22 May 2020

Reaksi Pembaca Beta — Cerpen Enam


Saya menulis sebuah cerpen baharu berjudul “Paramapatham” pada 18 Mei 2020. Sejumlah lapan orang rakan bersetuju menjadi pembaca beta.

Petikan awal cerpen itu dikirim kepada mereka pada 21 Mei 2020 dalam tiga bahagian; setiap bahagian sepanjang 80 perkataan. Tajuk cerpen tidak didedahkan.

Selepas membaca Bahagian Satu, pembaca beta menjawab dua soalan. Kemudian, barulah Bahagian Dua dikirim. Akhirnya, Bahagian Tiga dikirim.


Dua soalan yang sama ditanya pada setiap kali:

1. Apakah pandangan anda tentang watak “Dia”?
2. Pada pendapat anda, apa akan berlaku seterusnya?

Berikut dipaparkan reaksi pembaca beta yang sudi meluangkan masa membaca petikan awal cerpen berkenaan dan menjawab dua soalan di atas. Reaksi disusun mengikut urutan diterima.


Bahagian Satu (80 perkataan)

“Dia” seorang yang suka berahsia tentang dirinya. “Dia” mempunyai minat yang tersendiri, berlainan daripada orang lain, terutama dalam keluarganya. Rasa-rasanya, “Dia” akan menerangkan secara terbuka kepada tunangnya perkara sebenar yang berlaku kerana tidak mahu berahsia lagi. Kemudian, “Dia” menunggu reaksi dan maklum balas tunangnya. — Parimala Devi a/p Meenakshi Sundram

Saya rasa “Dia” seorang peguam atau pakar psikologi yang berminat dengan kes Anwar. Atau dia mahu menjadi ahli politik. Mungkin “Dia” akan mendedahkan sesuatu yang mengejutkan setelah digasak oleh tunangnya, dan hubungan mereka akan putus. Thanusya Shanmuganathan


“Dia” mungkin mempunyai kecenderungan ke arah hubungan luar tabii atau hubungan sejenis, tetapi masih pada peringkat permulaan. Pada pendapat saya, tunang “Dia” akan berasa kecewa, namun tetap berusaha untuk membantu “Dia” mengatasi masalah tersebut. Khairani Abd Samad

Saya berpandangan bahawa “Dia” merupakan seorang gay dan selama ini merahsiakannya daripada pengetahuan keluarga. Mengikut norma masyarakat kita, “Dia” mungkin akan dibuang keluarga dan disisihkan kerana bersifat songsang. Hidayat Muhamad


“Dia” mungkin seorang yang mempunyai ciri-ciri gender yang berbeza atau “Dia” sedang cuba memahami isu yang dia mula minati itu. “Dia” mungkin bukan salah seorang daripada ‘mereka’ tetapi dia membantu golongan sedemikian untuk mendapat keadilan dan hak yang sama. Anuradha Chelliah

“Dia” seorang pegawai polis atau peguam yang sedang mengendalikan kes liwat. Mungkin “Dia” akan melindungi seseorang yang dituduh meliwat. Masyarakat sekeliling tidak akan suka perbuatan itu. Tunangnya pula menghalang dan mengesyaki  “Dia” mempunyai ‘hubungan’ dengan pesalah. M. Mahendran


Pada pandangan saya, watak “Dia” merupakan seorang lelaki homoseksual (gay) dan tidak berminat terhadap perempuan. “Dia” akan cuba memberi alasan kepada keluarganya supaya pertunangan itu dibatalkan. Diviya Devaraj

Saya berpendapat “Dia” terlibat dalam gerakan Reformasi (1998) yang dimulakan oleh Anwar Ibrahim. Perbuatan dan penglibatan “Dia” dalam politik mungkin tidak akan dipersetujui oleh tunang dan keluarganya. Jaymani Sevanathan


Bahagian Dua (80 perkataan)

“Dia” bercita-cita tinggi untuk menjadi ahli politik. Oleh sebab itu, “Dia” sanggup menjadi macai politik demi kariernya. Saya berpendapat “Dia” akan menyesali perbuatannya di mana “Dia” akan dikhianati oleh ahli politik dan parti yang disokongnya. Jaymani Sevanathan

“Dia” berwawasan dan bercita-cita tinggi, serta mementingkan diri sendiri. Mungkin “Dia” akan menyertai mana-mana parti politik atau menubuhkan parti sendiri, dan mula mencetuskan propaganda. Thanusya Shanmuganathan


Jangkaan saya mengenai perwatakan “Dia” pada awal tadi mungkin tersilap. Dia sebenarnya seorang yang meminati politik. Ada dua kemungkinan tentang apa yang akan berlaku seterusnya. Pertama, dia berada dalam arena politik dengan jujur. Kedua, dia mengubah prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sesuatu dalam politik. Hidayat Muhamad

Nampaknya “Dia” begitu meminati dunia politik dan cenderung untuk menceburinya secara serius walaupun tahu dunia itu penuh dengan pelbagai cabaran. Mungkin “Dia” akan memastikan dirinya diterima dalam dunia politik dengan apa cara sekali pun. Khairani Abd Samad


Memang merosot anggapan saya sebelum ini. Rupa-rupanya “Dia” mahu menjadi ahli polit(a)ik. Apa yang pelik, dia mendapat inspirasi selepas Anwar ditangkap (1998). Mungkin “Dia” akan menggunakan teknik-teknik tertentu, yakni cara-cara baharu, untuk menambat hati rakyat dan presiden sesuatu parti. M. Mahendran

Pada pendapat saya, “Dia” merupakan seorang yang sangat obses dalam bidang politik sehingga sanggup memutuskan pertunangan. Pada pandangan saya, “Dia” akan bertekad untuk menceburi bidang politik. Diviya Devaraj


Nampaknya “Dia” sangat cenderung dalam isu politik tetapi merahsiakan semuanya kerana belum berani menunjukkan kehandalan diri. “Dia” mungkin akan menjadi ahli politik yang berani kerana sanggup membiarkan tunangnya memutuskan pertunangan demi cita-cita politik. Anuradha Chelliah

“Dia” seorang yang berani menghadapi cabaran dan berkeyakinan tinggi dalam mencapai impian. “Dia” juga tidak membiarkan apa jua perkara menghalang impiannya. Mungkin “Dia” akan mula bergiat aktif dengan pelbagai cara dalam politik dan menjadi seorang ahli politik yang disegani. Namun, semua itu hanya sementara. — Parimala Devi a/p Meenakshi Sundram


Bahagian Tiga (80 perkataan)

Saya dapati “Dia” adalah seorang yang berbakat dan berpotensi besar dalam politik. Namun begitu, kerjaya “Dia” dalam politik mungkin akan terkubur, atau dia akan melakukan kesilapan lain untuk cuba menutup kesilapan lampau. Hidayat Muhamad

“Dia” cuba mengembangkan kemahiran dan bakat untuk menjadi seorang politikus, namun tidak akan kesampaian kerana isu peribadi yang bakal ditanggung. Saya mengandaikan “Dia” akan menyesali penglibatan dalam politik kerana ternyata ramai pihak cuba menjatuhkannya. Jaymani Sevanathan


“Dia” menggunakan jalan pintas untuk mencapai apa yang dicita. Watak Aravan pula menggunakan “Dia” untuk ‘kepentingannya’ sahaja. Saya rasa, “Dia” tidak dapat meneruskan cita-cita sebab Aravan sudah dituduh menjadi hero dalam video seks. “Dia” mungkin tetap  berusaha mencapai cita-cita politik dengan cara lain pula. M. Mahendran

Pada pandangan saya, “Dia” merupakan bakal ahli politik yang sangat arif  dan hebat tetapi merupakan seorang lelaki homoseksual. Mungkin “Dia” terpaksa mengaku dan terus berusaha menjadi seorang ahli politik yang berjaya. Diviya Devaraj


“Dia” ibarat kanak-kanak yang mendapat peluang untuk bermain di taman permainan. “Dia” ‘bermain’ dengan gembira sehingga tiba suatu ketika, “Dia” jatuh tersungkur. Apa yang akan berlaku seterusnya? Sama ada “Dia” membuktikan dirinya bukan orang dalam video itu atau “Dia” disabitkan bersalah dan dikecam netizen. Thanusya Shanmuganathan

“Dia” bermula dari bawah dengan menggunakan pelbagai strategi tetapi kehebatanya menjadi ancaman kepada Aravan. Kemunculan video itu seperti memberikan plot yang berbeza kepada pembaca. Siapa sebenarnya terlibat dalam video seks itu menjadi persoalan di sini. Anuradha Chelliah


“Dia” ingin mencapai impian menjadi ahli politik yang bukan sahaja hebat tetapi juga berintegriti. Namun, realiti politik tidak seperti yang diimpikan. Biarpun “Dia” mungkin akan berjaya menjadi ahli politik yang dihormati dan bersih, impiannya akan musnah kerana kalah juga dengan ‘kekotoran’ dalam politik. Khairani Abd Samad

“Dia” seorang yang pandai mencari peluang dalam memajukan diri dalam politik. “Dia” menggunakan setiap peluang yang ada sehingga menonjol. Saya rasa, selepas ini, peluang “Dia” dalam bidang politik menjadi kabur. Namun atas bakatnya, “Dia”  diterima  pihak lain. Malah, “Dia” mungkin berubah pihak (parti) untuk meneruskan impian politik. — Parimala Devi a/p Meenakshi Sundram


Perhatikan bagaimana reaksi, pandangan, dan pendapat pembaca beta —secara individu atau secara keseluruhan — berubah selepas membaca Bahagian Satu, Bahagian Dua, dan Bahagian Tiga.

Harap maklum bahawa tidak ada jawapan yang “salah” kerana kesemua jawapan yang diberi oleh kesemua pembaca beta adalah “betul”.


Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]



Anda ingin memahami teknik yang digunakan golongan penulis mapan untuk menghasilkan cerpen yang mampu memancing minat pembaca?