Sebuah lagi cerpen baharu ditulis pada 29–30 April 2020.
Saya mengirim petikan sepanjang 150 perkataan, iaitu bahagian awal cerpen itu
(belum tersiar), kepada sekumpulan pembaca beta yang menawarkan diri
secara sukarela.
Selepas mengumpul reaksi mereka, saya kirim pula sambungan
petikan sepanjang 150 perkataan dan meminta pembaca
beta yang sama memberi reaksi sesudah membaca 300
perkataan daripada petikan awal cerpen berkenaan.
Reaksi ikhlas diterima daripada 18 orang pembaca
beta, maka saya paparkan dalam tiga bahagian. Setiap individu memberi reaksi sebanyak dua kali.
Bahagian Lima (B)
“Ya, saya berminat untuk membaca sambungan cerpen ini kerana
permulaan cerpen ini sangat menarik.
Pandangan saya terhadap kedua-dua watak ini adalah bahawa penipuan mereka akan
membawa kepada kekeliruan dan konflik semata-mata. Pada pendapat saya, akan berlaku
konflik antara watak ‘Dia’ dan kekasihnya kerana terpaksa menipu untuk menjadi
kekasih Faiz.” — Diviya Devaraj
“Saya masih berminat membaca sambungan cerita ini Saya ingin
tahu berapa lama penipuan mereka akan terus kekal dan adakah watak ‘Dia’ akan
mempunyai perasaan cinta terhadap Faiz. Pandangan saya terhadap kedua-dua watak
ini masih sama kerana penipuan mereka akan membawa kepada kekeliruan dan
konflik semata-mata. Pada pendapat saya, watak ‘Dia’ akan mula mempunyai
perasaan terhadap Faiz kerana dia mula berasa selesa dengan layanan mesra ibu
bapa Faiz.” — Diviya Devaraj
“Saya ingin tahu siapakah ‘Dia’ yang begitu misteri. Saya
mendapat gambaran seolah-olah ‘Dia’ dan Faiz mempunyai satu hubungan yang
rapat, namun tidak pasti sama ada hubungan persaudaraan atau persahabatan.
Mungkin akan berlaku banyak persoalan yang perlu dijawab oleh Faiz dan ‘Dia’
tentang kekasih baharu yang dimaksudkan. Siapakah pula kekasih lama?” — Jeeva Kasthuri Anamalay
“Ya, sudah tentu saya masih berminat membaca sambungan
cerpen ini. Ceritanya sudah beralih arah. Suatu jalan cerita yang penuh
konflik. Nampaknya, ‘Dia’ merupakan seorang wanita yang mungkin bersifat
materialistik. Sebagai anak yang soleh, Faiz pula tersangkut dalam usaha
memenuhi kehendak ibu bapa. Apa yang akan berlaku seterusnya? ‘Dia’ mungkin berubah
hati dan mahu bersama Faiz setelah meluangkan masa di rumah ibu dan bapa Faiz.”
— Jeeva Kasthuri Anamalay
“Saya berminat untuk tahu kenapa watak ‘Dia’ bercinta dengan
dua orang sekali gus. Saya juga ingin tahu mengapa Faiz masih ingin bersama
‘Dia’ setelah ketahui ‘Dia’ mempunyai kekasih lain. Pada pandangan saya, watak
‘Dia’ dan Faiz adalah lelaki. Hubungan mereka adalah ‘luar biasa’ (luar tabii).
Mungkin ‘Dia’ akan terangkan kepada Faiz bahawa dia tidak dapat bertemu dengan
ibu bapa Faiz. ‘Dia’ tidak boleh hidup bersama seorang lelaki kerana ‘Dia’
ingin meneruskan hidup baharu bersama kekasih perempuannya.” — M.
Mahendran
“Ya, saya masih berminat untuk membaca sambungan cerita
kerana ingin tahu kenapa ibu bapa Faiz membenarkan ‘Dia’ bermalam di rumah
mereka. Lebih-lebih lagi, Faiz dan ‘Dia’ tidur sekatil. Pandangan saya mengenai
kedua-dua watak sudah berubah. Rupa-rupanya, watak ‘Dia’ adalah perempuan,
bukan lelaki seperti yang saya sangka sebelum ini. Lebih-lebih lagi, mereka
cuma berlakon. Mungkin mereka adalah ‘kekasih’ dalam erti kata lain. Pandangan
saya tentang jalan cerita juga berubah setelah mengetahui ‘Dia’ adalah
perempuan dan mereka cuma berlakon. Walaupun mereka berkongsi katil, saya rasa,
hati ‘Dia’ tetap setia pada kekasihnya.” —
M.
Mahendran
“Cerita cinta sebegini agak klise sebab sudah ramai penulis
yang menulis berkisar tentang cinta antara berlainan kaum dan agama, tapi kalau
penulis boleh membawa kelainan dalam cara kisah cinta ini, saya berminat untuk
membaca sambungannya. Watak ‘Dia’ dan Faiz adalah antara watak-watak sebenar
dalam dunia realiti. Mereka adalah watak yang kenal hakikat cinta tapi buta
warna dan terang mata hati. Lain orang lain dugaan dan onak duri yang terpaksa diharungi.
Pasti ada suatu tarikan antara kedua-duanya yang menjadikan mereka rapat, mesra
dan mungkin saling menyayangi. Hanya mereka sahaja yang tahu. Mungkin ‘Dia’
akan ‘mengalah’ dan meninggalkan kekasihnya, lalu menyerah diri kepada Faiz
atau mungkin ‘Dia’ menolak terus Faiz dan membiarkan Faiz pergi terus daripada
hidupnya dengan lafaz ‘Cinta tidak semestinya perlu bersatu’.” — Rushida Binti Abdul Wahid
“Wow! Permulaan yang agak klise tapi apabila masuk ke bahagian
kedua, bermula tanda tanya demi tanda tanya. Siapakah sebenarnya Faiz dan
‘Dia’? Bagaimanakah mereka boleh tidur sekatil di rumah keluarga Faiz? Terlalu
‘bebas’ sangatkah Faiz dan keluarganya serta ‘Dia’ tanpa batas manusia beragama
dan bertatasusila? Kisah cinta mereka ini nampaknya bukan seperti cinta biasa.
Adakah cinta mereka dalam kategori cinta luar tabii atau cinta yang dilarang?
Menarik untuk mengetahui apa sebenarnya penghujung cerita.” — Rushida Binti Abdul Wahid
“Saya berminat untuk membaca keseluruhan cerpen ini kerana
ia merupakan satu genre yang berbeza, iaitu menyisipkan unsur percintaan yang
menjadi kegemaran ramai. Watak ‘Dia’ bersifat menghormati orang tua dan dia
lebih suka berbincang sebelum mengambil tindakan. Watak Faiz pula bersifat
berani dan tidak kisah sesiapa jua walaupun ibu bapa; hanya untuk kepentingan
diri sahaja. Pada pendapat saya, Faiz akan cuba mengambil langkah drastik
seperti mengeluarkan kata-kata kesat terhadap watak ‘Dia’ dan ‘Dia’ akan cuba
memujuknya agar tidak mengambil tindakan terburu-buru sehingga mendapat
persetujuan orang tuanya.” — Saratha
Ramdass
“Saya sangat berminat dengan sambungan cerpen ini kerana
sudah memahaminya dan senyuman terukir di wajah saya kerana tidak menyangka
sambungan yang amat kreatif sebegini. Pandangan saya terhadap watak juga semestinya
sudah berubah kerana Faiz seorang teruna yang sayangkan ibu bapa dan tidak mahu
melihat mereka kecewa. Manakala watak ‘Dia’ mungkin merupakan kawan baik sejak zaman
persekolahan dan tidak mahu Faiz jatuh cinta pada wanita yang tidak sepadan
dengan keluarganya. ‘Dia’ lebih mementingkan persahabatan yang tulen dengan
Faiz serta wang menjadi salah satu kelemahannya. Kemungkinan besar ‘Dia’ akan
jatuh hati pada Faiz tetapi Faiz terpaksa menolaknya kerana dia lebih
mementingkan kerjaya dan tidak pernah menganggap ‘Dia’ sebegitu (kekasih).
Tetapi atas desakan ibu bapa, Faiz terpaksa kecundang dan akur dengan keputusan
ibu bapanya. Sebelum ini, saya hanya membayangkan watak ‘Dia’ sebagai lelaki
dan tidak ada kaitan dengan perempuan. Si ‘Dia’ adalah kawan baik Faiz yang
sedia atau sentiasa menolongnya dari segi sokongan moral, nasihat dan cadangan
pada bila-bila masa. Kini, saya sudah mendapat gambaran jelas jalan cerpen ini
dan amat mengharapkan kesudahan kritis dan kreatif!” — Saratha Ramdass
“Berminat kerana
saya penggemar kisah cinta. Hanya dengan membaca petikan awalan, saya sudah
membayangkan peristiwa seterusnya. ‘Dia’ sudah mempunyai kekasih tetapi demi
sahabat baiknya, dia sudi berlakon menjadi kekasih. Faiz anak yang taat kepada
keluarga tetapi dia tidak berfikir secara rasional, lalu merumitkan keadaan.
Pada pandangan saya, mereka akan berlakon sebagai pasangan kekasih. ‘Dia’ akan
ada krisis dengan kekasihnya. Faiz dan ‘Dia’ pula jatuh cinta?” — Thanusya Shanmuganathan
“Saya mahu membaca keseluruhan cerpen kerana saya tidak
menduga mereka akan tidur bersama. Saya mahu tahu apa yang akan berlaku
seterusnya. Apabila mendapat tahu mereka tidur bersama sebelum berkahwin,
pandangan saya tentang perwatakan mereka sudah berubah. Saya tertanya-tanya
sama ada mereka hanya tidur bersama atau sudah ‘terlanjur’. Saya dapat
membayangkan peperangan besar dan ‘Dia’ akan ditinggalkan oleh kekasih serta
disisih oleh keluarga. Dan Faiz akan menjadi pengganti.” — Thanusya Shanmuganathan
Bersambung di — Bahagian Lima (C)
Baca juga: Reaksi Pembaca Beta Satu — Reaksi Pembaca Beta Dua — Reaksi Pembaca Beta Tiga — Reaksi Pembaca Beta Empat — Reaksi Pembaca Beta Lima (A).
Setiap reaksi yang diberi amat bernilai dan amat saya hargai
dalam usaha berterusan menjadi penulis yang mampu menghasilkan karya bermutu.
Saya [Uthaya Sankar SB] mendoakan supaya para
pembaca beta terbabit sentiasa dirahmati dan dimurahkan
rezeki.