4 May 2020

Reaksi Pembaca Beta — Cerpen Lima (A)


Sebuah lagi cerpen baharu ditulis pada 29–30 April 2020. Saya mengirim petikan sepanjang 150 perkataan, iaitu bahagian awal cerpen itu (belum tersiar), kepada sekumpulan pembaca beta yang menawarkan diri secara sukarela.

Selepas mengumpul reaksi mereka, saya kirim pula sambungan petikan sepanjang 150 perkataan dan meminta pembaca beta yang sama memberi reaksi sesudah membaca 300 perkataan daripada petikan awal cerpen berkenaan.

Reaksi ikhlas diterima daripada 18 orang pembaca beta, maka saya paparkan dalam tiga bahagian. Setiap individu memberi reaksi sebanyak dua kali.


Bahagian Lima (A)

“Saya berminat untuk membaca sambungan cerpen ini kerana intro ini terhenti di kemuncak apabila pembaca ingin tahu cerita seterusnya. Kedua-dua watak ini mungkin sudah lama berkenalan dan Faiz ingin mencari jalan mudah dengan membawa ‘Dia’ untuk berjumpa ibu dan bapanya apabila mereka mendesak mahu berjumpa dengan kekasih Faiz. Pada pendapat saya, ada orang ketiga di antara “Faiz” dan “Dia”. Mungkin akan ada unsur LGBT dalam cerpen ini dan akhirnya Faiz terpaksa mendedahkan dirinya yang sebenar.” Anuradha Chelliah

“Menarik. Sememangnya menarik kerana penulis telah memberikan plot yang mampu menawan hati pembaca. Pandangan saya mengenai kedua-dua watak masih sama. Saya berasa Faiz inginkan jalan yang mudah. Pada pendapat saya, Faiz mungkin seorang playboy yang akan membuat apa sahaja, semata-mata kerana dia mempunyai wang. Punca perubahan pendapat saya adalah kerana Faiz sanggup menggunakan wang untuk apa sahaja.” Anuradha Chelliah


“Ya, saya berminat untuk membaca sambungan cerpen ini kerana permulaan cerpen digarap dengan idea yang sangat menimbulkan tanda tanya. ‘Dia’’ merupakan seorang kekasih yang cuba untuk belajar erti setia dengan kekasih hatinya, manakala Faiz pula cuba belajar untuk menjadi pencinta yang lebih setia dengan perbuatannya untuk memperisterikan ‘Dia’. Pada pendapat saya, ‘Dia’ akan terus-terusan mempertikaikan tindakan Faiz yang ingin melamarnya. Walau bagaimanapun, selaku pencinta yang lebih setia dan tulus, Faiz tetap akan meyakinkan ‘Dia’ dan membuktikan cinta tulusnya walau hati terpalit duka. Sesungguhnya, cinta tidak semestinya memiliki.” Isma Hazwani binti Ismail

“Sudah semestinya saya masih berminat! Garapan idea daripada penulis membuatkan saya lebih teruja untuk mengetahui sambungan kisah ini. Nampaknya, Faiz seorang oportunis yang mengambil kesempatan untuk mengabui mata ibu bapanya, manakala ‘Dia’ merupakan seorang wanita yang gemar akan ganjaran. Pada pendapat saya, ‘Dia’ dan Faiz akhirnya menjadi pencinta yang paling romantis dan ditakdirkan hidup bersama suatu hari nanti. Walaupun pada permulaan perkenalan, mereka hanya berjanji untuk menjadi ‘kekasih kontrak, namun dapat dirasakan bahawa Faiz akan berjaya memenangi hati ‘Dia’.” — Isma Hazwani binti Ismail


“Saya berminat membaca cerita seterusnya kerana saya percaya terdapat suatu plot penuh saspens di sebalik petikan awal cerpen ini. Saya berpendapat bahawa ‘Dia’ dan Faiz merupakan kenalan rapat dan tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa. Pada pendapat saya, ‘Dia’ akan membantu Faiz untuk menjadi kekasih palsu semata-mata demi menunaikan hasrat berjumpa ibu bapa Faiz.” Jaymani Sevanathan

“Saya masih berminat kerana saya benar-benar ingin tahu kesudahan cerpen ini yang memiliki watak bersifat saspens. Saya rasa, ‘Dia’ merupakan seorang kenalan Faiz yang sanggup buat apa sahaja demi wang, manakala Faiz terpaksa berlakon demi hasrat ibu bapanya. Apa yang akan berlaku seterusnya? ‘Dia’ berkemungkinan besar akan menaruh hati terhadap Faiz kerana layanan ibu bapa Faiz yang penuh kasih sayang.” Jaymani Sevanathan


“Ya, saya berminat membaca sambungan cerita ini. Mungkin kerana saya suka akan cerita-cerita bertema cinta. Saya juga ingin tahu siapakah ‘Dia’ dan setujukah Si dia menemui ibu bapa Faiz kemudian. Saya rasa mungkin Si Dia itu kekasih lama (bekas kekasih) Faiz. Bagaimanapun, mereka masih dalam hubungan biasa (rakan). Saya rasa Si Dia akan menemui ibu bapa Faiz. Pada masa yang sama, mungkin kekasih Si Dia akan mengetahui tentang perkara ini. Akhirnya, Dia tidak akan bersama dengan Faiz walaupun Si Dia suka akan Faiz berbanding kekasihnya.” Murali Mohan

“Tentu saja saya masih berminat. Saya ingin tahu apa akan jadi di bilik mereka yang berkongsi katil itu. Adakah Si Dia jatuh cinta dengan Faiz walaupun sudah mempunyai kekasih? Pandangan saya hanya berubah terhadap watak pasangan kekasih lama sahaja. Nampaknya mereka bukan kekasih lama. Rasa-rasanya, Faiz tidak akan mengambil kesempatan ke atas ‘Dia’ di dalam bilik. Malah, mungkin Faiz juga tidak berkongsi katil. Sejak hari itu, Si Dia akan jatuh cinta terhadap Faiz.” Murali Mohan


“Berminat membaca seterusnya kerana maklumat yang ada pada bahagian awal ini tidak memberi apa apa kes. Pada hemat saya, watak ‘Dia’ teliti dan terus terang. Faiz pula agak keliru, terburu buru dan tidak mampu hadapi tekanan keluarga. Pada andaian saya, ibu bapa Faiz akan setuju menjadikan ‘Dia’ menantu. Faiz akan sedia berdepan dengan tunang ‘Dia’. Agak sulit buat ‘Dia’ untuk membuat keputusan kerana Faiz pun orang dikira baik dan daripada keluarga yang sederhana.” — Nik Mohd Yusoff Nik Ismail

“Sambungannya agak mengejutkan. Soalnya, apakah tingkah sebegini menjadi amalan sebahagian besar orang Melayu. Saya tak pasti ‘Dia’ itu agama apa. Saya tertanya-tanya, sejauh mana pegangan agamanya, tanpa mengira apa agama anutannya. Watak Faiz pula agak tak jelas. Mungkin ada muslihat tidak baik dengan ‘Dia’ melalui sogokan wang. Atau memang dia berkenan sungguh dengan ‘Dia’. Jadi, apabila dah bermalam bersama, apabila tunangnya tahu, tentu dia akan batalkan sahaja pertunangannya. Apa yang berlaku seterusnya? Saya andaikan, Faiz akan rahsiakan peristiwa tidur sekatil dengan ‘Dia’ daripada ibu bapanya. Mungkin ‘Dia’ rasa bersalah, lalu berterus terang dengan tunangnya. Berlaku satu krisis dan pergaduhan panjang. Faiz campur tangan dalam krisis itu, mungkin dengan jujur untuk memiliki ‘Dia’. Faiz dan ‘Dia’ akhirnya berkahwin di luar negara dengan alasan sambung belajar.” — Nik Mohd Yusoff Nik Ismail



“Ya, berminat kerana, perbualan antara ‘Dia’ dengan Faiz sudah pasti mencetus konflik antara mereka berdua. Sikap membantah ditunjukkan, yakni ‘Dia’ ada pendirian tegas. Sedangkan Faiz sangat autokratik kepada ‘Dia’ tanpa ada tolak ansur. Ajakan Faiz diterima oleh ‘Dia’ dengan syarat yang perlu diikuti kerana ‘Dia’ juga ada agenda yang mahu diraih terhadap kekasihnya.— Nursuhaili binti Baharuddin

Sungguh saya mahu tahu apa akan terjadi kepada ‘Dia’ dan Faiz. Sudah berubah pandangan tentang watak ‘Dia’.  Bukan seorang yang tegas pendirian kerana hatinya boleh dibeli.  Sebaliknya, watak Faiz pula berubah daripada memaksa kepada natural pada situasi yang menyenangkan.  Wah, sungguh ironi! Namun, pandangan saya pada bahagian kesudahan masih tetap sama, bahawa Faiz ada personaliti songsang, lalu memaksa beliau (Faiz) membawa ‘Dia’ bagi mewarnai kehidupan sosial.yang baik di mata keluarga.— Nursuhaili binti Baharuddin


Bersambung di — [Bahagian Lima (B)]    



Setiap reaksi yang diberi amat bernilai dan amat saya hargai dalam usaha berterusan menjadi penulis yang mampu menghasilkan karya bermutu. Saya [Uthaya Sankar SB] mendoakan supaya para pembaca beta terbabit sentiasa dirahmati dan dimurahkan rezeki.