9 Jan 2010

Rudra Avatara: Kembalinya Sang Hanuman

UTHAYA SANKAR SB
memang sebuah nama yang ‘angkuh’. Bermula daripada halaman prakata lagi, ia mengungkapkan, karya-karyanya bukan untuk mereka yang “berselera rendah”.
.
Cerpenis ini juga percaya, “penulis adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca”. Tetapi, “hilangnya” Uthaya daripada dunia sastera tanah air juga menimbulkan persoalan yang beliau bangkitkan itu.
.
Seperti kita sedia maklum, sejak 1992, saban tahun penulis berketurunan Malayalam ini sentiasa merangkul satu demi satu hadiah sehingga meletakkan dirinya dalam barisan penulis muda yang disegani. Tradisi ini berlangsung sampai lima tahun lalu iaitu 2003 apabila beliau memenangi Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil.
.
Beliau juga dua kali berturut-turut memenangi Hadiah Sastera Perdana pada 1996/97 dan 1998/99, sebuah anugerah berprestij dalam dunia sastera tanah air, sesudah Sasterawan Negara. Namun, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, namanya seakan-akan hilang begitu sahaja. Bukunya yang terakhir, Panchayat, terbit enam tahun lalu.
.
Uthaya membuktikan, kehilangannya adalah kehilangan yang disebut-sebut. Namun, dalam tempoh lima tahun itu, kita menunggu kembalinya Sang Hanuman ke persada penulisan tanah air. Persoalannya, kenapakah sosok ini begitu penting dalam dunia sastera tanah air? Apakah yang menjadikan Uthaya berbeza daripada penulis-penulis lain?
.
Seperti kita sedia maklum, dunia sastera tanah air, walaupun saban tahun kita disumbat dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa dan istilah Sastera Pelbagai Kaum, sebaliknya secara realitinya, tidak ramai penulis bukan Melayu yang menulis dalam bahasa ini (Kavyan – persatuan penulis kaum India, diusahakan Uthaya – sebagai persatuan adalah terkecuali).
.
Kita mendengar nama-nama lain seperti Lim Swee Tin, Saroja Theavy, Raja Rajeswari dan Azli Lee Abdullah, tetapi tulisan-tulisan itu kelihatan seperti jauh daripada ‘jatidiri’ masing-masing. Maksudnya, tulisan-tulisan yang kita baca di media hanyalah tulisan tentang roh peribadi Melayu, dari segi tema, pengucapan dan gaya, walaupun ditulis non-Melayu.
.
Buah tangan beliau kali ini, Rudra Avatara, sarat dengan sindiran, imaginasi, menolak konvensi, avant garde. Jika tidak keterlaluan, dekat dengan jiwa peribadi penulis serta kebudayaan masyarakat India. Ia menolak dakwaan bahawa penulis adalah golongan yang terawang-awang dalam dunianya sendiri dan berada jauh daripada realiti.
.
Aspek Budaya
.
Membaca Rudra Avatara daripada aspek budaya memberikan jawapan kepada persoalan kebudayaan India dan pengalaman kaumnya dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara jamak budaya.

Judul: Rudra Avatara

Penulis: Uthaya Sankar SB

ISBN: 983-40562-4-9

Tahun: 2008

Tebal: 130 halaman [kulit keras]

Harga: [lihat di sini] 

Cerpen dalam kumpulan ini:Le Spectre de la Rose” — “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” — “Rudra Avatara” — “Diwali @ Maru Malarchi” — “Cat” — “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” — “Air” — “Arkitek Keluarga” — “Cat2” — “Kita Sudah Gagal, Raja” — “Cerita Paurnami”.

.
Uniknya, penulis ini menulis dengan mengekalkan identitinya sebagai penganut Hindu, percaya dan yakin dengan kebudayaan itu, bahkan mengadunkannya dalam konteks dan pengalaman di Malaysia.
.
Gabungan realiti dengan imaginasi, bercampur aduk menjadikan cerpen-cerpen dalam kumpulan ini sukar dikelas dan dibezakan, seperti diungkap dalam “Rudra Avatara”, cerpen yang diangkat menjadi judul buku:
.
“Apakah perbezaan antara fiksyen dengan faksyen (fakta + fiksyen)?”
.
Kumpulan ini tidak memberikan jawapan tetapi menjawab persoalan demi persoalan yang ditimbulkan dengan persoalan yang lain pula. Jika diteliti, kita akan bertemu watak Uthaya dalam cerita-ceritanya. Tetapi, sudah tentu Uthaya dalam cerpen-cerpen penulisnya adalah Uthaya yang lain; atau watak yang benar, juga persekitaran yang benar diadun menjadi satu.
.
Oleh itu, daripada muka pertama hingga penghabisan, kita pantas menemukan watak-watak dan nama-nama India dalam cerita-ceritanya. Ia mengambil latar penjelmaan semula, Hanuman raja monyet (atau lotong),perayaan Diwali dan lain-lain.
.
Penulis-penulis kaum India yang menulis dalam Bahasa Malaysia di negara kita jarang berjaya mengungkapkan jatidirinya seperti dilakukan oleh penulis ini. Bahkan ada penulis berketurunan India, penganut Hindu, menulis karya kreatif seperti pengucapan Rabiatul Adawiyah. Oleh itu, ekspresinya dipertikaikan.
.
Daripada aspek lain, beberapa cerpen dalam kumpulan icerpen lebih seratus muka ini juga mempunyai nada politik yang kuat, dalam, serta penuh maksud tersirat, sama ada berbentuk sindiran atau momokan. Momokan-momokan itu pula kadangkala diseret dalam keadaan penuh lucu dan tandatanya.
.
Saya pertama kali membaca Uthaya melalui “Cat”. Dan keunikan, saya sifatkan sebagai antara cerpen paling baik daripada aspek komposisinya – sarat pernyataan politik, ideologi, suspens, mengubah persepsi awam tentang apa itu cerpen.
.
“Cat” pertama kali disiarkan dalam Mingguan Malaysia lebih sepuluh tahun lalu. Tetapi, ia barangkali boleh hidup sekurang-kurangnya 30 tahun lagi dari sekarang.
.
Cerpen Subversif
.
“Cat” hanya kisah seekor kucing bernama Cat yang dicelupkan ke dalam cat dan bercita-cita menjadi ketua negara. Daripada seekor kucing yang gagal dalam intebiu menjawat jawatan sebagai ketua jabatan, Cat mengejar cita-cita politiknya.
.
Dia mengecatkan tubuhnya dengan cat biru yang tahan lima tahun, berdiam ketika sesi temuduga dan seperti dijangkakan, memperoleh jawatan itu.
.
Biru adalah warna parti pemerintah di Malaysia, Barisan Nasional (BN). Persoalan pertama, kenapa Cat dicat dengan warna biru. Malaysia mengadakan pilihan rayanya setiap lima tahun. Persoalan kedua, kenapa cat biru itu tahan lima tahun sahaja?
.
Maka, inilah cerpen yang paling subversif pernah saya baca di Malaysia. Oleh itu, Uthaya membuktikan, karya kreatif sentiasa boleh menjadi alternatif.

.
Inilah semangat penulis sejati yang jarang difahami, seperti dinukilankan guru besar sastera Indinesia, Goenawan Mohamad, “kreativiti itu dalam sejarahnya menolak belenggu”. Dan penolakan itu bukan sahaja daripada aspek idea, tetapi juga pengucapan dan perlambangannya.
.
Maka, barang siapa yang meminati Animal Farm dan 1984 oleh George Orwell, juga Tikus Rahmat, Anak Mat Lela Gila (Pak Sako) sudah tentu meminati Rudra Avatara. Ia sempurna dalam kategorinya.
.
Sepuluh lagi cerpen dalam kumpulan ini tidak perlu disentuh satu per satu. Membacanya sama sahaja. Keindahannya berbeza, tetapi kesegarannya serupa.
.
Bagaimanapun, buah tangan Uthaya ini hanyalah satu daripada seribu jurusan lain pemikiran manusia, perlakuan lain dalam seribu lagi konteksnya di Malaysia.
.
Semangat Naskhah
.
Kita tidak mengharapkan seorang lagi Uthaya daripada aspek penyalinan gaya, tetapi semangat naskhah, iaitu kebebasan dan penolakan terhadap belenggu – tidak kira belenggu apa pun namanya, baik daripada aspek keindahan atau makna, pengucapan atau gaya.
.
Abad ke-20 adalah abad yang paling malang dalam sastera Malaysia. Apabila munculnya seorang Faisal Tehrani, semua tulisan di media berupa Faisal Tehrani. Dulu, dengan Hizairi Othman sama juga. Kemudian Azman Hussin, semua orang mahu jadi free thinker, semua orang mahu berleter dengan cerpennya.
.
Tidak kira apa latarnya, formulanya tetap sama. Jadikan diri kamu sebagai watak utama, tukar namanya. Kemudian cipta seorang antagonis. Leteri watak itu sampai berkajang-kajang, kemudian bubuh titik. Persepsi ini harus kita tolak.
.
“Avatara” – perkataan yang membentuk judul kumpulan cerpen ini – bermaksud penjelmaan semula. Sebelas cerpen dalam kumpulan ini membuktikan kata-kata itu. Uthaya perlu menjelma semua kerana dunia sastera Malaysia memerlukannya – untuk menimbulkan persoalan-persoalan terhadap pembaca dan mencabar mereka yang berselera rendah.
.
Teman saya, berketurunan India, begitu teruja melihat sebuah buku cerpen dengan judul dan gambaran kulit yang cukup kelihatan Hindu. Tetapi selepas sepuluh minit membacanya, dia memulangkan kumpulan itu kepada saya.
.
Sebenarnya, sindrom selera rendah itu boleh hinggap dan melekat kepada sesiapa, tidak kira latar budaya dan warna kulitnya – sama ada serupa atau berlawanan.
.
Shadie Othman, "Rudra Avatara: Kembalinya Sang Hanuman",
Mingguan Wasilah, 8-14 Februari 2009 (hlm. 17)
.
Sila KLIK DI SINI untuk membaca ulasan bertajuk "Who Stole the Moon?" oleh Amir Muhammad (Malay Mail, 23 Julai 2008). [BELI BUKU INI] Maklumat "Baca Cerpen Rudra Avatara I" DI SINI dan "Baca Cerpen Rudra Avatara II" DI SINI.