Thursday, 22 October 2009

Pak Haji yang Saya Kenali

KAD ucapan Deepavali yang saya kirim pada 18 Oktober 2003 tentu telah sampai ke rumah. Namun, beliau sudah tiada untuk menatapnya.

Sejak mula-mula mengenali Allahyarham Dr Haji Othman Puteh pada tahun 1991, saya sentiasa mengirimkan kad ucapan Deepavali kepada beliau. Beliau pula mengirimkan kad ucapan Hari Raya Puasa kepada saya.

Antara saya dan beliau wujud keintiman dan rasa saling memahami yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Kali terakhir saya bercakap dengan Pak Haji - demikian saya memanggil beliau dengan mesra - pada 12 Oktober lalu.

Tujuannya, untuk meminta beliau menjadi panel pada majlis Diskusi Karya Sasterawan Kaum India anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dijadualkan pada Disember 2003.

Terdahulu, saya menghubungi Pak Haji untuk meminta beliau membicarakan karya mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) yang dirancang untuk diadakan pada 14 November 2003.

Setiap kali timbul masalah atau jika memerlukan nasihat dan pandangan, saya tidak teragak-agak menghubungi Pak Haji yang akan bertanya, "Apa cerita?"

Begitu juga sepanjang saya berada dalam tempoh "protes peribadi" (September 1999 - Ogos 2002). Kami saling berkomunikasi.

"Saya hormati pendirian Uthaya," kata beliau. "Semoga berjaya."

Allahyarham yang sentiasa sibuk tidak pernah menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak meluangkan masa melayan saya. Hubungan kami lebih seperti bapa dan anak walaupun saya memanggil beliau "Pak Haji".

"Jangan panggil saya begitu di kuliah, ya!" pesan beliau semasa saya menuntut di UKM.

Sumbangan idea dan sokongan moral yang beliau berikan bukan hanya kepada saya dan Saroja Theavy Balakrishnan.

Hubungan beliau dan para penulis kaum India, khususnya para ahli Kavyan, amat intim. Beliau sentiasa memberi sokongan, motivasi, galakan, bimbingan dan segala macam sumbangan yang pasti tidak dapat kami balas dengan wang ringgit.

Saroja dan saya sendiri memang sudah menjadi seperti anak angkat dan anak emas beliau. Walau di mana beliau berceramah, nama kami berdua pasti dipromosikan.

Pada akhir September 2003, saya juga telah menghubungi beliau dan bertanya sama ada beliau sudi menjadi Penasihat Kehormat Kavyan kerana itulah antara cara kami boleh menunjukkan kasih sayang dan penghormatan kami terhadap beliau.

"Saya tak ada masalah," jawab beliau tanpa berfikir panjang.

Sesungguhnya sumbangan Allahyarham sangat besar dalam membimbing hampir kesemua penulis kaum India yang menghasilkan karya - khususnya cerpen - Bahasa Malaysia. Sebab itulah pemergian beliau turut ditangisi kami.

Pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum V di Kota Kinabalu pada Ogos 2003, beliau menyampaikan kertas kerja bertajuk "Menelusuri Jalur Kepengarangan Uthaya Sankar SB".

Antara lain, beliau menyatakan rasa gembira kerana saya sudah mengakhiri protes peribadi selama tiga tahun dan sudah aktif semula dalam mengirim karya ke media cetak.

"Uthaya ada masa depan yang sangat cerah sebagai seorang sasterawan. Tak sia-sialah bimbingan saya selama ini," kata beliau sewaktu ditemui selesai pembentangan.

Semasa mengikuti International Writing Programme di Universiti Iowa (1996), beliau menghasilkan novel dewasa kedua (selepas Munajat di Perkebunan, 1990) berjudul Kalut (1997).

Apa yang istimewa, salah satu watak utama dinamakan 'Uthaya Sankar' kerana, menurut Allahyarham pada 20 Mei 1998, beliau terfikir akan saya secara spontan semasa beliau sedang menghasilkan Kalut.

Semasa Kavyan menganjurkan Baca Cerpen Kavyan baru-baru ini, kami secara khusus mempelawa beliau untuk membaca cerpen pertama.

"Sepatutnya bagi perasmi majlis membaca cerpen pertama." Itu cadang beberapa pihak.

"Tidak. Keputusan kami muktamad; Dr Othman Puteh akan membaca cepen pertama," tegas saya menjawab.

Pak Haji telah membacakan cerpen "Guruh" dan "Ario" pada acara berkenaan. Itu kali pertama dan terakhir beliau membaca cerpen di pentas.

Sasterawan mapan berumur 59 tahun ini dikenali umum. Saya merasa amat bertuah kerana berpeluang mengenali beliau secara peribadi.

"Kamu dan Dr Othman kurang bercakap. Tapi setiap kata yang diucapkan sangat bermakna dan pedas," ulas isteri saya, S.G. Prabhawathy semasa simposium di Kota Kinabalu.

Pada 19 Oktober 2003, saya baru selesai menaip rencana dan siaran akhbar bagi Diskusi Karya Sasterawan Kaum India apabila saya menerima panggilan mengenai pemergian Pak Haji. Saya tidak mahu percaya kerana tiada langsung tanda-tanda beliau sakit. Lalu saya menghubungi pihak Gapena dan mendapat pengesahan.

Maka saya terpaksa menerima hakikat pemergian Pak Haji. Linangan air mata tidak akan mengubah keadaan. Para ahli Kavyan yang saya hubungi untuk menyampaikan berita itu juga hampir tidak percaya. Dalam bidang penulisan, beliau digelar Raja Novel Remaja dan telah menghasilkan lebih 45 novel kategori itu. Mustahil ada remaja yang tidak pernah terbaca novel beliau.

Allahyarham turut terlibat dalam membimbing bakat-bakat muda. Begitu ramai penulis lahir hasil bimbingan beliau. Peluang bertemu pada Baca Cerpen Kavyan dirasakan terlalu singkat kerana masing-masing sibuk mencipta rekod.

Namun, kami telah merancang pelbagai program yang melibatkan beliau. Misalnya, beliau sudah menyatakan kesediaan untuk menjadi ketua hakim Sayembara Menulis Cerpen Kavyan-Ashwin Trading yang mana tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Disember 2003.

Selepas pemergian beliau, Kavyan memutuskan untuk mengubah nama sayembara menjadi Anugerah Cerpen Dr Othman Puteh.

Itulah sahaja penghormatan terakhir yang mampu kami berikan atas segala jasa dan sumbangan Pak Haji.

Deepavali? Maaf, saya berkabung tahun ini.

(Uthaya Sankar SB, Utusan Malaysia, 27 Oktober 2003)

1 comment:

  1. Membaca paparan ini, meski ianya telah berlalu lama, tapi dirasakan perkara ini baru semalam berlalu dan terasa dijiwa ini turut tersentuh. Apatahlagi macam Sdra Uthaya yang sempat akrab dengan beliau.

    tapi sememangnya begitulah lumrah hidup ini
    orang baik dikenang dengan sayang
    orang jahat diingat dengan caci

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!