4 May 2020

Reaksi Pembaca Beta — Cerpen Lima (C)


Sebuah lagi cerpen baharu ditulis pada 29–30 April 2020. Saya mengirim petikan sepanjang 150 perkataan, iaitu bahagian awal cerpen itu (belum tersiar), kepada sekumpulan pembaca beta yang menawarkan diri secara sukarela.

Selepas mengumpul reaksi mereka, saya kirim pula sambungan petikan sepanjang 150 perkataan dan meminta pembaca beta yang sama memberi reaksi sesudah membaca 300 perkataan daripada petikan awal cerpen berkenaan.

Reaksi ikhlas diterima daripada 18 orang pembaca beta, maka saya paparkan dalam tiga bahagian. Setiap individu memberi reaksi sebanyak dua kali.


Bahagian Lima (C)

“Unsur ketegangan ditonjolkan dengan baik, membuatkan saya tergesa-gesa membaca ayat berikutnya dalam cerpen ini. Ayat terakhir memberi twist maksimum. Pada penelitian saya, Faiz seorang yang ingin menyelamatkan diri sendiri ataupun oportunis tanpa mengira masalah yang mungkin akan dihadapi oleh ‘Dia’. ‘Dia’ pula watak utama skandal. Pada pendapat saya, ‘Dia’ akan memutuskan hubungan cinta dengan kekasihnya. Hubungan bersama Faiz turut putus di separuh jalan. Musibah bermain kayu tiga.” — Ganesher Pillai a/l Manivel

Twist yang langsung tidak dijangka. Hubungan ‘Dia’ and Faiz hanya lakonan? Pandangan saya mengenai kedua-dua watak masih tidak berubah. Mereka bersekedudukan bersandarkan wang, walaupun ‘Dia’ menonjolkan kekesalan. Mengenai apa yang akan berlaku seterusnya, pendapat saya sudah berubah. Kemungkinan besar, kesempitan wang yang dihadapi menyebabkan ‘Dia’ bersetuju dengan tawaran Faiz. Kesudahan cerpen? Apa-apa sahaja mungkin berlaku.” — Ganesher Pillai a/l Manivel


“Saya berminat untuk mengetahui adakah ‘Dia’ bersetuju dengan cadangan ‘Faiz’ dan muslihat di sebalik cadangan tersebut. Pada pandangan saya, ‘Dia’ dan Faiz merupakan rakan sekerja atau teman sekuliah sahaja. Pada pendapat saya, ‘Dia’ akan bersetuju untuk berjumpa dengan ibu bapa Faiz dan ibu bapa Faiz pula sangat menyukai ‘Dia’.” Khairani Binti Abd Samad

“Saya masih berminat untuk mengetahui alasan Faiz meminta ‘Dia’ berpura-pura menjadi kekasihnya. Saya kini menganggap watak ‘Dia’ hanyalah seseorang yang menerima wang upahan daripada Faiz untuk melaksanakan sesuatu tugas. Apa yang berlaku seterusnya? Saya rasa, ‘Dia’ akan keliru untuk memilih antara kekasihnya dan ‘Faiz’ kerana tidak sanggup melukakan perasaan ibu bapa Faiz yang terlalu berharap.” Khairani Binti Abd Samad


“Sudah tentu saya berminat untuk membaca sambungan cerita ini kerana pemilihan genre cinta dalam cerpen ini sangat sesuai dengan minat bacaan saya di samping genre-genre yang lain. Saya berpendapat bahawa watak ‘Dia’ dan Faiz saling menyayangi, tetapi ‘Dia’ tidak yakin dengan cinta barunya, yang berkemungkinan akan membawa masalah besar kelak. Ada tiga kemungkinan dalam cerita ini: ‘Dia’ akan tetap bersama dengan kekasihnya, atau bersama dengan Faiz, atau ‘Dia’ dan Faiz akan bersama dengan kekasih yang berbeza. Persoalan dari segi perkara yang akan berlaku seterusnya masih tidak dapat diagak.” Rupasree a/p Ganesan

“Saya masih berminat membaca cerpen ini kerana saya ingin tahu sejauh mana ‘Dia’ dan Faiz akan membawa permainan berjodoh ini. Saya rasa,  Faiz sememangnya ada perasaan cinta terhadap ‘Dia’. Namun, Faiz tidak dapat meluahkan perasaan kerana ‘Dia’ sudah ada kekasih. Pada masa sama, Faiz belum bersedia untuk berkahwin. Pandangan saya tentang apa yang akan berlaku seterusnya masih tidak berubah. Namun, saya mempunyai sedikit kepastian bahawa Faiz dan ‘Dia’ akan bersatu (berkahwin). Cara hidup ‘Dia’ akan mula berubah. Saya berpendapat begitu kerana kemungkinan layanan mesra yang diberi oleh keluarga Faiz, lama-kelamaan membuatkan ‘Dia’ suka.” Rupasree a/p Ganesan


“Saya masih berminat kerana ada unsur saspens. Terlalu awal untuk mengandaikan apa-apa mengenai watak-watak. Seolah-olah berada dalam landasan tekanan. Tidak dapat diramalkan lagi. Teknik dialog boleh dipelbagaikan dengan teknik penceritaan yang lain. Boleh memerikan unsur alam sebagai menggambarkan nasib ‘Dia’ dengan teknik pemeriaan. Seterusnya dalam cerpen ini, penulis akan merungkaikan siapakah Sang Kekasih.” Saravanan P. Veeramuthu

“Saya masih berminat untuk membaca sepenuhnya kerana cerita ini tidak memberikan bayangan peleraian langsung. Saya mendapati ‘Dia’ dan Faiz bersikap materialistik dan mementingkan diri sendiri sahaja. Mungkin akan berlaku perubahan dalam watak ‘Dia’. Saya mengagak bahawa Faiz akan menjadi watak utama yang menggerakkan cerita ini.” Saravanan P. Veeramuthu


“Petikan yang saya baca menarik. Harapan saya, puncak cerpen ini pun mesti menarik untuk dibaca. Watak ‘Dia’ digambarkan sebagai senantiasa mengambil berat tentang watak Faiz manakala watak Faiz digambarkan sebagai tidak mengambil peduli tentang ‘Dia’. Faiz mungkin menghadapi masalah dengan ahli keluarganya kerana telah membawa kekasihnya. Oleh itu, ‘Dia’ akan menolong Faiz untuk cuba menyelesaikan masalah tersebut dan akhirnya Faiz akan memahami betapa pentingnya ‘Dia’ dalam hidupnya.” — Varatharasan Subramaniam

“Saya ingin tahu siapa sebenarnya watak ‘Dia’ dalam cerpen ini dan kenapa dia sanggup berlakon demi wang. Sebelum ini, saya beranggapan watak ‘Dia’ mengambil berat tentang Faiz, tetapi selepas saya membaca petikan ini, baru saya faham dia hanya berlakon demi wang. Saya rasa, pada akhir cerpen ini, ibu bapa Faiz akan tahu bahawa Faiz hanya menipu mereka. Maka, Faiz mesti melakukan sesuatu untuk melepaskan diri daripada masalah ini.” — Varatharasan Subramaniam

Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]



Setiap reaksi yang diberi amat bernilai dan amat saya hargai dalam usaha berterusan menjadi penulis yang mampu menghasilkan karya bermutu. Saya [Uthaya Sankar SB] mendoakan supaya para pembaca beta terbabit sentiasa dirahmati dan dimurahkan rezeki.