30 Jan 2011

Interlok: Abdullah tidak bersalah

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain tidak wajar diheret dalam kontroversi novel Interlok kerana beliau tidak bersalah.
.

Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Uthaya Sankar SB berkata, tindakan memanipulasi situasi Abdullah demi kepentingan peribadi atau organisasi tertentu juga mesti dihentikan kerana ia boleh disifatkan ‘berniat jahat’.

.

“Ketika menghasilkan buku ini, Abdullah menulisnya sebagai bahan bacaan umum dan bukannya untuk dijadikan bahan sastera dalam sistem pendidikan negara.

.

“Saya kira jika Abdullah ketika itu bermaksud supaya novel Interlok dijadikan bahan rujukan di sekolah, ia tidak seperti yang digambarkan menerusi buku ini,” kata beliau. [Baca juga DI SINI berhubung perkara ini.]

.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Wacana Interlok anjuran Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya Berhad yang diadakan di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

.

Selain Uthaya Sankar, wacana itu turut dibarisi oleh Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan; Pengerusi Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan dan guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Seri Serdang, Selangor, Ghalib Yunos sebagai ahli panel.

.

Turut hadir ialah Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein; Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dan pakar rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah.

.

Uthaya Sankar menambah, novel Interlok edisi murid terbitan 2010 perlu diperbetulkan sebelum dimasukkan semula ke dalam sistem pendidikan negara sebagai sebuah novel untuk komponen sastera (Komsas) dalam Bahasa Malaysia tingkatan lima.

.

Ini kerana katanya, terdapat banyak kesalahan fakta di dalam buku edisi murid itu yang menyentuh sensitiviti kaum India selain memberi gambaran salah mengenai masyarakat India.

.

“Kita tidak hanya bercakap mengenai perkataan paria semata-mata, sebaliknya beberapa fakta lain yang tidak tepat seperti tarian Kathakali yang digambarkan memakai topeng sedangkan tidak. [LAGI CONTOH]

.

“Malah, watak orang India di dalam novel edisi murid ini juga digambarkan seperti individu yang tidak mempunyai agama dan jati diri,” katanya.

..

(Utusan Malaysia, 27 Januari 2011. Baca laporan The Star DI SINI dan catatan Uthaya Sankar SB DI SINI)