Joseph
Selvam merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia
kesusasteraan Bahasa Malaysia. Penyair kelahiran Melaka ini amat prolifik dalam
bidang puisi pada sekitar dekad 70-an.
Malah beliau merupakan
penyair kaum India yang
julung sekali menghasilkan puisi dalam Bahasa Malaysia serta berjaya mencipta
nama yang teguh dalam dunia puisi. Antara nama pena yang sering digunakan oleh
beliau ialah Yusuf S. dan Elili.
Pembabitan Joseph Selvam dalam
persada puisi tanah air bermula pada tahun 1965. Di samping menghasilkan puisi,
sajak, dan cerpen dalam Bahasa Malaysia, beliau juga sering menulis rencana,
esei serta mengalihbahasakan puisi dan cerpen dari Bahasa Tamil dan Bahasa
Inggeris ke Bahasa Malaysia.
Antara sajak perseorangan
beliau yang telah dibukukan ialah Nadi
Perpaduan, Merintis Jalan Ke Bahagia,
Dalam Perjuangan, Dalam Sinar Matamu, Suara,Penerimaan, Sajak-Sajak
Kecil, Pertemuan, Linangan Rasa di Tanjung Bidara dan Perhimpunan.
Sajak-sajak beliau juga
termuat dalam antologi bersama penulis lain. Antaranya ialah “Lagu Sepi”, “Riak Di Pinggir Rasa”, “Mencari
dalam Mengerti”, “Dari Musim
keMusim” dan “Gema Membelah Gema IV”. Sajak-sajak
Joseph Selvam sering memenuhi dada majalah Balai
Muhibbah pada dekad 70-an (iaitu
selepas istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan – ed.)
Joseph Selvam bukan sahaja
arif dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa
Mandarin, Bahasa Tamil dan boleh membaca dan menulis tulisan Jawi dengan baik,
malah beliau juga seorang penyair yang berpandangan jauh dan berfikiran
terbuka. Sikap serta pemikiran beliau terpancar dalam semua karya kreatif yang
dihasilkan oleh beliau.
Daripada tema-tema yang
bersifat universal, Joseph Selvam mula menjurus kepada tema keagamaan khususnya
agama Islam di sekitar lewat tahun 70-an.
Membaca & menulis tulisan jawi
Pergaulan beliau yang akrab
dengan masyarakat Melayu serta kebolehan beliau membaca dan menulis tulisan Jawi membolehkan
beliau menjiwai serta menghayati agama Islam serta menghasilkan sajak-sajak
yang berunsur keagamaan khususnya agama Islam dengan cukup berkesan.
Malah Joseph Selvam merupakan penyair Bukan Melayu yang pertama
yang telah menyentuh tentang tema agama Islam dalam sajak-sajak beliau.
Kumpulan sajak perseorangan
beliau yang berjudul Penerimaan membuktikan
kejayaan beliau mengungkap tema agama Islam. Sajak-sajak yang termuat dalam
kumpulan sajak perseorangan ini merakamkan pengalaman peribadi penyair dalam
pengembaraan mencari Allah (s.w.t).
Segala rakaman perasaan,
pengalaman lahiriah dan batin yang dialami oleh penyair dalam pengembaraan
mencari-Nya dirakamkan dengan begitu efektif sekali sehingga sukar untuk audien
mempercayai bahawa kuntum-kuntum puisi tersebut dihasilkan oleh seorang penyair
yang bukan beragama Islam.
Di sinilah letaknya kejayaan
serta kelebihan Joseph Selvam berbanding penyair kaum India yang lain yang
hanya mampu untuk mengangkat tema dan persoalan dalam lingkungan budaya
masyarakatnya sahaja.
Kesemua sepuluh sajak dalam
kumpulan sajak Penerimaan boleh
ditafsir dari tiga aspek iaitu rakaman pengalaman peribadi penyair dalam
pengembaraan mencari Ilahi, kemuliaan bulan Ramadhan dan Syawal serta
kepentingan keimanan dalam diri insan.
Di sini, penulis akan
mengulas lima sajak Joseph Selvam yang telah benar-benar menyentuh sanubari
penulis.
Pengalaman Peribadi
Kelima-lima sajak tersebut
merakamkan pengalaman peribadi Joseph Selvam dalam pengembaraan mencari-Nya
iaitu tentang kekuasaan Ilahi yang akhirnya berakhir dengan penerimaan agama
Islam setulus-tulusnya tanpa sebarang paksaan.
Kesemua ini dilukiskan
dengan cukup meyakinkan dalam kumpulan sajak persendirian beliau yang berjudul Penerimaan.
Pengembaraan mencari-Nya
dimulakan dengan penuh keyakinan dan dengan semangat yang kental. Ketegasan
sikap penyair terpancar dalam sajak berjudul “Permulaan dan Kesudahan” yang merupakan sajak pertama dalam
antologi ini.
PERMULAAN DAN KESUDAHAN
Kita mulakan sesuatu
Dengan mengucap
Bismillah
Kita sudahkan sesuatu
Dengan mengucap
Alhamdulillah (hlm 1:Bait 1)
Sebagaimana hidup ini perlu
diharungi dengan keimanan, keyakinan, dengan semangat yang kental serta
sentiasa bersyukur kepada Ilahi, beliau juga memulakan pengembaraan beliau
mencari Ilahi dengan keyakinan bahawa impiannya akan tercapai. Ini ketara dalam
sajak di atas.
Sewaktu beliau dalam proses
pengembaraan mencari–Nya, tiba-tiba pada suatu hari beliau terdengar laungan
suara Azan. Walaupun pada mulanya penyair berasa gementar mendengar suara Azan
tetapi setelah menghayati setiap kata dengan tenang dan teliti untuk seketika
sahaja, beliau terasa seolah-olah ada kebenaran dalam kata-kata tersebut kerana
seluruh jasad serta jiwa beliau menjadi suci murni dan dada beliau menjadi
lapang setelah mendengar dan menghayati suara azan tersebut.
Pengalaman peribadi antara
penyair dan suara azan itu telah menyedarkan beliau tentang kekuasaan Ilahi.
Beliau mula yakin dengan ajaran agama Islam itu sendiri dan telah membuat
keputusan untuk menerima sebulat hati ajaran agama Islam. Segala pengalaman
peribadi beliau ketika mendengar laungan azan itu dirakamkan dengan jujur
sekali dalam sajak berjudul “Azan dan
Aku”.
AZAN DAN AKU
Bergemalah azan di udara
Gementar diriku terasa
Tiba-tiba berhentilah seketika
Melupakan segala kerja (hlm.2 bait 2)
Kudengar panggilan-Nya
Dan merenung sebentar sahaja
Cahaya kebesaran meresap ke dada
Jiwaraga bermandi cahaya
Kurasa pembersihan diri
Kurasa pembersihan jiwa
Kurasa kebesaran-Nya
Aku ketahui jalan sempurna
Aku ketahui jalan sebenarnya
Kusujud ke arah kaabah-Nya ( hlm.2 bait 3)
Damailah
Damailah
Debaran dada ( hlm. 2 bait 4)
Menunaikan solat
Ketenangan yang diperoleh
selepas mendengar suara azan itu telah mendorong penyair untuk menunaikan
solat.
Terbukti selepas menunaikan
solat, segala kemusykilan yang bersarang dalam minda dan sanubari penyair
selama ini terjawab .
Terbukti ada mukjizat di
sebalik suara azan tersebut kerana suara azan itu menghindarkan manusia khususnya
diri penyair daripada melakukan kemungkaran dan keburukan serta mendorong
penyair ke jalan yang benar yang diredhai Allah (s.w.t.).
Segala perasaan serta
pengalaman beliau itu dirakamkan dengan cukup meyakinkan dalam sajak berjudul
“Suara”.
SUARA
Bergegarlah istana syaitan munkar
Lenyaplah nafsu membawa sesatan
Mendengar lidah mula berucap
Lailaha illallah
Muhammadar Rasulullah (hlm. 3 bait 3)
Aku melaung
Ke arah rumahNya
Suaraku:
Suara kepercayaan benar-benar pada-Nya
Allahummakhtim bisaadati ajalina
Memandu ke jalan benar ( hlm 3. bait 4)
Kedua-dua bait di atas
membuktikan kepada kita bahawa kini penyair yakin pada suara azan dan
mempercayai kewujudan-Nya kerana azan memandu beliau ke jalan yang benar.
Jelaslah, suara azan boleh
menghindarkan manusia daripada melakukan kejahatan. Justeru, penyair semakin
yakin dengan suara azan .
Setelah menunaikan solat,
beliau akhirnya menemui-Nya yang sekian lama dicari. Penemuan dalam
pengembaraan mencari Ilahi dirakamkan dengan penuh efektif dalam sajak berjudul
“Ku Temui Kau”.
KU TEMUI KAU
Ku cari Kau
Di tebing sungai
Di taman bunga
Di lereng gunung
Di hutan rimba (hlm.5 bait 2)
Kucari Kau
Di senyuman bunga
Di pemandangan indah
Di lautan bait-bait puisi
Di siulan unggas-unggas murni
Pada suatu senja
Ketika aku duduk kesepian
Suatu suara dalam hembusan bayu
Membuka rahsia
Dan aku mula mengenal Kau
Dan dengan tiba-tiba
Kurasa terlalu dekat dengan Kau
Dekat dalam hati nuraniku ( hlm. 5 bait 5)
Dengan rasa bahagia
Melimpah setiap ruang jiwa
Kusebut nama Kau sampai ke urat nadi
Dengan denyut ghairah meresap
Kusujud ke arah Mekah
Menyembah Kau (hlm. 5 bait 6)
Sajak di atas merakamkan
pengalaman peribadi penyair dalam proses mencari Ilahi. Sebelum ini, penyair
mencari Ilahi di merata-rata tempat tetapi tidak juga ditemui.
Pada suatu petang, ketika
mendengar suara azan berkumandang di udara, dan selepas meneliti setiap kata
timbul semacam kesedaran dan keyakinan dalam diri penyair untuk menunaikan
solat .Terbukti penyair dapat merasai kebesaran serta kekuasaan Ilahi hanya
selepas menunaikan solat.
Segala rakaman rasa gembira
penyair setelah menemui–Nya yang sekian lama dicari digambarkan dengan cukup
berkesan dalam sajak di atas.
Sebelum &
selepas menemui Ilahi
Akhirnya selepas
menemui-Nya, penyair membandingkan keadaan dirinya sebelum dan selepas menemui
Ilahi.
Sebelum penyair menemui-Nya
hidup beliau bagaikan bangkai bernyawa tanpa hala tuju dan beliau hidup dalam
keadaan daif dan sesat. Timbul rasa kesal dalam diri penyair kerana mengambil
masa yang begitu lama untuk mengetahui hakikat tentang kewujudan Ilahi.
Penyair juga berasa kesal
kerana tidak mengambil inisiatif untuk sedar akan hakikat ini sejak mula lagi.
Ini merupakan teladan kepada insan lain agar tidak bersikap sedemikian. Segala
rasa kesal digambarkan secara jujur dalam sajak berjudul “TuhanKu”.
TUHANKU
Sebelum bibirku mengucap nama-Mu
Aku adalah bisu!
Sebelum telingaku mendengar bisik- Mu
Aku adalah pekak!
Sebelum kakiku mencari rumah-Mu
Aku adalah kudung! (hlm.12 bait 1)
Sebelum mataku melihat kebesaran- Mu
Aku adalah buta!
Sebelum aku menyintai-Mu
Aku adalah bangkai bernyawa!
Oh Tuhanku
Betapa aku tidak mengenali-Mu
Begitu lama dalam hidupku!
Betapa aku tidak menerima-Mu
Begitu lama di jantung hatiku!
Betapa aku tidak memuja-Mu
Begitu lama di setiap ruang jiwaku!
Betapa aku tidak menyintai-Mu
Dengan mata batinku!
Betapa aku tidak menyembah- Mu
Tuhan yang satu
Pada seluruh insan
Sujud di kaki ke arah Mekah
Demikianlah lima sajak oleh
Joseph Selvam yang menggambarkan pengalaman peribadi beliau dalam pengembaraan
mencari Ilahi.
Setiap peristiwa yang
dialami oleh penyair digambarkan dengan begitu meyakinkan sekali dalam kumpulan
sajak persendirian beliau yang berjudul Penerimaan.
Malah judul sajak itu
sendiri membuktikan bahawa penyair telah menerima ajaran agama Islam dengan sebulat hati. Itulah mesej yang ingin disampaikan oleh penyair Joseph Selvam secara
tersirat kepada para audien.
(Ulasan ini ditulis oleh Raja Rajeswari Seetha Raman dan disiarkan di majalah Al Islam, September 2002 serta dimuatkan
di surat berita Kavya, September 2002 dengan izin penulis.
Didokumentasikan di blog ini dari kandungan asal di Geocities bagi tujuan arkib dan rujukan umum.)