Saya menulis sebuah cerpen berjudul “Tukang Kebun” pada 25
Mei 2020 dan membuat penyuntingan pada 26 Mei 2020. Saya sengaja cuba
memastikan “gaya” cerpen ini berbeza dengan pendekatan yang digunakan dalam enam
cerpen sebelum ini (rujuk pautan di hujung sekali).
Pada 27 Mei 2020, petikan bahagian awal cerpen dikirim kepada
beberapa rakan yang sudi menjadi pembaca beta. Mereka bersetuju memberi
komen dan reaksi secara ikhlas.
Bahagian Satu (162 perkataan) dikirim bersama-sama satu
soalan:
Apakah
pandangan dan andaian anda tentang watak “Saya”?
Kemudian, Bahagian Dua (163 perkataan) dikirim dengan satu
soalan tambahan:
Bahagian
mana dalam petikan cerpen ini [Bahagian 1 + Bahagian 2] yang membosankan bagi
anda? Berikan alasan.
Berikut reaksi ikhlas yang diterima daripada para pembaca
beta yang sudi membaca petikan awal cerpen yang dikirim. Reaksi disusun
mengikut urutan diterima. Seperti biasa, setiap jawapan adalah “betul”.
Bahagian Satu (162
perkataan)
1. Watak “Saya” seorang yang tidak pemalu dan
rajin memberi pendapat serta menghulurkan bantuan. — Hidayat Muhamad
2. “Saya” pandai berkebun dan sangat rajin
orangnya. Dia ada kaliber untuk menjadi pekebun yang berjaya kelak. — Thanusya Shanmuganathan
3. “Saya” seorang yang wow bagi saya. Minat dalam bidang pertanian, berpengalaman dan
dedikasi dalam menjalankan tugas yang diberikan walaupun menerima upah yang
sangat tidak berbaloi. Apabila membuat sesuatu dengan jujur, secara tidak
langsung, semua kerja menjadi mudah dan mampu menambah kepercayaan orang lain
untuk terus diberikan amanah. “Saya” adalah watak yang cukup positif dan mampu
memberi motivasi kepada pembaca. —
Rushida Binti Abdul Wahid
4. “Saya” seorang yang rajin dan bijak
menggunakan kebolehannya untuk bekerja bagi mendapatkan pendapatan. Peluang
yang diberi pandai digunakan sepenuhnya tanpa sia-sia. — Parimala Devi a/p Meenakshi Sundram
5. Watak “Saya” merupakan seorang individu
yang gigih, jujur dan ikhlas. Hal ini terbukti kerana beliau tidak memilih
pekerjaan walaupun hanya diminta untuk menjaga tanaman wanita itu. “Saya” juga
ikhlas bekerja kerana dia sendiri yang rela hati menanam benih cili, tomato,
bunga telang, halia, bawang, serai dan terung. Tidak semua orang punyai sikap
ikhlas semasa bekerja, iaitu bekerja tanpa perlu diminta dan diarah. “Saya”
juga seakan tidak kisah dengan upah yang diterima walaupun hanya RM10.
Bersyukur dengan apa yang diterima, itulah sikap yang terbaik. Pada pembacaan
saya, watak “Saya” merupakan seorang individu yang benar-benar memerlukan
pekerjaan atas desakan hidup. Oleh kerana itu, dia tidak peduli apa jua
pekerjaan yang ditawarkan. Atas kegigihan, keikhlasan dan kejujurannya, “Saya”
akan ditawarkan pekerjaan yang lebih baik oleh wanita itu dan suaminya. “Saya”
akan bekerja lebih gigih dan akan berjaya suatu hari nanti. — Isma Hazwani binti Ismail
6. Pada pandangan saya, watak “Saya” merupakan
seseorang yang suka berkebun. Selain itu, “Saya” juga berpengalaman dalam
bidang pertanian. — Khairani Abd Samad
7. Pada andaian saya, watak “Saya” adalah
seorang gadis dan graduan dalam bidang sains pertanian yang sedang menganggur.
Beliau seorang insan yang mencintai alam semula jadi. — M. Mahendran
8. Saya merasakan watak “Saya” merupakan
seorang warga emas yang kurang berkemampuan dan mencari pekerjaan. Lantas
“Saya” ditawarkan kerja sebagai tukang kebun. — Jaymani Sevanathan
9. Watak “Saya” digambarkan sebagai seorang
pemuda yang baik, serba boleh dan ringan tangan. “Saya” juga mudah mesra dengan
sesiapa yang baru dikenali. Karektor tersebut berjaya menambat hati pasangan
suami-isteri berkenaan. — Mahamad Fauzi bin Ab. Razak
10. “Saya” seorang yang tiada pekerjaan tetapi
rajin. “Saya” sanggup membuat apa-apa kerja yang halal untuk mendapatkan
nafkah. “Saya” mungkin seorang yang suka menanam sayur-sayuran dan menanti
hasil yang bagus. — Anuradha Chelliah
11. Watak “Saya” merupakan seorang yang rajin
dan mempunyai minat dalam bidang pertanian. “Saya” juga mempunyai pengetahuan
tentang penanaman sayur dengan cara yang betul. — Varatharasan Subramaniam
12. Pada pandangan saya, watak “Saya”
merupakan seorang yang rajin dan gemar berkebun. “Saya” juga mempunyai
pengalaman dan pengetahuan yang luas mengenai berkebun. — Diviya Devaraj
Bahagian Dua (163
perkataan)
1. “Saya” merupakan seorang yang boleh
berinteraksi dengan tumbuhan. Mungkin “Saya” mempunyai rancangan tertentu dengan
tindakan menanam tumbuhan di rumah tersebut. Perenggan “Pada setiap hujung minggu, saya meluangkan masa …” membosankan kerana
sama seperti babak minum teh pada petikan Bahagian
Satu. — Hidayat Muhamad
2. Nampaknya, watak “Saya” adalah lelaki. Mungkin
juga bukan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT). Tidak ada bahagian yang
membosankan. Cuma, pembaca masih tidak tahu siapa “Saya” sebenarnya. — M. Mahendran
3. Pada pendapat saya, kedua-dua bahagian ini
tidak membosankan saya kerana ia menarik perhatian saya untuk mengetahui
misteri di sebalik watak "Saya". —
Diviya Devaraj
4. Nampaknya “Saya” seorang warganegara asing
yang bekerja untuk mendapatkan duit bagi menyara hidup. “Saya” tentu kecewa
apabila mendengar kata-kata jiran yang sebenarnya tidak tahu latar belakang
diri “Saya”. Permulaan cerita agak membosankan kerana penyampaian yang
bersahaja. Saya tidak begitu tertarik dengan nama sayur-sayuran yang disebut.
Lagipun, watak suami-isteri yang hanya minum teh sambil duduk di beranda ada di
Bahagian Satu dan Bahagian
Dua. — Anuradha Chelliah
5. Pada pembacaan saya, sejujurnya tiada petikan
yang membosankan kerana Bahagian Satu ditulis
dengan permulaan yang mampu memancing minat pembaca untuk mengetahui tentang
perkembangan watak “Saya” manakala Bahagian Dua
pula berjaya menarik minat pembaca untuk terus mengetahui perkembangan plot,
terutamanya watak jiran itu. — Isma Hazwani
binti Ismail
6. Setakat ini, saya tidak merasakan ada
bahagian yang membosankan kerana saya masih belum mengetahui plot secara
keseluruhan. — Jaymani Sevanathan
7. Nampaknya, ada sesuatu tentang “Saya”. Kenapa
dan mengapa “Saya” menjadi begitu positif? Menarik untuk diketahui apa cerita
di sebalik seorang “Saya” itu. — Rushida
Binti Abdul Wahid
8. Watak “Saya” yang digambarkan mulus mula
dicurigai pembaca. Berkemungkinan “Saya” seorang oportunis yang akan
memerangkap mangsa. Atau jiran tersebut bermasalah dengan “Saya”. Namun,
karektor sebenar “Saya” dijangka akan terjawab pada penghujung cerpen. Bahagian Satu membosankan kerana penceritaan tiada narrative hook. Hanya nama Uthaya (penulis) yang mengajak pembaca menyoroti
jalan cerita. Narrative hook dan
konflik berada pada Bahagian Dua. — Mahamad Fauzi bin Ab. Razak
9. Bahagian yang membosankan saya adalah Bahagian Dua kerana bahagian ini sekadar menerangkan
sesuatu yang sudah dinyatakan di Bahagian Satu.
— Khairani Abd Samad
10. Watak “Saya” seorang yang berminat dalam
bidang perkebunan. Ini menyebabkan “Saya” berkebun kerana minat atau hobi
secara jujur. Bahagian Satu membosankan kerana
isu di dalamnya tidak mengungkitkan perasaan ingin tahu. Manakala Bahagian Dua lebih membawa persoalan pada diri: Siapakah
watak “Saya” sebenarnya? — Parimala Devi
a/p Meenakshi Sundram
11. Tidak ada bahagian yang membosankan
setakat ini. Perjalanan cerita yang menarik dan tidak membosankan. — Varatharasan Subramaniam
12. Tiada bahagian yang membosankan. Saya terfikir,
mengapa ada orang (watak jiran) yang sangsi dengan watak “Saya”? — Thanusya Shanmuganathan
Cerpen ini akan dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]