29 Mar 2010

Uthaya Suka Karya Mencabar

Uthaya Sankar SB dan S.G. Prabhawathy berhasrat mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang lebih baik dan murni melalui penghasilan karya sastera, Al-Abror Mohd Yusuf melaporkan dalam akhbar Metro Ahad, 15 Disember 2002.

...

BAGI sesetengah orang, nama beliau mungkin dapat menggambarkan keunikan karya beliau. Memang bagi kebanyakan khalayak, bukan mudah mencari orang kedua menggunakan nama Uthaya Sankar SB sebagai penulis prolifik dalam kesusasteraan kebangsaan. Tambahan pula, beliau mengambil Bahasa Malaysia sebagai wahana menyalurkan idea untuk orang ramai.

.

Namun, itulah Uthaya yang tergerak menulis hasil rasa ‘meluat’ pada bahan bacaan yang terhidang kepada beliau sejak alam persekolahan. Bagi beliau, ada penulis gagal menghormati minda dan intelektualiti pembaca.

.

“Karya yang saya baca terlalu ringkas, bersifat didaktik secara langsung dan membosankan,” kata beliau mengenai bahan bacaan Bahasa Malaysia yang ditatap ketika itu. Karya sebegini barangkali tidak mencabar minda atau memuaskan beliau, dan rasa itulah kemudian melonjakkan naluri Uthaya untuk mula menulis.

.

Ketika itu, Uthaya menulis cerpen berjudul “Secebis Kisah” dan diterbitkan dalam majalah sekolah. Sejak itu, Uthaya tidak mengambil jalan lain kecuali terus menulis dengan keinginan memberikan sedikit kelainan dalam khazanah sastera dengan memilih Bahasa Malaysia sebagai saluran merelisasikan tugasan.

.

“Tiada masalah untuk saya menulis dalam Bahasa Malaysia walaupun saya datang dari keluarga berketurunan Malayalam dan kaum India. Malah, Bahasa Malaysia adalah bahasa ibunda saya,” kata beliau.

.

Walaupun mengaku puas apabila hasil tulisan diterbitkan untuk tatapan umum, menurut Uthaya, masih ada misi yang belum dapat diselesaikan. Antara lain, menggalakkan penghasilan bahan kesusasteraan kebangsaan dalam kalangan penulis kaum India di negara ini.

.

Walaupun sibuk menjadi tenaga pengajar separuh masa di beberapa institusi pengajian tinggi swasta tempatan, Uthaya giat berusaha mengetengahkan sejumlah penulis kaum India melalui Kavyan.

.

Melalui Kavyan, Uthaya mengimpikan wujud perpaduan sejati antara kaum di negara ini melalui karya sastera.

.

Pandangan ini dikongsi bersama oleh isteri beliau, S.G. Prabhawathy, seorang guru Bahasa Inggeris yang semakin yakin menghasilkan karya kreatif Bahasa Malaysia untuk penerbitan tempatan. April 2002, sebuah cerpen beliau berjudul “Meenatchi” diterbitkan dalam majalah Dewan Masyarakat.

.

Menurut Prabha, di sekolah, beliau melihat sendiri ada unsur tidak wajar masih bertahan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum. Mereka, kata beliau, lebih senang bergaul sesama sendiri sehingga memungkinkan bercambah rasa curiga dan prasangka antara kaum.

.

“Kami cuba mengubah persepsi ini melalui karya kreatif, walaupun kejayaannya mungkin perlahan,” kata beliau.

.

Lebih menyedihkan, kata Prabha, turut dapat dikesan berkembang dalam kalangan pelajar adalah persepsi tidak tepat terhadap kemampuan Bahasa Malaysia sebagai wadah menyampaikan mesej secara berseni.

.

“Dengan kemahiran berbahasa semakin longgar, ada pelajar melihat sesuatu karya itu hanya boleh dianggap bermutu jika dihasilkan dalam Bahasa Inggeris,” kata beliau.

.

Kewujudan persepsi ini dipersetujui Uthaya Sankar SB. Kata beliau, melalui karya sastera, banyak perubahan boleh dilakukan jika kena caranya. Tujuan beliau hanya untuk mewujudkan sebuah kehidupan bermasyarakat lebih baik dalam kalangan Bangsa Malaysia.

.

Sesuai dengan perkembangan semasa, Uthaya mengetengahkan pula buletin kesusasteraan dwibahasa secara elektronik. Dikenali sebagai Kavya (karya), surat berita ini boleh dicapai dalam talian (online) dan memuatkan pelbagai maklumat menarik, termasuk karya kreatif ahli Kavyan dan orang awam.

.

“Kami melihat penggunaan internet semakin meluas dan perlu dimanfaatkan untuk menerbitkan karya sastera supaya penyebarannya dapat dilakukan dengan lebih meluas dan mudah. Mudah-mudahan usaha kami memeriahkan dunia kesusasteraan negara ini serta memberi kebaikan kepada seluruh Bangsa Malaysia,” katanya.

....

(Disiarkan dalam Metro Ahad, 15 Disember 2002 dan Kavya, Januari 2003)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!