakat India dari Benua Kecil India ke Malaysia telah membawa bersama kesenian yang indah dan kaya ini. Perkara yang istimewa mengenai seni melukis kolem di Malaysia adalah ia tidak diperbezakan mengikut kelompok dari negara asal mereka seperti Punjab, Kerala atau Kannada. Masyarakat India di Malaysia mengamalkan cara dan bentuk kolem yang mereka minati mengikut kesesuaiannya.

.

Masa juga menjadi penentu kerana ada kolem yang akan mengambil masa beberapa minit dan ada juga yang boleh mengambil masa beberapa jam. Kepelbagaian dalam mengamalkan tradisi ini lebih memperlihatkan keindahan seni tersebut.

.

Masyarakat India di Malaysia juga telah membawa perubahan kepada kesenian ini. Pada asalnya tepung beras telah digunakan sama ada dalam bentuk tepung atau dicampurkan dengan air. Kemudiannya warna-warna telah digunakan. Kini apa sahaja yang difikirkan sebagai sesuai digunakan untuk membuat kolem. Antara beberapa bahan yang digunakan dewasa ini adalah bijirin seperti beras sagu, kacang hijau dan beras barli. Kerisik kelapa yang diwarnakan juga digunakan. Kesemua ini membuat kolem kelihatan lebih cantik dan menarik.

.

Walaupun kolem secara amnya hanya dilihat sebagai perhiasan, amalannya mempunyai beberapa sebab dan juga maksud simbolik. Secara simboliknya, kolem melambangkan kehidupan manusia.

.

Apabila seseorang melihat lukisan kolem, anggapan yang terlintas di fikiran adalah bahawa ia adalah sesuatu yang sukar kerana lukisan kolem mempunyai garisan-garisan yang berliku-liku. Ini melambangkan bahawa kehidupan manusia adalah penuh berliku dan tidak semestinya mudah.

.

Secara kebiasaan kolem mempunyai titik-titik yang menjadi panduan kepada pelukisnya. Seperti mana titik-titik tersebut menjadi panduan kepada lukisan kolem, begitu juga dengan kehidupan manusia yang memerlukan panduan. Panduan utama dalam kehidupan masyarakat India adalah kepercayan kepada Tuhan serta upacara-upacara keagamaan.

.

Oleh itu kolem membawa pengertian bahawa walaupun kehidupan itu adalah sukar, seseorang boleh mencapai kesempurnaan dan kebahgiaan sekiranya menuruti panduan-panduan yang ditetapkan. Kecantikan lukisan kolem yang telah siap melambangkan kebahagiaan dan kesempurnaan kehidupan seseorang.

.

Amalan melukis kolem juga merupakan satu cara mendisiplin diri. Ini adalah kerana terdapat beberapa peraturan yang berkaitan dengan tradisi ini. Seorang wanita yang ingin melukis kolem perlu bangun pada awal pagi; seeloknya sebelum terbit matahari. Dia seharusnya mandi dan membersihkan dirinya sendiri. Setelah itu dia akan menyudahkan upacara sembahyang dan kemudian membersihkan pula kawasan di mana kolem tersebut akan dilukis.

.

Peraturan-peraturan yang perlu diikuti itu kemudiannya menjadi amalan harian. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai disiplin diri tetapi juga merupakan amalan yang baik dari segi kesihatan dan kebersihan. Ini adalah kerana seorang itu mengamalkan kebiasaan bangun pada awal pagi. Menurut sistem perubatan tradisi India, amalan ini memberikan kesihatan yang baik dan juga umur yang panjang. Kemungkinan ini adalah sebab mengapa generasi yang lebih tua mempunyai kesihatan yang lebih baik dan umur yang panjang.

.

Kegiatan melukis kolem juga merupakan satu bentuk senaman. Aktiviti ini melibatkan pergerakan tangan, kaki dan badan yang selaras bagi menyempurnakan lukisan tersebut. Pada masa yang sama ia juga memerlukan tumpuan yang agak mendalam. Penumpuan minda terhadap kegiatan yang dilakukan merupakan suatu senaman rohaniah. Ini juga boleh dikatakan sebagai suatu latihan disiplin minda.

.

Fakta yang menarik mengenai kegiatan ini adalah ia dilakukan di bawah sedar. Kegiatan ini telah diamalkan berkurun lamanya sehinggakan maksud dan kebaikan di sebaliknya tidak diketahui dan disedari. Lukisan kolem yang sukar boleh mengambil masa yang panjang, maka aktiviti ini juga mengajar seseorang itu erti kesabaran dan melatih mereka supaya melakukan sesuatu tugas dengan tekun dan penuh sabar sehingga siap.

..

Kebolehan melukis kolem dengan baik dipandang tinggi dalam masyarakat India. Kesukaran untuk mempelajari teknik melukis kolem dan kesabaran serta disiplin yang diperlukan menjadikannya sebagai satu nilai pengukur terhadap keperibadian seseorang wanita. Pada masa dahulu seseorang wanita yang cekap dalam seni melukis kolem dianggap sebagai seorang yang berkebolehan mengendalikan rumah tangga.

.

Pada masa sekarang melukis kolem tidak lagi menjadi aktiviti harian. Ia lebih diberi keutamaan pada masa-masa yang dianggap sebagai keraian atau upacara-upacara khas. Walaupun ia tidak lagi menjadi aktiviti harian, ia sama sekali tidak akan diketepikan kerana ia sudah sebati dengan kehidupan masyarakat India. Seni melukis kolem telah berakar umbi dalam jiwa masyarakat India di seluruh dunia.

.

(Makalah yang ditulis oleh Retna Devi Balan disiarkan dalam majalah Dewan Budaya, September 1997 dan surat berita Kavya, Sept/Okt 1999)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!