Pada mulanya saya sangka dia sedang merujuk kepada kehadiran watak “Uthaya” dan “Uthaya Sankar SB” dalam beberapa cerpen saya sendiri; khususnya dalam “Persaudaraan Banyan” dan “Mengubah Teks” (Siru Kambam, DBP: 1996).
Dia rupa-rupanya merujuk kepada puisi Roslan Jomel dalam Dewan Sastera, Jun 1998, puisi Mattaib Nordin dalam Dewan Sastera, Julai 1998 dan novel terbaru Dr Othman Puteh berjudul Kalut.
Roslan mendedikasikan puisi “Sehari Suntuk” kepada saya manakala Mattaib pula mendedikasikan “Menyihir Kepalsuan” kepada saya, Abdul Hadi Yusof dan Hasni Abas. Mereka berdua mempunyai alasan yang logik untuk melakukan dedikasi itu. Namun, pertanyaan yang dikemukakan oleh pembaca tadi membuatkan saya berfikir secara lebih serius mengenai kehadiran watak ‘Uthaya’ dalam beberapa karya fiksyen lain; khususnya Kalut.
Dalam beberapa manuskrip cerpen yang dikirim kepada saya oleh beberapa penulis baru juga terdapat watak “Uthaya”, “Uthaya Sankar” dan “Uthaya Sankar SB”. Ada kalanya hanya persamaan pada nama. Namun, ada masanya memang diri saya yang ditampilkan sebagai salah satu watak dalam cerpen berkenaan.
Walau bagaimanapun, kali pertama yang melihat nama saya digunakan dalam karya Dr Othman Puteh adalah pada 29 Mac 1997 apabila saya membaca “Pertemuan” (fragmen novel Kalut) dalam Dewan Sastera, April 1998. Bahagian akhir adalah begini:
“Terima kasih … Sekejap lagi anak angkat aku datang. Bolehlah berkenalan dengannya nanti. Dia minat main saham.”
“Sudah bagus.”
“Ha, itu pun dia … pantang disebut, ha, ha …”
“Hey, Uthaya Sankar!”
“Pak Cik …!”
Tersentak juga saya dibuatnya; apatah lagi apabila bahagian akhir ditamatkan dengan semacam unsur suspens. Terpaksalah menunggu kelahiran novel Kalut untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Semasa bertemu Puan Mawar Shafei di Jabatan Persuratan Melayu, UKM pada 19 Februari 1998, sempat beliau mengusik bahawa watak Uthaya Sankar dalam novel Kalut kemungkinan besar berkahwin dengan seorang ‘amoi’. Novel Kalut pada waktu itu sudah pun terbit dan berada di pasaran; tetapi saya belum berpeluang membacanya. Kononnya mahu membeli secara langsung daripada Dr Othman.
Sementara itu, saya telah meneliti semula “Pertemuan” dalam Dewan Sastera sambil tertanya-tanya apakah watak ‘Uthaya Sankar’ dalam novel Kalut merupakan pinjaman citra diri saya atau cuma pinjaman nama semata-mata.
Dalam “Pertemuan”, Ariosamy (Arokiasamy?) telah mengambil Uthaya Sankar sebagai anak angkat. Menurut Ario, “… Dialah yang uruskan ladang itu. Dia ada diploma dalam bidang Pengurusan Ladang. … Dia bukan orang lain. Dia satu-satunya anak kepada bapa mentua angkat aku.” Bermakna, Uthaya Sankar adalah anak tunggal Kandiapan dan Letchumi.
Maklumat ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa watak ‘Uthaya Sankar’ dalam “Pertemuan” (dan tentunya dalam Kalut) bukan citra diri saya. Sebab itulah apabila seorang rakan bertanya dengan sinis, “Awak tak hantar notis kepada pengarang kerana tak letak ‘SB’ pada nama awak?”, saya sekadar mengatakan “Watak itu bukan saya.”
Pada masa yang sama, saya dapat mengagak bahawa tentu Dr Othman mendapat idea bagi nama watak itu daripada nama saya. Saya berani katakan begitu kerana memang tidak ramai manusia bernama ‘Uthaya Sankar’; apatah lagi dengan ejaan U-t-h-a-y-a-S-a-n-k-a-r.
Saya mendapat pengesahan mengenai andaian saya berhubung nama watak berkenaan pada 20 Mei 1998, iaitu semasa membeli senaskhah Kalut daripada Dr Othman Puteh. Saya bertanya apakah watak Uthaya Sankar akan berkahwin dengan gadis keturunan Cina.
Sambil tertawa, Dr Othman menerangkan bahawa beliau hanya menimbulkan kemungkinan berlakunya perkahwinan antara Uthaya Sankar dan Yow May Ying. Beliau juga menjelaskan bahawa nama bagi watak ‘Uthaya Sankar’ timbul secara spontan sahaja semasa beliau sedang menghasilkan Kalut.
Walaupun sudah mendapat pengesahan daripada pengarang sendiri bahawa ‘Uthaya Sankar’ dalam novel Kalut bukan diri saya, namun saya masih begitu ingin mengetahui perkembangan watak tersebut dalam Kalut. Maka saya membaca setiap bahagian yang menampilkan watak Uthaya Sankar.
(Mujurlah ‘Uthaya Sankar’ bukan diri saya. Kalau tidak, saya mungkin terpaksa menghantar surat meminta penjelasan mengapa ‘SB’ digugurkan!)
Fragmen “Pertemuan” sebenarnya adalah Bab 18 novel Kalut. Dan timbul sedikit kekalutan apabila saya membandingkan kedua-duanya. Dalam “Pertemuan”, Uthaya Sankar adalah anak kepada pasangan Kandiapan-Letchumi. Tetapi dalam Kalut, dia anak kepada pasangan Manokaran-Letchumi (hlm 98). Ah, kalut!
Nama watak ‘Uthaya Sankar’ muncul pada halaman 102. Kemudian muncul semula hanya pada halaman 144. Agaknya watak itu tidak sepenting watak Ario. Begitulah andaian saya semasa menyelak halaman demi halaman novel Kalut.
Maklumat mengenai watak Uthaya Sankar antara lain boleh ditemui pada halaman 144, 176-178 dan 184-185. Ternyata ‘Uthaya Sankar’ dalam Kalut bukan diri saya. Persamaan hanya pada nama. Sah.
Novel Kalut sebenarnya turut menampilkan banyak nama yang dikenali umum dalam dunia sastera Malaysia. Misalnya Shahnon Ahmad pada halaman 3, 201 dan 207. Nama A. Wahab Ali muncul pada halaman 207 bersama Mohd Salleh Yaapar.
Ahmad Fadzil Yassin disebut antara lain pada halaman terakhir (223) bersama nama Rahman Shaari. Nama Dharmawijaya, Hashim Awang dan Ayob Yamin pula pada halaman 212 manakala Hamzah Hamdani pada halaman 211.
Mereka yang ditampilkan dalam Kalut adalah diri mereka yang sebenar dalam alam realiti. Abdullah Hussain (turut hadir pada halaman 183 novel Kalut) sering menggunakan ‘teknik’ ini khususnya dalam kumpulan cerpen Kota ke Kota.
Namun, sudah terbukti bahawa watak ‘Uthaya Sankar’ bukan gambaran semula diri saya. Sebaliknya hanya persamaan pada nama. Itu sahaja.
Walau bagaimanapun, saya sekali lagi tersentak sewaktu menghadiri majlis diskusi Kalut di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 30 Mei 1998. Panel yang memperkatakan novel tersebut terdiri daripada saudara Azman Ismail dan Prof Madya Zainal Abidin Borhan. Kertas kerja yang dibentangkan oleh saudara Azman Ismail disiarkan juga dalam Dewan Sastera, Julai 1998, hlm 46-47.
Menurut Azman, “… beberapa nama seperti Uthaya Sankar, Abdullah Hussain, Shahnon Ahmad, Rahman Shaari, Dharmawijaya, Ahmad Fadzil Yassin serta lokasi-lokasi tertentu adalah nama sebenar penulis dan sarjana sastera tanah air yang dimanfaatkan untuk menguatkan realiti yang diketengahkan.”
Prof Madya Zainal pula dalam kertas kerjanya menulis begini: “Pengarang sendiri turut terlibat, dengan mengemukakan pengalaman sendiri di perantauan (Iowa?) di halaman 28; … Pengarang turut juga membawa nama real dari dunia real ke dalam fiksyen seperti Abdullah Hussein, Profesor Datuk Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah, Anuar Asmadi, dan yang paling menarik menggunakan nama Uthaya Sankar sebagai anak kepada Ario.”
Ternyata kedua-dua panel sependapat dalam penggunaan nama watak-watak sebenar (realiti) dalam novel Kalut oleh Dr Othman Puteh. Memanglah watak Abdullah Hussain, Shahnon Ahmad dan sebagainya merupakan orang yang sama dalam realiti objektif dan juga realiti teks. Tetapi tidak tepat apabila kenyataan yang sama dikemukakan berhubung watak ‘Uthaya Sankar’.
Kenyataan seumpama ini – apatah lagi daripada panel yang berwibawa – mampu mengelirukan khalayak. Seorang hadirin pada majlis itu berbisik kepada saya bahawa dia belum membaca Kalut tetapi dia bertanya apakah benar saya anak angkat kepada Ario!
Beberapa orang lagi pembaca (peminat?) turut terkeliru. Mereka menganggap pengarang hanya menukar sedikit maklumat diri saya – seperti bidang pengajian – sebelum ditampilkan dalam novel berkenaan. Dan mereka bertambah yakin selepas membaca tulisan Azman Ismail dalam Dewan Sastera, Julai 1998.
Bukanlah salah pengarang apabila menggunakan nama ‘Uthaya Sankar’ bagi salah satu watak dalam novel Kalut. Bukan juga salah apabila watak ‘Uthaya Sankar’ dalam realiti teks tidak ada apa-apa kaitan – kecuali persamaan nama – dengan watak ‘Uthaya Sankar SB’ dalam realiti objektif. Malah saya merasakan semacam penghargaan apabila Dr Othman Puteh terfikir akan nama saya semasa menulis novel Kalut di Iowa, Amerika Syarikat. Terima kasih daun keladi …
Walau bagaimanapun, agak mengecewakan apabila peneliti teks gagal membezakan antara watak ‘Uthaya Sankar’ dalam teks dengan watak ‘Uthaya Sankar SB’ dalam realiti sehingga mengandaikan kedua-duanya adalah sama. Apatah lagi apabila perbezaan antara watak ‘Uthaya Sankar’ dan ‘Uthaya Sankar SB’ adalah amat nyata. ‘Uthaya Sankar SB’ tidak hadir langsung dalam novel Kalut. Yang hadir hanyalah unsur ‘peminjaman nama’.
Penjelasan ini yang datangnya daripada ‘Uthaya Sankar SB’ sendiri diharap dapat mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan lebih lanjut dalam kalangan pembaca dan peneliti novel Kalut.
(Uthaya Sankar SB, Mingguan Malaysia, 1 November 1998) -- Baca juga "Pak Haji yang Saya Kenali" DI SINI.
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!