10 Jan 2011

Kavyan bantah perbuatan pihak membakar buku

SHAH ALAM - Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) membidas perbuatan membakar novel Interlok yang menimbul kontroversi kerana dikatakan menyentuh sensitiviti kaum India di negara ini.
..

Timbalan Presiden Kavyan, Prakash Suriyamurthy berkata, dalam budaya India, perbuatan membakar buku dan bahan-bahan bacaan dianggap menghina ilmu.

.

Justeru, Kavyan yang mewakili kelompok peminat dan penulis karya sastera kebangsaan membidas sekeras-kerasnya tindakan membakar novel Interlok dan gambar Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, seperti dilaporkan beberapa media, semalam.

.

“Kavyan juga bersedia memberi taklimat berkaitan budaya kaum India kepada pihak Kementerian Pelajaran, penerbit, persatuan penulis dan badan bukan kerajaan (NGO) yang masih kurang faham mengapa masyarakat India di Malaysia kecewa dengan paparan dalam bahagian tertentu novel edisi murid itu,” katanya dalam suatu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

.

Novel Interlok dijadikan teks Komponen Sastera dalam Pembelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bagi pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan bermula tahun ini.

.

Kandungan novel itu di bahagian tertentu dikatakan menyentuh sensitiviti kaum India serta memberi maklumat salah berkaitan sistem kasta dan kepercayaan agama masyarakat India.

.

Prakash berkata, novel Interlok masih boleh dijadikan teks Komsas jika edisi murid itu dimurnikan dengan membuang kandungan yang sensitif, bersifat menghina dan salah fakta.

..

Disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 10 Januari 2011. Baca kenyataan penuh DI SINI, kenyataan PENA DI SINI dan kenyataan PAS DI SINI.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!