1 Dec 2010

Tiada Istilah Ketuanan Melayu

KUALA LUMPUR - Istilah Ketuanan Melayu tidak perlu dibahaskan kerana ia tidak wujud dalam Perlembagaan Negara.
.

Pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, dalam aspek sejarah, hanya Ketuanan Raja yang termaktub dalam perlembagaan kerana rakyat perlu menunjukkan taat setia kepada raja.

.

“Sebelum ini tidak pernah disebut Ketuanan Melayu dalam masyarakat Melayu. Dalam sejarah hal sebegitu tidak betul. Yang ada dalam perlembagaan cuma Ketuanan Raja iaitu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

.

“Orang Melayu mendapat hak keistimewaan kerana mereka adalah rakyat raja, kerana itu raja yang penting. Kedudukan orang Melayu memang diberikan pertimbangan khas dan tidak perlu dipersoalkan,” katanya.

.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai Ketuanan Melayu yang dibangkitkannya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh parti itu, Ahad lalu. [BACA DI SINI]

.

Wan Azizah meminta konsep Ketuanan Melayu dihapuskan bagi membolehkan anak-anak membesar dengan visi ‘bangsa bermaruah’ atau ‘Melayu bermaruah’.

.

Kay Kim berkata, istilah Ketuanan Melayu hanya dibangkitkan oleh ahli politik bagi tujuan politik semata-mata, dan beliau melihat ahli politik sekarang sering membangkitkan isu yang boleh mendatangkan konfrontasi antara kaum.

.

“Ahli politik seharusnya memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka kepada rakyat, bukan menggalakkan rakyat untuk bergaduh,” katanya.

.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin sependapat dengan Kay Kim.

.

“Pada pandangan saya, konsep Ketuanan Melayu tidak ada,” katanya.

.

Beliau berkata, Wan Azizah bagaimanapun perlu melihat semula apa yang dimaksudkan dengan “ketuanan” itu dan tidak seharusnya mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. - Bernama

..

(Sinar Harian, 1 Disember 2010)