Selain Joseph Selvam yang agak banyak menghasilkan puisi dalam dekad 1970-an dan aktif bersama Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA), amat sedikit atau hampir tiada pengarang/penyair dari kalangan kaum India yang benar-benar komited dalam arus perdana perkembangan cerpen Bahasa Malaysia.
Hanya pada hampir dua dekad terakhir pada abad yang lampau, baru tampil hadir beberapa nama cerpenis keturunan atau etnik kaum India dalam senanio pencerpenan di negara ini. Antara mereka itu, dan rata-ratanya pula hadir daripada dorongan luar melalui sayembara Hadiah Cerpen Maybank-DBP (kategori Bukan Melayu) yang bermula pada 6 November 1987 dan berakhir pada 1996.
Mereka ialah Kamalah a/p Suppiah, V. Sureh Kumar a/l S.V. Vijayathevan, Saroja Theavy a/p Balaknishnan, Rajendran a/l Rengasamy, M. Mahendran (Mahendran a/l Mathavarayan), Uthaya Sankar SB, Srivali a/p Seeridaram, Thilagavathi a/p Arumugam.
Hampir satu dekad sayembara ini berlangsung terdapat sebanyak 57 orang pengarang kaum India yang ikut serta. Begitu pun, dari jumlah tersebut cuma terdapat dua nama cerpenis yang dapat bertahan mencipta ke akhir abad 20 dan lolos memasuki alaf baru, menulis secara konsisten, yakin diri dan ikut memberi nama dan jalur dalam senario pencerpenan tanah air. Dua orang cerpenis kaum India itu ialah Saroja Theavy a/p Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB.
Saroja Theavy a/p Balakrishnan yang mula menulis cerpen sejak tahun 1988, telah menghasilkan sejumlah 34 buah cerpen (15 cerpennya terhimpun dalam Gemerlapan (DBP: 1997) dan selebihnya tersiar dalam pelbagai media cetak seperti Dewan Sastera, Berita Harian, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Kosmik dan Menara 7.
Pernah memenangi Hadiah Utama dan Hadiah Penghargaan dalam sayembara Hadiah Cerpen Maybank-DBP, Hadiah Utama dan Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dan yang terpenting cerpennya “Kilau Kemilau Kandil Hijau” memenangi Hadiah Pertama (bersama dengan dua cerpenis lain iaitu Hizairi Othman dan Ani Mawar Abdullah) dalam Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia 1999/2000.
Pendidik yang berkelulusan Sarjana Sastera dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, berasal dari Alor Setar, Kedah dan kini bertugas di Sekolah Menengah Alam Megah, Shah Alam, Selangor.
Uthaya Sankar SB telah menghasilkan sejumlah 68 buah cerpen sejak mula menulis dan pernah mengikuti projek Minggu Penulis Remaja (MPR) pada tahun 1991. Bahagian besar karyanya terhimpun dalam Orang Dimensi (DBP: 1994) terdapat 16 cerpen remaja, Siru Kamban (DBP: 1996)16 cerpen, Yang Aneh-aneh (Sasbadi: 1997) 5 cerpen, Surat dan Madras (DBP: 1999 dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99 dalam Kategori Kumpulan Cerpen Remaja) 16 cerpen dan Sasterawan Pulau Cinta (2001) 10 cerpen.
Cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB kerap mengisi wadah Dakwah, Karya, Pelita Bahasa, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Mingguan Malaysia. Pernah memenangi Hadiah Utama dan Hadiah Penghargaan dalam peraduan Cerpen Maybank-DBP, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Berkelulusan dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan sempat meneruskan pengajian Sarjana di UKM, anak kelahiran Aulong Lama, Taiping, Perak ini kini bertugas sebagai penyunting berita tivi di RTM dan pensyarah di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM).
Saroja Theavy a/p Balakrishnan
Meneliti karya-karya cerpen Saroja Theavy dalam kumpulan Gemerlapan dan 18 cerpen ecerannya dalam pelbagai media cetak, terdapat beberapa kesan yang menarik dan menjadi semacam kecenderungan @ jati diri kepada pengarang ini.
Pertama, kecenderungan mengemukakan watak-watak kaum India yang inginkan survival bersama-sama dengan watak-watak warga Malaysia lain daripada etnik Melayu dan Cina sebagai suatu pengucapan realiti warga multi etnik yang boleh hidup bersama dengan aman, harmonis dan saling mengerti.
Justeru itu, watak Vadivoo sanggup bertindak jujur demi menjaga keharmonian hubungan dengan jiran yang amat dikenalinya (Mak Kiah) walaupun tindakannya itu menjejaskan keselamatan anaknya, Ramachandran yang membunuh Jakpat, anak jirannya, Mak Kiah.
Saroja Theavy, melalui cerpennya “Putih Mata Putih Tulang” berusaha menegakkan kebenaran dan keadilan walaupun harga yang dibayarnya amat tinggi. Hal ini dilaksanakan bagi menghakis rasa bersalah dan tidak memikirkan kepentingan diri yang terlalu peribadi serta boleh menghantui kehidupan.
Gambaran tentang perpaduan, perjuangan hidup yang dikaitkan dengan sosio-politik, terserlah pada cerpen “Kandasami”; seorang porter di stesen kereta api yang amat mencintai tanah air tempat ia membesar dan mencari rezeki. Adiknya dari Benua Kecil India menghantar surat tentang hidup terjamin bahagia dan aman serta meramalkan Tanah Melayu yang terdiri daripada warga multi etnik itu tidak akan hidup aman damai justeru warga berbilang budaya, ras, kepercayaan dan status ekonomi yang berbeza akan mencetuskan huru-hara begitu Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan.
Cabaran inilah yang dihadapi Kandasami. Dia teringat kembali kepada Tuk Haji Meriam yang banyak membantunya. Dia merasakan ada hubungan kejiranan yang utuh dan intim antara mereka walaupun berlainan ras, agama dan budaya. Konflik dalam dirinya yang diimbangi dengan pemikiran rasional, apatah lagi beliau sendiri adalah ahli MIC yang ikut memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, kemudiannya mengambil keputusan tidak menaiki kapal Sri Laksmi untuk pulang ke India. Pengalamannya selama 30 tahun di perantauan sudah cukup mendewasakan diri dan pemikirannya untuk menetap di negeri jantung ini.
Kehidupan warga kota yang sering dilabelkan individualistik dan tercabar dipaparkan oleh Saroja Theavy dengan jelas dan tegas lewat cerpennya “Cengkaman Norma”. Semangat kejiranan dan hubungan etnik yang mulai pupus itu kiranya mercup dan bercambah kembali begitu berlakunya insiden apabila Madam Wong, ibu tiri Mei Ling ingin menjerumuskan gadis itu di lembah pelacuran untuk penakatan hidup keluarga. Di sini, Syila bersama-sama Nasrida berusaha menyelamatkan teman baiknya dengan bantuan pihak polis.
Pelacuran dan perogolan merupakan jenayah terhadap wanita, dan Saroja Theavy memberikan pemberatan pada persoalan ini dalam cerpennya di atas dan cerpen “Anggerik Berkembang di Puncak Hati” serta hubung kaitnya dengan kehidupan, saling bekerjasama, saling bantu-membantu ke arah kehidupan yang lebih praktis dan harmoni. Demikian Norbaini yang dirogol oleh kumpulan lelaki Cina, bukan sekadar mengalami fobia tetapi dendam yang berpanjangan dan ini menjejaskan status dan prestasinya di tempat kerja. Begitu pun kehadiran Chitra dan di lokasi baru dia bertugas, Norbaini bertemu dengan Encik Low yang kemudiannya berupaya meminggirhakiskan prasangka Norbiani dan yakin dengan kehidupan masa depan.
Jelas Saroja Theavy banyak menyumbang kepada pemikiran hidup berbilang kaum dalam kebanyakan cerpen yang dihasilkan. Ini memberikan suatu petanda tentang keyakinan diri pengarang terhadap kehidupan harmonis di kalangan warga negara ini sekiranya tidak mementingkan diri (termasuk ras, agama, budaya) Cuma dalam melangsungkan kehidupan di bawah langit bumi Manusia yang dihuni penduduk berwarna-warni.
Kedua, kecenderungan Saroja Theavy berbicara tentang alam sekitar dan ini menyerlah dalam cerpennya “Lambaian Malar Hijau” yang mempertembungkan dua peribadi iaitu Daneng yang mencintai alam sekitar dengan gurunya, Jo yang berpendapat alam sekitar tidak cukup dipantau dengan rasa cinta melulu dari aspek teori tetapi harus dipraktispantaukan dengan kuasa dan ilmu pengetahuan.
Persoalan tentang alam sekitar, flora dan fauna ini menjadi agak dominan dalam karya-karya cerpen Saroja Theavy seperti terdapat pada “Bukit Sekikih Mengaum”, “Dalam Bayangan Pohon Ara” dan “Kilau Kemilau Kandil Hijau”, ikut memaparkan dua watak protagonis Kandasamy—Dr Adnan yang memiliki cita rasa hampir sama dan saling mencintai alam sekitar. Lebih daripada itu, Dr Adnan sendiri tertarik dengan cara Kandasamy menanam herba tanpa menggunakan racun serangga.
Ketiga, sejak akhir-akhir ini, Saroja Theavy cenderung memaparkan watak-watak bukan insan dalam cerpen-cerpennya. Ini amat ketara seperti yang ditemukan lewat cerpen “Di Sepenjuru Pantai Peru”, “Pengantin Hitam”, “Keinginan Kecil di Celah Daun” dan “Di Celah-celah Cinta Lepidoptera”.
Cerpen “Di Sepenjuru Pantai Peru” memaparkan watak-watak singa laut yang perlukan perlindungan daripada kepupusan terpaksa berhadapan dengan kebuluran akibat daripada bencana El Nino, kemarau yang mengancam kesurvivalan spesis yang langka itu. Sementara cerpennya “Keinginan Kecil di Celah Daun” memperlihatkan keprihatinan pengarang terhadap alam sekitar – flora dan fauna – dengan persepsi yang tajam pada proses peneluran daripada seekor serangga yang melalui kitaran sehingga menetas menjadi seekor rama-rama. Kitaran ini bermula daripada sebiji telur halus berbentuk sfera berhadapan dengan multi ancaman seperti angin, hujan, haiwan lain, insan dan sebarang spesis lain yang mengancam.
Trend mutakhir Saroja Theavy ini dengan cerpen-cerpen berwatak haiwan dapat ditafsirkan kepada pengucapan simbolik tentang protes dan atau keresahan dan kecenderungan jiwa pasangan yang hidupnya senantiasa jadi buruan.
Cerpennya “Pengantin Hitam” jelas memaparkan gagak jantan berhadapan dengan situasi yang tepu kegetiran akibat daripada gagak perawan diintai maut oleh senapang pemburu. Cerpen ini membawa mesej tentang kasih sayang yang berkaitan dengan sikap harus berkorban dan mengapa pula harus dikorbankan. Terserlah betapa keadilan ini harus dijadikan pertaruhan atau semacam mainan Cuma.
Di samping itu, dapat ditelusuri betapa pengarang ini cuba memasuki jagat penulisan cereka sains dengan membicarakan kehidupan serangga dan atau haiwan dalam menentukan kelangsungan hidup secara wajar sebagai makhluk di jagat raya ini.
Persoalan pendatang dar seberang, kehidupan miskin di kalangan pekerja estet, persoalan cinta keluarga, pembuangan anak dan bisnes ditemukan dalam cerpen “Perempuan dari Jawa”, “Kasih Ambujem”, “Sewangi Bunga Tanjung”, “Kala Senja Kala” dan “Membina Piramid”.
Demikian Saroja Theavy pada menyatakan sikap, pendirian, pandangan dan tafsirannya terhadap kehidupan melalui serangkaian cerpennya sebagai suatu kritikan sosial. Dalam banyak hal, pengarang ini syakin diri dengan lontaran ideanya dan terus memantapkan diri dalam ujana pencerpenan.
Meneliti karya-karya cerpen Uthaya Sankar SB, terutamanya melalui kumpulan cerpen Siru Kambam dan Sasterawan Pulau Cinta, menyerlah pula pengucapannya yang agak berlainan dari sisi bentuk naratifnya. Jika di tangan Saroja Theavy tetap akur dan yakin diri dengan pengucapannya yang konvensional, namun tidak demikian halnya dengan Uthaya Sankar SB.
Kumpulan cerpen Siru Kambam jelas menampakkan Uthaya Sankar SB akur dengan bentuk konvensional dalam menghantar pelbagai fenomena kehidupan masyarakat: tidak terkecuali masyarakat etnik India dan reaksinya dengan etnik Melayu-Cina; di samping menyisipkan beberapa eksperimen dalam karya terawalnya.
Cerpen “Orang Pulau” memaparkan perselisihan/pergaduhan antara orang Melayu dan Cina di Pulau Pangkor, berpunca daripada pergaduhan budak-budak yang merebak hingga ke kalangan orang dewasa. Walhal, generasi muda yang diwakili Hussein dan Ah Chee tidak bermusuhan seperti generasi tua hingga sampai berbunuhan dan mencetuskan suasana buruk mengerikan.
“Persaudaraan Banyan” merupakan cerpen terpanjang dalam kumpulan Siru Kambam dan mengemukakan sebuah cerita yang menarik berbaur misteri tentang “Aku” (Ris/Balakrishna) dalam perjalanan ke London untuk belajar dan sempat bertemu dengan Sree dalam bas ekspres lalu mengingatkan kisah-kisah lama bersama “Aku” dan Han/Khandan semasa tinggal di kawasan yang sama.
“Siru Kambatil” dan “Nayagi” pernah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1992. Cerpen terawal menampilkan insan yang tidak mengaku kewujudan Tuhan dan akhirnya menerima pembalasan yang penuh misteri.
Sementara cerpen kedua iaitu “Nayagi” mengemukakan perjuangan gadis India yang berusaha memperjuangkan hak memilih dan kebebasan diri dan upaya menentukan pasangan hidupnya. Madhavi, gadis itu, bukan sahaja harus berhadapan dengan orang tuanya – emak dan nenek – yang memaksanya menerima pak ciknya sebagai suami, tetapi secara tidak langsung, dia berkonflik dengan adat yang wujud dalam sistem masyarakatnya.
Kisah penyiasatan terhadap kehilangan berhala emas Kaali Devi yang melibatkan terancamnya kehidupan pasangan kembar Raja-Ramani terungkap dalam cerpen “Pancayat”. Raja dituduh mencuri oleh empat orang kampung yang berkepentingan. Sejak itulah adiknya, Ramani melakukan penyiasatan. Dan pada akhirnya terbongkarlah rahsia Sitambaram dan konco-konconya yang punya angkara.
Cerpen “Vis-à-vis” memaparkan monolog dalaman seorang insan dan terlaksana di lokasi vakum yang membincangkan tentang pendirian, sikap manusia menghadapi kehidupan ini. Cerpen “Kakak, Tolonglah Saya!” mengangkat cerita “Aku’ cuba menyelamatkan Ameena, gadis India yang diculik dan dipaksa kahwin dengan seorang Arab tua. Cerpen ini mengangkat bahan realiti yang pernah berlaku di India.
Menerusi cerpennya “Bitara Sita” dan “Menyimpang” ("Sengketa Pulau Cinta"), pengarang mengemukakan watak-watak Rama, Sita dan Ravana yang terdapat dalam epik Ramayana lalu diberikan makna dan tafsiran baru dalam konteks kini. Demikian juga cerpen “Krishna: Potret Diri” yang mengangkat kisah Krishna yang menjadi daya tarikan wanita hasil daripada eksploitasi Raja Iblis, lalu hanyut berada dalam kemabukan rasa; akhirnya jiwanya sedar dan insaf lalu ingin menjadi Krishna yang asli murni.
Tiga buah cerpen Uthaya Sankar SB yang menang hadiah sagu hati dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1993/94 adalah “Wanita”, “Doa Tahun Baru” dan “Sebuah Cerita Biasa”. Secara berurutan dan kebetulan pula ketiga-tiga cerpen ini menampilkan ragi kehidupan keluarga India yang menganut agama Hindu.
Cerpen “Wanita” merupakan sindiran humor terhadap kecenderungan wanita kaum India menukar nama sendiri kepada nama suami apabila berkahwin, sebagai satu upaya menonjol gengsi walaupun ia memperlihatkan suatu perjuangan yang terlalu bergantung pada lelaki.
Cerpen “Doa Tahun Baru” adalah kisah keharmonian hidup dalam keluarga Amma-Appa bersama-sama dua anak kembar mereka, Ragu-Rama. Sementara cerpen “Sebuah Cerita Biasa” sesungguhnya merupakan kisah biasa seorang isteri, Yasoda, yang tidak menyenangi mertuanya, Kannama, dan adik iparnya, Karpagam yang tinggal serumah dengannya. Cerita tentang fitnah mencuri ini dikemukakan melalui sudut penceritaan seekor burung nuri.
Tiga buah cerpen yang lain mengemukakan tentang kejayaan penulis dalam jagat penulisan yang diceburinya dan berhasil menerbitkan karyanya dalam tiga bahasa menerusi cerpen “Sang Penulis”.
Cerpen “Impian Syarif” pula membincangkan kisah watak yang berminat dengan persoalan agama Islam. Watak bukan Islam itu memberikan ideanya tentang cara bagaimana yang wajar dilakukan agar orang bukan Islam lebih tertarik pada Islam.
Dan cerpen “Mengubah Teks” merupakan cerpen intertekstual yang menampilkan percubaan pengarang menampilkan watak “Aku” yang berhadapan dengan watak-watak dan teks yang lain seperti watak Sinappapal dalam novel Sinappapal karya Azizi Hj Abdullah, watak Hanuman dalam teks Hanuman: Potret Diri dan beberapa watak yang lain lagi. Pada cerpen ini ada usaha pengarang untuk memanfaatkan interteks melalui karyanya.
Terdapat beberapa aspek yang menarik dalam Siru Kambam.
Pertama, wujudnya kecenderungan pengarang menampilkan latar khusus Siru Kambam iaitu sebuah daerah/kawasan berhampiran Taiping, Perak yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungan mereka dengan masyarakat majmuk.
Kedua, justeru itu, terserlah warna lokal dalam karya-karya cerpen pengarang ini. Dan ini amat signifikan bagi khalayak untuk mengetahui ragi kehidupan masyarakat India di Malaysia.
Ketiga, pengarang menampilkan cerita atau pengolahan ceritanya dalam dua kaedah iaitu; pertama, secara konvensional seperti terungkap dalam cerpen “Wanita”, “Orang Pulau”, “Doa Tahun Baru” dan “Kakak, Tolonglah Saya!” Kedua, terserlah pula beberapa percubaan atau eksperimen pengarang dalam teknik dan kecenderungan ke arah parodi melalui cerpen-cerpen “Sang Penulis”, “Mengubah Teks”, “Menyimpang” dan “Vis-à-vis”.
Keempat, pada kesemua cerpen dalam kumpulan Siru Kambam memperlihatkan keterampilan pengarang muda ini menguasai mekanisme penulisan dengan baik dan ia diperteguhkan pula dengan bahasa dan gaya bahasa yang menarik. Ini merupakan petanda positif pada pengarang muda ini.
Uthaya Sankar SB merupakan cerpenis yang tegas (keras?) dan berani pada menyatakan sikap dan pendirian dalam menghasilkan karya kreatif. Justeru, dia amat menyanjung tinggi kelompok audiens yang bermentaliti tinggi dan menghargai karya bijak berbanding kelompok bermentaliti rendah yang senang dengan karya bodoh, mengutamakan hiburan dan separa porno. Ini dinyatakannya dalam artikel berjudul “Genius dan Maru Malarchi” yang turut menjadi prakata kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta.
Perubahan sikap ini jelas memperlihatkan semacam protes Uthaya Sankar SB yang sekaligus berhasrat untuk menyedarkan audiens sastera Bahasa Malaysia tentang kehadiran dan komitmennya dalam ujana kesusasteraan Malaysia. Cerpen-cerpennya dalam kumpulan Sasterawan Pulau Cinta memang mencetuskan idea-idea yang aneh-aneh, tepu dengan hal-hal yang tidak rasional sebagai suatu kaedah bagi pengarang mengkritik kehidupan di seputarnya.
Hal ini terpancar melalui cerpen “SB” yang memaparkan protagonis “Saya” dikatakan belum sempurna hidupnya walaupun sudah beristeri dan diminta oleh bosnya segera ke pejabat untuk menyelesaikan hubungan bos dengan GRO. Protagonis berjaya menyelesaikan masalah itu, diberikan ganjaran setimpal walaupun lehernya ada tanda gigitan dan “Saya” menjadi lebih sempurna dalam konteks mengenali wanita.
Cerpen “… dan” menyatakan kesediaan watak ibu menerima kembali anak perempuannya yang kahwin lari dengan lelaki Melayu-Islam tetapi kemudian menceraikannya. Mereka berpisah justeru suami “Aku” adalah lelaki pemarah, tipis agama dan berperangai memalukan. Bagaimanapun watak “Aku” sedar justeru Islamnya juga pada nama, tipis-cair dan yakin telah mencemarkan kesucian Islam. “Aku” terasa bersalah, berdosa dan berusaha mahu menjadi Islam tulen. Dan pengarang memberikan hak dan kebebasan “Aku” berada dalam Islam dengan restu ibunya.
Kepura-puraan, penipuan adalah bahagian daripada kehidupan yang kadangkala datang dan pergi sebagai diaturkan. Dengan memanfaatkan medium teater, protagonis “Dia” diperalatkan memainkan peran-peran yang tidak penting seperti mangkuk, tembok dan piring tanpa sebarang dialog. Pada suatu ketika “Dia” diberikan watak penting sebagai Paul Lathic, tokoh terkenal Pulau Cinta, politisen dan presiden Pulau Cinta. Kiranya watak itu juga tanpa perlukan skrip kerana jasadnya Cuma terbaring di pentas sebagai mayat Paul Lathic.
Hal yang hampir sama ditemukan juga dalam cerpen “Liar” yang membicarakan tentang peri pentingnya bohong, tipu dan pura-pura bagi kelangsungan hidup ini. Dan watak “Saya” sebagai peguam juga banyak melakukan kebohongan terhadap pelanggan dan anak sendiri.
Pada cerpen “Karma II” dan “Datuk Datang ke Kampung Kami” pula memaparkan hal-hal yang senada yang boleh menimbulkan kerancuan di kalangan individu dan atau komuniti tertentu. Masing-masing watak ditampilkan berusaha menyatakan sesuatu yang diyakini benar tetapi sebenarnya adalah tidak benar dan beraroma penipuan dan atau pembohongan.
Sesungguhnya melalui cerpen-cerpennya yang lain seperti “Sasterawan Pulau Cinta”, “O” dan “Yang Aneh-aneh” memperlihatkan ketelitian pengarang muda ini mengkritik segelintir bijak pandai yang berada dalam bidang tertentu dan mendedahkan nasib dan hari depan golongan tertentu yang semakin terhakis kepentingannya akibat daripada transformasi drastik, tidak terkecuali kaitannya dengan kemajuan dalam bidang ITC yang merempuh deras pantas dalam masyarakat.
Cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB yang lain seperti “Cat”, “Anjing”, “Bitara Rama” dan “Diwali” adalah kritikan-kritikan sosial yang dihantar secara eksperimen melalui wacana yang sengaja dirancukan bagi memungkinkan tercetusnya sindiran-sindiran tajam menusuk ke jantung dan pemikiran audiens yang mahu berfikir dan mentafsir secara serius serta bijaksana.
Dari penelitian ini, dapat dikesan betapa dua cerpenis generasi baru yang muncul pada akhir abad ke-20 dari kalangan kaum India ini merupakan pengarang yang wajar diberikan perhatian dengan komitmen mereka yang berterusan mengisi ujana percerpenan Malaysia. Kehadiran mereka ternyata menyerlah dan dalam kasus tertentu, terutama dari sisi isi dan teknik penceritaan, mereka memperlihatkan bakat kepengarangan yang baik dan menarik berbanding dengan beberapa pengarang yang seangkatan dengan mereka. Hal ini diyakini justeru mereka memasuki ujana pencerpenan ini dengan tepu rasa tanggungjawab dalam usaha ingin mengangkat martabat cerpen (=sastera) ke tingkat yang sewajarnya dan dihargai justeru muatannya yang bijak dan matang serta mencabar minda dalam usaha dan upaya mentafsiri makna kehidupan yang direntas setiap watak begitu berhadapan dengan isu, kasus dan fenomena masing-masing.
[Kertas kerja “Penelitian Cerpen Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB” dibentangkan Dr Othman Puteh (Allahyarham) sempena Kolokium Kesusasteraan Melayu Moden V anjuran Bahagian Kesusasteraan Moden, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 8-10 Mei 2001 di Port Dickson, Negeri Sembilan]
..
Nota: Sila KLIK DI SINI untuk membaca kertas kerja "Menelusuri Jalur Kepengarangan Uthaya Sankar SB" salah satu makalah terakhir oleh Dr Othman Puteh.
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!