28 Apr 2010

Perpaduan dalam Novel Alpa dan Panchayat

Pendahuluan .

Sasterawan diumpamakan sebagai “conscience” atau batin sesuatu bangsa dan manusia secara am kerana hanya melalui karya kreatif wujud komunikasi atau interaksi antara jiwa ke jiwa yang merentas sempadan bangsa, agama, kebudayaan dan kemanusiaan. Karya kreatif yang dimaksudkan ialah hasil karya atau nukilan yang asli dalam bahasa kebangsaan yang menjadi lambang keperibadian dan kemegahan negara. Menurut Syed Mohamad Naguib al- Attas, hanya hasil kesusasteraan rakyat Malaysia yang ditulis dalam bahasa kebangsaan yang dianggap sebagai sastera kebangsaan kerana difahami oleh warganegara Malaysia (Hamzah Hamdani, 1988 : 234). Pandangan ini diperkukuh oleh kenyataan Mohd Taib Osman (1971 : 33) bahawa hanya sastera kebangsaan yang dapat memberi kesedaran kebersamaan pada peringkat kebangsaan dan dalam konteks perpaduan sosiobudaya mengatasi subbudaya pada peringkat rendah. Justeru, sebelum membicarakan perpaduan dalam novel sasterawan kaum India Malaysia, wajar disorot pembabitan mereka dalam sastera kebangsaan.

.

Latar Belakang Sasterawan Kaum India dalam Sastera Kebangsaan

.

Pembabitan sasterawan kaum India dalam sastera kebangsaan bermula sebelum negara memperoleh kemerdekaan. Tokoh yang telah membuka tirai sastera ialah Nagalingam yang berasal dari Parit Buntar, Perak. Karya sulung beliau ialah sebuah cerpen berjudul “Cerita Orang Yang Tiada Menerima Syukur” yang disiarkan dalam Bahtera, keluaran 17 dan 24 Mei, 1932.

.

Nagalingam merupakan perintis yang telah meletakkan asas bagi penulisan serta perkembangan karya kreatif dalam kalangan sasterawan kaum India. Menurut Hashim Awang (1975: 9) meskipun sumbangan Nagalingam amat kecil tetapi penyertaan beliau telah memberi dorongan serta menyediakan tapak yang kukuh untuk perkembangan selanjutnya dalam kalangan generasi India yang berkarya dalam bahasa kebangsaan.

.

Jalan yang dirintis oleh Nagalingam hanya membuahkan hasil selepas tiga dekad kerana penulisan serta perkembangan karya kreatif dalam kalangan sasterawan kaum India terbantut akibat Perang Dunia Kedua serta Pendudukan Jepun. [Baca lagi DI SINI]

.

Kajian yang dijalankan oleh Institut Tadbiran Awam Negara merumuskan bahawa tiada Dasar Pelajaran Kebangsaan, dasar bahasa pengantar yang tunggal serta penderitaan serta kemiskinan rakyat semasa penjajahan Imperialis Barat dan Jepun menyebabkan rakyat terpaksa memberi keutamaan kepada soal kehidupan daripada melibatkan diri dalam penulisan kreatif. (Malaysia Kita, 1991 : 474)

.

Menurut Rahman Shaari (1984 : 20) rakyat menghadapi kesulitan untuk mendapatkan bahan tulis dan wadah penampungan dimiliki oleh Jepun. Tapisan yang ketat dikenakan terhadap hasil karya penulis. Hanya karya yang mesejnya berkiblatkan ideologi Jepun yang diterima oleh Jepun. Justeru, kegiatan kesusasteraan dalam kalangan sasterawan kaum India mengalami zaman ketandusan semasa penjajahan kuasa Imperialis.

.

Setelah lenyap untuk jangkamasa yang agak lama, kegiatan persuratan dalam kalangan sasterawan kaum India mula berputik menjelang penghujung dekad 50-an. Sasterawan kaum India mula bergiat kembali dalam persuratan Melayu selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

.

Menurut Wong Seng Tong (1983: 20) antara faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan yang positif selain kemerdekaan tanah air ialah kedaulatan yang diberikan kepada Bahasa Malaysia serta pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Pengiktirafan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa pengantar di sekolah dan bahasa ilmiah di Institut Pengajian Tinggi Awam berjaya melahirkan generasi baru yang fasih Bahasa Malaysia. Dengan penguasaan bahasa yang baik, timbul keinginan dalam sanubari mereka untuk menzahirkan segala perasaan dan pengalaman melalui wadah kreatif. Kenyataan ini diperkukuh oleh pandangan Ismail Hussein (1982: 4) bahawa peningkatan mutu literasi dalam Bahasa Malaysia memungkinkan kemunculan pengarang Bukan Melayu di tengah-tengah arena Kesusasteraan Malaysia.

.

Antara sasterawan kaum India yang berkarya pada dekad 60-an dan 70-an ialah G. Soosai, Joseph Selvam dan N. S. Maniam. Pada awal dekad 80-an wujud vakum atau kekosongan kerana pada dekad ini fokus diberikan kepada penterjemahan karya dari bahasa Tamil ke bahasa Melayu dan sebaliknya oleh S. Kamalanathan, N. Govindan, A. Nagappan, P. Palaniappan dan T.M Annamary. Walau bagaimanapun vakum ini hanya bersifat sementara dan kegiatan persuratan dalam kalangan sasterawan kaum India menjadi semakin rancak dengan kehadiran barisan sasterawan seperti Kamalah Suppiah, Suresh Kumar A/L S.V Vijaya Thevan, Rajendran A/L Rengasamy, Devaraj P. Thangaraju, Omana Nair, Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB, M.Mahendran dan Sri Valli A/P Seeridaram.

.

Dalam kalangan sasterawan kaum India yang berkarya pada penghujung dekad 80-an dan awal dekad 90-an, Saroja Theavy Balakrishnan serta Uthaya Sankar SB merupakan sasterawan yang paling prolifik. Mohamad Saleh Rahamad berpendapat bahawa dalam kalangan penulis India, Uthaya Sankar SB dan Saroja Theavy Balakrishnan merupakan aset utama masa kini kerana kecenderungan mereka menerokai subjek cerita yang pelbagai dan mengaplikasikan teknik penukangan cerita yang lebih segar. Menurut beliau lagi, usaha mereka menempatkan diri sebagai penulis yang bervisi dan menampilkan idiosinkrasi begitu ketara. (Dewan Sastera, Januari 2003: 15).

.

Menjelang alaf baru, kehadiran sasterawan kaum India seperti Sritharanee Subramaniam, Vijayaletchumy Vellasamy, Ramakrishnan, Bathmawathi Krishnan, Ganesan Duraisamy, S.G. Prabhawathy, Retna Devi Balan, M. Balachandran dan Raja Rajeswari Seetha Raman telah mewarna dan memperkaya khazanah sastera negara melalui tema yang bervariasi dan berkualiti.

.

Meskipun bilangan sasterawan kaum India yang berkarya dalam bahasa kebangsaan meningkat, tetapi jika dikategorikan sumbangan mereka mengikut genre, wujud ketidakseragaman dari segi genre. Genre novel kurang diceburi oleh mereka berbanding dengan genre lain. Ini diperkukuh oleh kenyataan Saleeh Rahamad:

.

“Uthaya Sankar SB masih memegang rekod penulis novel Melayu pertama dalam kalangan penulis kaum India. Beliau telah menghasilkan novel remaja Hanuman: Potret Diri yang bercorak parodi serta novel Panchayat.” (Dewan Sastera, Januari 2003 : 13).

.

Jejak langkah Uthaya Sankar SB kini diikuti oleh sasterawan M. Balachandran. Alpa, merupakan novel sulung beliau yang diterbitkan pada tahun 2006. Memandangkan hanya ada dua orang novelis dalam kalangan sasterawan kaum India, maka novel Panchayat (2002) karya Uthaya Sankar SB dan Alpa (2006) karya M. Balachandran dianalisis dari sudut intertekstualiti untuk mengenalpasti unsur-unsur perpaduan yang tercermin dalam karya.

.

Takrif Perpaduan

.

Perpaduan atau uniti ditakrifkan sebagai penggabungan, perihal berpadu, bergabung menjadi satu atau sepakat (Kamus Dewan, 1996: 955). Manakala identiti pula bermaksud sifat-sifat atau ciri-ciri yang terdapat pada seseorang yang memperkenalkan atau mengasingkannya daripada orang lain (Kamus Dewan,1996: 476). Realiti pula membawa maksud keadaan yang nyata, hakikat atau kenyataan (Kamus Dewan, 1996: 1112). Teori intertekstualiti dimanfaatkan kerana teori intertekstualiti tidak memisahkan karya daripada unsur-unsur ekstrinsik atau luaran.

.

Pengaruh Intertekstualiti dalam Karya

.

Menurut Julia Kristeva, pengasas teori intertekstualiti, kreativiti seseorang individu ditentukan oleh unsur-unsur luaran (super structure) dan unsur-unsur dalaman (deep structure) yang mendominasi pemikiran mereka. Menurut beliau lagi, dalam struktur atasan minda terkumpul segala unsur luaran manakala unsur-unsur dalaman menghuni struktur bawahan minda. Unsur-unsur luaran atau super structure merangkumi pengalaman pengarang, budaya, agama, kepercayaan, tradisi, aspek sosial, sejarah, moral, pendidikan, falsafah, sikap, ideologi atau apa-apa yang memberi sumbangan kepada pembinaan sesebuah karya sastera. Manakala unsur-unsur dalaman atau deep structure merujuk kepada estetika, imaginasi dan ilusi pengarang itu sendiri. (Tesis Sarjana, 2005: 66)

.

Gabungan kedua-dua unsur iaitu unsur luaran dan dalaman akan mempengaruhi kreativiti pengarang semasa proses penciptaan karya. Faktor-faktor luaran ini mempengaruhi pemikiran pengarang dalam aspek pemilihan tema, latar tempat serta penampilan watak dalam karya yang ditangani oleh pengarang. Malah karya adalah cerminan diri pengarang dari sudut intertekstualiti kerana menurut teori intertekstualiti, apa-apa yang berada dalam minda pengarang mengalir ke dalam karyanya semasa proses penciptaan kerana unsur-unsur luaran tidak boleh dipisahkan semasa proses penciptaan karya. Malah segala unsur ini meresap ke dalam teks yang dihasilkan oleh pengarang dan boleh dikesan dalam karya pengarang terbabit.

.

Justeru, dalam kertas kerja ini akan disorot sejauh mana latar diri, identiti budaya, agama, kepercayaan, tradisi, aspek sosial, sejarah, moral, pendidikan, sikap, falsafah , aspirasi serta ideologi pengarang yang mendominasi pemikiran mempengaruhi kreativiti mereka.

.

Sinopsis Novel Panchayat

.

Panchayat, karya Uthaya Sankar SB merupakan ekspansi atau peluasan daripada cerpen berjudul “Pancayat” (Siru Kambam, 1996: 112-126 ). Panchayat yang mengambil latar masa 1960-an menampilkan misteri kehilangan berhala emas Kaali Devi dari Kuil Maha Kaali di Kubur Gajah, Perak serta beberapa kes kematian yang berlaku di kampung tersebut. Panchayat diadili oleh Senthamarei selaku ketua panchayat dan ketua kampung. Kisah dalam novel ini diakhiri dengan teknik “open-ending atau teknik tergantung untuk memberi ruang dan peluang kepada pembaca untuk berfikir akan kesudahan kisahnya.

.

Sinopsis Novel Alpa

.

Alpa, karya M. Balachandran mengisahkan nasib malang masyarakat India di sebuah estet di Kedah. Mereka bukan sahaja dinafikan hak untuk menerima pendidikan, malah juga hak untuk memiliki tempat kediaman oleh segelintir individu demi kepentingan sendiri. Semua masalah yang mencengkam kehidupan golongan minoriti di estet dipaparkan oleh penulis untuk renungan dan tindakan oleh pihak berkuasa. Kisah dalam novel ini sengaja diakhiri tanpa sebarang penyelesaian kerana sehingga kini tiada penyelesaian atau kesudahan dalam penderitaan mereka.

.

Perpaduan merupakan tema yang bersifat universal yang sering digarap oleh sasterawan dalam karya. Tanpa perpaduan sesama insan, kehidupan menjadi tidak bermakna dan tidak sempurna. Dunia akan menjadi tempat yang tidak selesa dan harmoni untuk dihuni. Justeru, tema perpaduan sering mendapat perhatian sasterawan dan sasterawan kaum India juga tidak terkecuali dalam hal ini kerana mereka turut memberi keutamaan kepada aspek perpaduan dalam karya.

.

Unsur Perpaduan dalam novel Panchayat

.

Dalam novel Panchayat, Uthaya Sankar SB memaparkan perpaduan dalam kalangan penduduk Kubur Gajah. Perpaduan terjalin antara penghuni kampung ini yang terdiri daripada pelbagai kaum. Mereka hidup dalam keadaan harmoni dan saling membantu antara satu sama lain.

.

Perpaduan Antara Kaum

.

Perpaduan yang terjalin antara kelima-lima rakan karib iaitu James Arivalahan, Kim Seng, Rengasamy, Sitambaram dan Mahmood diketahui oleh penduduk kampung Kubur Gajah. Justeru, apabila Ramani disyaki mencuri berhala emas Kaali Devi dari Kuil Maha Kaali, maka kelima-lima rakan karib ini diamanahkan untuk menggeledah rumah Ramani oleh ketua panchayat iaitu Senthamarei. Buktinya dapat dilihat dalam contoh di bawah ini :

.

“Tapi tidak perlulah kita semua menggeledah rumah itu.Rengasamy, Sitambaram, Mahmood, Kim Seng dan James Arivalahan boleh lakukan tugas itu.” (Panchayat, 2002: 36)

.

“James Arivalahan, Kim Seng dan Mahmood adalah rakan-rakan akrab. Sitambaram” (Panchayat, 2002: 71)

.

Hidup Bersatu-Padu dan Saling Membantu

.

Di samping, mengamalkan semangat perpaduan, penduduk kampung Kubur Gajah juga saling membantu antara satu sama lain. Dalam novel Panchayat, keluarga Janaki digambarkan gemar menghulurkan bantuan kewangan dan perkhidmatan kepada penduduk kampung Kubur Gajah tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Buktinya dapat dilihat dalam contoh petikan yang dipetik daripada novel Panchayat:

.

“Kami melakukuan semua ini demi Tuhan,” bangat menjawab Puan Janaki jika ada orang yang ada menghulurkan wang sebagai bayaran bagi perkhidmatan yang keluarganya berikan. “Mana tahu kalau di masa akan datang, kami pula yang perlukan bantuan. Masa itu keluarga Nyonya Loong, Mak Cik Bedah, Father Francis, Sujatha Paati dan para penduduk Kubur Gajah bolehlah membantu kami pula.” (Panchayat, 2002: 5)

.

“Puan Janaki menganggap seluruh penduduk Kubur Gajah sebagai ahli keluarganya. Bagi beliau, batas kaum dan agama tidak wujud. Kaum dan agama memang wujud, tapi tidak harus wujud batas di antaranya.” (Panchayat, 2002 : 27)

.

“Puan Janaki sedia membantu semua orang setakat yang termampu tanpa mengira warna kulit.” (Panchayat, 2002: 27)

.

“Kami melakukan semua ini dengan menganggap anda semua sebagai ahli keluarga kami,” kata mendiang Puan Janaki jika ada orang menghulurkan bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan. “Tolonglah jangan putuskan persaudaraan murni ini dengan memberikan kami wang sebagai bayaran.” (Panchayat, 2002: 28)

.

Daripada contoh petikan yang dipetik dari novel Panchayat jelas terbukti akan perpaduan erat yang terjalin antara penduduk kampung Kubur Gajah yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Keluarga mendiang Puan Janaki digambarkan sering menghulurkan bantuan kewangan dan perkhidmatan kepada penduduk kampung Kubur Gajah. Selain menghulurkan bantuan kewangan dan perkhidmatan, penduduk kampung Kubur Gajah juga digambarkan bekerjasama dalam membaik pulih rumah ibadat di kampung mereka.

.

Perpaduan dalam Membaik Pulih Rumah Ibadat

.

Bantuan yang dihulurkan oleh penduduk kampung dalam membaik pulih rumah ibadat dapat ditemukan dalam contoh petikan berikut:

.

“Apabila Kuil Maha Kaali dibaik pulih dahulu, keluarga Puan Janakilah yang banyak membantu. Walaupun mereka tidak mampu menghulurkan wang, mereka menghulurkan tenaga. Malah begitu juga semasa gereja di Lubuk Buntan menganjurkan kutipan derma bagi membiaya kos membaik pulih bangunan yang runtuh. Atau semasa jawatankuasa surau di Selama mengutip derma kilat bagi mangsa-mangsa banjir. (Panchayat, 2002: 28)

.

Daripada contoh tersebut terbukti bahawa penduduk kampung Kubur Gajah memiliki semangat perpaduan yang jitu. Semangat kolektif yang dimiliki oleh mereka wajar diteladani.

.

Perpaduan Antara Belia dalam Hal-Hal Kebajikan

.

Selain, perpaduan antara penduduk kampung, perpaduan antara kaum belia juga diketengahkan oleh Uthaya Sankar SB melalui novel Panchayat seperti yang tertera dalam contoh di bawah ini:

.

“Abang Raja, Ramani, Roslan, Jomel, Neo Peng Soon, Kavitha, Viveka, Barathi, Daniel serta Revathi dan saya sendiri adalah antara belia yang paling kerap terlibat dalam hal-hal kebajikan seumpama itu.” (Panchayat, 2002: 28)

.

Perpaduan yang wujud dalam kalangan belia yang berlainan kaum dan agama di kampung Kubur Gajah dalam novel Panchayat menggambarkan aspirasi Uthaya Sankar SB. Ideologi beliau bahawa persaudaraan wujud tanpa mengenal batas kaum dan agama tercermin dalam novel Panchayat melalui tindakan watak daripada pelbagai kaum.

.

Bersepakat dalam Menziarahi Rakan

.

Perpaduan antara kaum bukan sahaja terjalin ketika waktu kesenangan tetapi juga pada waktu kesengsaraan dan penderitaan. Ketika Ramani pengsan, penduduk kampung Kubur Gajah berkumpul di sekelilingnya untuk membantunya seperti yang tertera di bawah ini:

.

“Dia memandang keliling, ke arah para penduduk yang mengerumuni tanpa suara. Nyonya Loong, Mak Cik Bedah, Father Francis, Bibi Jaswan, Sujatha Paati dan Haji Ramli berdiri kaku tanpa suara. Sai Meng, Gopu, Kumaran, Rengasamy serta Balbik Singh yang berdiri di sebelah kiri pula kelihatan saling berpandangan, masih tanpa suara. Demikian juga Roslan, Jomel, Sivagami, Choong Wai Kit, Kavitha, Viveka, Barathi, Daniel, serta Vaxala, Jagdish, Awang Din dan Bukhari. Mereka semua berkumpul beramai-ramai mengelilingi pemuda berkulit sawo matang yang baru sedar daripada pengsan.” (Panchayat, 2002: 124)

.

Keakraban yang terjalin antara penduduk kampung Kubur Gajah menyebabkan mereka bersepakat dalam menghulurkan bantuan ketika waktu kesusahan seperti yang tergambar dalam contoh petikan di atas.

.

Bersepakat dalam Mengucapkan Takziah

.

Selain berkongsi kesedihan dengan keluarga Ramani, mereka turut mengunjungi rumah Kim Seng untuk merakamkan ucapan takziah secara kolektif. Apabila Kim Seng meninggal dunia akibat terkena tembakan, penduduk kampung menziarahi keluarga mendiang Kim Seng untuk mengucapkan takziah kepada mereka. Di samping itu mereka bersepakat untuk tidak berbincang tentang misteri kematian Kim Seng kerana tidak mahu menambah penderitaan keluarga Kim Seng sebagaimana yang tergambar dalam contoh petikan di bawah ini:

.

“Apa yang boleh kita lakukan adalah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Kim Seng. Kita harus membantu keluarga mendiang. Kita jangan pula menambah derita keluarga mendiang dengan membuat pelbagai andaian berhubung punca kematiannya,” tambah ketua pancayat”. (Panchayat, 2002: 56-57)

.

Berkunjung ke rumah Malliga untuk Berkongsi Kesedihan

.

Sebaik sahaja Mak Cik Bedah mengetahui bahawa suami Malliga telah meninggal dunia, dia dan anaknya Roslan berkunjung ke rumah Malliga untuk berkongsi kesedihan dengan ibu Malliga iaitu Manggalam seperti yang tertera di bawah ini :

.

“Dia datang tadi hendak bertanya khabar.Dia mahu berbual dengan Manggalam, emak Malliga tentang keadaan hidup. Roslan anak Mak Cik Bedah pun mahu datang bersama. Ia pun mahu tahu keadaan Malliga yang tiba-tiba menjadi balu.” (Panchayat, 2002: 72)

.

Daripada contoh yang dipetik daripada novel Panchayat, karya Uthaya Sankar SB terbukti bahawa perpaduan dititikberatkan oleh pengarang. Perpaduan terjalin bukan sahaja sesama kaum tetapi juga antara kaum. Penduduk kampung Kubur Gajah bersepakat bukan sahaja dalam menghulurkan bantuan kewangan dan perkhidmatan malah juga bersatu padu ketika kampung mereka dilanda musibah.

.

Unsur Perpaduan dalam Novel Alpa

.

Jika dalam novel Panchayat, perpaduan antara kaum lebih ketara maka dalam novel Alpa perpaduan dalam kalangan kaum India dititikberatkan oleh pengarang kerana latar cerita yang berfokus di estet menyorot hambatan yang dilalui oleh warga estet. Namun pengarang tidak alpa untuk memaparkan perpaduan yang sedia terjalin antara orang Melayu dan orang India melalui watak ciptaannya Pak Cik Mat dan Karupiah.

.

Persahabatan antara Pak Cik Mat dan Karupiah

.

Persahabatan yang akrab antara Karupiah dan Pak Cik Mat menyebabkan kedua-dua mereka sering mengusik antara satu sama lain. Buktinya boleh ditemukan dalam contoh berikut:

.

“Baliklah cepat. Nanti lambat, isteri engkau datang pula mencari engkau sampai ke sini,” Karupiah kembali mengusik Pak Cik Mat.” (Alpa, 2006 :9)

.

“Engkau ini asyik cakap itu saja, buat apa ? Sudahlah Karupiah, buat kerja betul-betul. Jangan tidur, nanti yang penting, tolong sama itu cikgu.” (Alpa, 2006 : 9)

.

Bersepakat dalam Menghulurkan Bantuan

.

Pak Cik Mat dan Karupiah bersepakat dalam menghulurkan bantuan kepada Siva, guru sekolah yang diamanahkan untuk mengajar di sebuah sekolah Tamil di negeri Kedah . Memandangkan tiada kenderaan lain untuk ke estet selepas pukul 6 petang maka Pak Cik Mat telah memperkenalkan Siva kepada rakannya Karupiah dan memintanya membantu Siva. Buktinya seperti yang tertera di bawah ini :

.

“Macam ini Karupaiah,anak ini datang dari Kuala Lumpur.Dia mahu pergi ke estet Selama. Dia jadi cikgu di sekolah itu. Fahamkah ?”

.

“Jadi saya tak ada jalam macam mana mahu tolong dia.Sebab itu saya tunggu awak.” Pak Cik Mat menerangkan kedudukan sebenar saya kepada Karupiah.” ( Alpa, 2006 : 8)

.

“Pak Cik Mat kembali memerhatikan saya yang seperti tidak sabar melihat kerenah mereka berdua.Pak Cik Mat senyum dan berkata, “Ini Karupiah, baik orangnya, anak jangan takut. Dia boleh tolong anak pergi ke sana. Pak Cik pergi dulu,ya. Ini pun dah lambat.” Pak Cik Mat tergesa-gesa mengambil begnya yang tergantung di dinding. “ (Alpa, 2006 : 8-9)

.

Bersepakat dalam Menyelamatkan Sekolah Tamil

.

Dalam novel Alpa, watak utamanya Siva seorang guru bersepakat dengan Ravi , Krishna serta beberapa orang dari estet untuk menyelamatkan sekolah Tamil yang bakal dirobohkan oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab. Buktinya dapat ditemukan dalam contoh petikan yang dipetik dari novel Alpa.

.

“Dalam pada itu timbul pula satu masalah baru kepada sekolah Tamil tempat saya berkhidmat itu. Estet itu akan diserahkan kepada pemaju dan sekolah Tamil itu juga akan dirobohkan tanpa digantikan dengan sekolah yang baru. Dalam hal ini, kementerian juga tidak dapat melakukan apa-apa kerana sekolah itu terletak di atas tanah persendirian dan bukannya hak milik kerajaan. Sekolah Tamil berstatus sekolah bantuan itu hanya dapat diselamatkan sekiranya pihak pengurus estet melakukan ikhtiar untuk menyediakan tapak tanah di kawasan itu bagi membolehkan sebuah sekolah baru didirikan. Biar apa pun, saya tidak mahu sekolah Tamil yang berusia 50 tahun itu ditamatkan sejarahnya begitu sahaja.” (Alpa, 2006 :67)

.

Selain bersepakat dalam menyelamatkan sekolah Tamil, warga estet juga bersatu padu dalam menegakkan keadilan.

.

Bersepakat dalam Menegakkan Keadilan

.

Dalam novel Alpa, Ravi yang berjuang untuk menegakkan keadilan tidak disenangi oleh segelintir individu yang ingin mengaut keuntungan demi kepentingan sendiri. Justeru, Ravi dituduh mencuri getah buku dari stor estet dan dipenjarakan. Warga estet yang mengetahui akan muslihat ini bersepakat dalam menegakkan keadilan dengan mengumpul bukti untuk membebaskan Ravi dari penjara kerana mereka ingin Ravi menerajui jawatan Pengerusi Kesatuan Sekerja agar dapat membela nasib golongan yang tertindas.Buktinya dapat ditemukan dalam contoh berikut :

.

“Saya yang mengenali Ravi sejak enam bulan yang lalu mempercayai kejujurannya dan tidak menyimpan niat buruk. Kesanggupan saya untuk membantu mengeluarkan Ravi dari penjara menyebabkan Maniam dan dua orang yang mendalanginya menaruh prasangka terhadap saya. Mereka mahu mematahkan usaha saya bagi membantu Ravi serta membela nasib penduduk estet itu.” (Alpa, 2006 : 66-67)

.

Ravi mempunyai komitmen kepada masyarakatnya. Dia antara anak muda yang mula memberontak hasil kepincangan yang mereka lihat dalam masyarakat . Mereka cuba mencipta satu era baru dalam perjuangan yang selama ini jauh terpesong dan bersandarkan kepada kepentingan individu. Kalau kita melakukan perubahan, saya fikir kita tidak seharusnya melarang anak muda seperti Ravi daripada berjuang untuk bangsa kita.”(Alpa, 2006 : 79)

.

Bersepakat dengan Warga Estet untuk Membebaskan Ravi

.

Warga estet sanggup bekerjasama dengan Inspektor untuk mengumpul bukti agar Ravi dapat dibebaskan dari penjara dan dia boleh berkhidmat untuk masyarakat. Buktinya tertera dalam contoh petikan berikut:

.

“Seorang inspektor dari cawangan CID turut hadir bersama-sama saya dan Ravi. Dia yang ditugaskan untuk mengintip komplot yang diatur oleh kerani, bos dan Maniam di bar telah mengemukakan bukti suara yang dirakamkan sebagai barang kes yang sahih.Barang kes itu akhirnya memerangkap kerani dan Maniam serta mereka yang terbukti terlibat dalam kes yang cuba mencemarkan nama Ravi di khalayak umum itu. Dengan itu mahkamah mengisytiharkan pemilihan Maniam sebagai Pengerusi Kesatuan Sekerja estet itu tidak sah dan tempat itu harus digantikan dengan Ravi.” ( Alpa, 2006 : 98)

.

Bersepakat dengan Warga Estet untuk Mengeluarkan Maniam dari Penjara

.

Meskipun Maniam telah bersubahat dengan kerani dan bos dalam penangkapan Ravi ,namun warga estet telah memaafkan kesalahannya atas dasar kemanusiaan apabila isteri Maniam menangis dan meminta pertolongan daripada mereka untuk membebaskan suaminya. Warga estet bersepakat dalam mengutip derma dan membayar denda sejumlah RM 10 ribu yang dtetapkan oleh mahkamah. Buktinya boleh ditemukan dalam contoh petikan di bawah ini.

.

“Hati saya akhirnya tergerak juga untuk berusaha mengeluarkan Maniam dari penjara. Hal ini kerana isteri Maniam datang menemui saya di sekolah dan menangis mengenangkan nasib suaminya yang mempunyai hubungan dengan orang-orang besar , tetapi menjadi sia-sia kerana mereka tidak rela membebaskannya. Memandangkan nasib keluarga itu, saya meminta pandangan Ravi dan Krishna serta barisan angkatan muda yang kini lebih aktif untuk bertindak membebaskan diri daripada penganiayaan ke atas mereka dan masyarakat estet itu.”(Alpa, 2006 : 99)

.

“Saya dan juga semua orang di sini memang meragui keperibadian Maniam yang telah sekian lama berpura-pura membantu kita. Tetapi apa yang saya dan cikgu fikirkan adalah berbeza. Kini dia seharusnya sedar bahawa orang seperti kita, kaum pekerja di estet inilah yang dapat menolong dirinya . Harapan kita untuk meraih simpati daripada pihak lain yang tidak memahami kekosongan jiwa kita, tidak akan tercapai. Mereka sentiasa berusaha mengeksploit kita bagi mengaut hak kita sendiri.” (Alpa, 2006 : 101-102)

.

“Tidak ada apa-apa masalah untuk membebaskan Maniam.Cuma kita perlukan RM 10,000 ribu untuk membayar denda yang dikenakan ke atas Maniam bagi mengelakkkan hukuman penjara yang diberikan oleh mahkamah,” saya diam sebentar bagi mendapatkan pandangan angkatan itu.” ( Alpa, 2006 : 103)

.

“Saya fikir, biarlah kita membuat kutipan wang itu daripada orang-orang kita. Di estet ada lebih kurang 100 keluarga. Saya mahu kamu semua buat satu mesyuarat dengan mereka untuk mengutip RM 100 daripada setiap keluarga.” ( Alpa, 2006 : 103)

.

Menelusuri novel Panchayat dan Alpa karya sasterawan kaum India Malaysia jelas terbukti bahawa unsur perpaduan dititikberatkan oleh kedua-dua pengarang. Perpaduan bukan sahaja terjalin sesama bangsa malah merentas sempadan bangsa dan agama. Dalam novel Panchayat, perpaduan antara penduduk kampung Kubur Gajah ketara melalui bantuan serta perkhidmatan yang dihulurkan secara ikhlas tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Penduduk kampung bukan sahaja bersepakat dalam hal-hal kebajikan dan bersatu padu dalam menyelesaikan masalah malah memiliki perasaan kekitaan dalam diri mereka.

.

Manakala dalam novel Alpa perpaduan bukan sahaja terjalin sesama kaum malah juga antara orang India dan orang Melayu yang diwakili oleh Pak Cik Mat dan Karupiah. Melalui tindakan Pak Cik Mat mengarahkan Karupiah untuk membantu Siva jelas terbukti akan persahabatan mereka yang akrab. Warga estet berjaya menegakkan keadilan, menyelamatkan sekolah Tamil, menyelamatkan Ravi membebaskan Maniam dari penjara dan berjaya mengatasi semua cabaran dan rintangan kerana mereka bersepakat dalam tindakan. Tanpa perpaduan mustahil untuk menyelesaikan sebarang masalah secara aman.

.

Semangat perpaduan yang ditonjolkan oleh sasterawan kaum India dalam karya mencerminkan aspirasi serta ideologi mereka. Karya adalah cerminan diri pengarang kerana melalui karya kreatif terpancar sikap, perasaan, pandangan dan fikiran seseorang pengarang.. Menurut Mikhail Bakhtin, pengasas teori dialogisme unsur-unsur ekstrinsik seperti latar hidup pengarang, pengalamannya, pembacaan, pemerhatian ideologi yang dianuti, sejarah, moral, budaya, serta adat dan kepercayaan tetap berdialog dengan unsur-unsur dalam diri pengarang seperti imaginasi, ilusi serta estetikanya semasa proses penciptaan. Interaksi atau dialog antara kedua-dua elemen ini berlaku tanpa disedari oleh pengarang itu sendiri tetapi boleh ditemukan dalam karya pengarang melalui kajian.

.

Melalui penerapan teori intertekstualiti terbukti bahawa Uthaya Sankar SB telah memanfaatkan salah satu prinsip dalam teori intertekstualiti iaitu ekspansi atau peluasan untuk menghasilkan novel Panchayat. Ekspansi atau peluasan bermaksud pengembangan terhadap sesuatu teks. Dalam konteks novel Panchayat, kisahnya diambil daripada cerpen berjudul “Pancayat” (Siru Kambam, 1997: 112-126).

.

Teori intertekstualiti juga menegaskan bahawa karya sastera tidak terkecuali daripada pengaruh unsur-unsur ekstrinsik yang bergabung dengan unsur-unsur dalaman semasa proses kreativiti. Menelusuri novel sasterawan kaum India terbukti akan kebenaran kenyataan ini.

.

Idelogi Uthaya Sankar SB bahawa adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menampilkan kebudayaan kaum India untuk tatapan dan pemahaman para pembaca yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia terpancar dalam novel ini. (Prakata Panchayat 2002 : vii )

.

Pemilihan latar tempat dalam novel serta watak juga ada kaitan dengan latar diri pengarang. Uthaya Sankar SB lahir dan menerima pendidikan di Taiping, Perak justeru negeri Perak mendapat keutamaan dalam novel Panchayat. Manakala M. Balachandran seorang pendidik lahir di Selangor dan menerima pendidikan di Kuala Lumpur. Justeru, watak ciptaan beliau Siva juga berasal dari Kuala Lumpur serta bertugas sebagai guru.

.

Selain pengaruh faktor ekstrinsik, amalan serta kepercayaan seseorang sasterawan juga terpancar melalui karya kreatif. Dalam konteks novel Panchayat dan Alpa, pemilihan dan penggunaan diksi dalam bahasa Tamil tidak dapat dielakkan kerana. kedua-dua sasterawan ini berbangsa India serta beragama Hindu justeru diksi dalam bahasa Tamil seperti “amma”, “akka”, “mama”,”anna”, “mundani” (sekadar beberapa contoh) dalam novel Panchayat serta penggunaan perkataan “ane” dalam novel Alpa adalah sesuatu yang lazim. Malah perbezaan ini yang mencerminkan identiti mereka dan membezakan mereka daripada pengarang lain.

.

Kesimpulan

.

Konklusinya, sasterawan kaum India telah memanfaatkan karya kreatif sebagai wahana untuk menyalurkan aspirasi serta ideologi mereka. Aspirasi mereka agar perpaduan yang sedia terjalin antara masyarakat Malaysia berkekalan untuk selama-lamanya berjaya diselongkar melalui penerapan teori intertekstualiti kerana teori intertekstualiti berkeupayaan membuka rahsia penulisan karya sastera yang selama ini dirahsiakan oleh pengarang itu sendiri. (Mana Sikana , 2005: 95 .)

.

Semangat perpaduan yang dipaparkan oleh sasterawan kaum India dalam karya khususnya novel menjadikan sastera kebangsaan kita lebih mewah serta berwajah Malaysia.

..

(Kertas Kerja “Perpaduan dalam Novel Alpa dan Panchayat: Antara Identiti dan Realiti dari Perspektif Intertekstualiti” ditulis oleh Raja Rajeswari Seetha Raman dan dibentang di Universiti Malaysia Perlis pada 25 Oktober 2007 sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2007 anjuran bersama Universiti Malaysia Perlis & Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!