Sebuah faksyen berjudul “Demi Sebuah Legasi” bermain
dalam minda sejak 29 Mei 2020, lalu berjaya ditulis pada 1 Jun 2020 dan
disunting pada 2 Jun 2020. Cerpen ini akan dimuatkan dalam kumpulan cerpen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]
Pada 3 Jun 2020, bahagian awal cerpen (intro) — sepanjang sekitar 200
perkataan — dikirim kepada rakan-rakan yang sudi menjadi pembaca
beta.
Mereka diminta menjawab dua soalan utama:
1. Apa yang anda fikir tentang watak Krishna, Mogan @
Morgan, James Arivalahan, dan “Aku”?
2. Apa yang anda jangka akan berlaku seterusnya?
Berikut reaksi jujur dan ikhlas yang diterima daripada
rakan-rakan budiman yang sudi menjadi pembaca beta. Reaksi disusun mengikut
urutan diterima. Seperti biasa, setiap jawapan adalah “betul”. Ilustrasi
sekadar hiasan.
1. Pada penelitian saya, watak Krishna merupakan
tokoh yang ada legasi tersendiri. Mogan pandai bermuka-muka dan bijak
berkata-kata. James Arivalahan seorang yang berani dan mempunyai karisma
seorang pemimpin. Watak “Aku” pula mempunyai pemikiran yang tajam. Apa yang
akan berlaku seterusnya? Saya jangka Arivalahan akan membuat suatu pengumuman
mengejut. — Thanusya Shanmuganathan
2. Krishna seorang pemimpin yang disanjung tinggi
dalam kalangan ahli Pertubuhan Politik India (PPI). Mogan @
Morgan cuba mengambil peluang menerajui parti menggunakan taktik kotor. James Arivalahan
pula digambarkan sebagai pengganti yang dipilih oleh Krishna untuk menerajui PPI,
tetapi diketepikan oleh Morgan. Watak “Aku” seorang ahli yang sudah lama berada
dalam parti dan tahu betapa dalam perselisihan antara James dan Morgan. Kisah
seterusnya? Ini bergantung kepada tindak tanduk James dan pengikut setianya;
sama ada dia ingin mengeruhkan keadaan. —
Muhammad Rasyad Mohd Razin
3. Pada pendapat saya, Krishna merupakan seorang
yang arif dan berpengetahuan mengenai politik. Morgan seorang pemimpin yang
mementingkan diri sendiri dan gila kuasa. James Arivalahan pula seorang yang
berani dan mempunyai rasa tidak puas hati terhadap Morgan. Watak “Aku” mungkin
seorang pengikut setia Arivalahan. Pada jangkaan saya, akan berlaku konflik
antara Morgan dan Arivalahan. — Diviya Devaraj
4. Nampaknya Krishna seorang ahli politik yang
dianiaya Morgan, iaitu seorang ahli politik yang gila atau tamak kuasa. Arivalahan
memainkan watak seorang wira yang akan mengubah senario politik. Watak “Aku”
merupakan penyokong atau pengundi Arivalahan. Kehadiran Arivalahan pada akhir
petikan ini tidak dijangka Morgan dan pasti akan berlaku kekecohan. — Isma Hazwani binti Ismail
5. Bagi saya, Krishna mungkin pelopor parti
politik berkenaan. Morgan pula memegang jawatan penting dalam parti sejak dulu.
James Arivalahan mungkin orang yang sepatutnya meneruskan legasi Krishna. Watak
“Aku” mungkin seorang ahli dalam parti dan juga penyokong Arivalahan yang bakal
mengganti tempat Krishna. Kisah seterusnya? Arivalahan akan mempertahankan Krishna
sebagai pelopor parti dan akan mempersoalkan kesahihan fakta Morgan. — Shivakumaar Arumugam
6. Saya fikir, Krishna seorang pemimpin, ahli
politik senior, berwibawa, berwawasan, serta
disegani kawan dan lawan. Mogan seorang yang rakus, pandai mengambil
kesempatan, pentingkan diri sendiri dan
penipu. James pula seorang pemimpin berkaliber dan setanding kehebatan Krisha, tetapi
mungkin mempunyai lebih “aura baik” dalam memimpin. Watak “Aku” seorang
pengikut setia gerakan politik tersebut. Saya rasa, “Aku” menaruh harapan
tinggi dan percaya gerakan politik tersebut adalah yang terbaik untuk memimpin
negara. “Aku” mungkin salah seorang individu penting dalam gerakan politik itu
dan ikhlas berkhidmat demi membangunkan masyarakat dan negara. Pada jangkaan
saya, akan berlaku percakaran dan pertikaian politik yang berterusan agak lama
sehingga rakyat bangun meminta keadilan dilaksanakan. Perlu diperingatkan bahawa
kuasa memilih pemimpin adalah kuasa rakyat. Biar rakyat yang memilih siapa
harus diangkat menjadi pemimpin tanpa perlu susah payah disogokkan dengan apa
jua imbuhan. Apabila rakyat sudah membuat pilihan, maka jalankanlah tugas
mengikut wadah yang telah terpilih. Jika dikhianati, kuasa rakyat akan bangun
menghukum! — Rushida Abdul Wahid
7. Terlalu banyak watak diperkenalkan dalam satu
muka surat. Perkataan “macai” yang digunakan juga agak
kontroversi. Watak Krishna mungkin watak putih yang tenggelam dalam kerakusan
politik. Mogan politikus berdasarkan populariti atau bilangan pengikut atau sentimen
isu semasa. Morgan perlu berwawasan untuk mengalahkan James. Watak James karismatik
kerana digambarkan “melangkah megah”. Kemungkinan dia partisan Krishna. Bagi
watak “Aku” pula, tiada karakter terserlah. Sebaliknya, tersembunyi di sebalik
naratif. Saya menjangka Arivalahan akan melakukan 360 darjah kejutan tetapi
Morgan ada bidak terakhir. — Nursilah
Ahmad
8. Kemungkinan besar, Krishna seorang ahli yang telah
lama terlibat dalam parti dan berjaya memegang posisi (jawatan) agak tinggi. Morgan
tampil sebagai seorang yang bercita-cita tinggi untuk mencapai posisi pemimpin
dalam parti itu dengan apa jua cara. James pula seorang ahli parti yang mungkin
menghargai nilai-nilai kepimpinan Krishna, serta seorang individu yang bersikap
kental dan mempunyai pemikiran yang agak
bijak dalam menghadapi permainan politik. Watak “Aku” seperti ahli fanclub yang mengagumi James dan
mempunyai obsesi untuk memerhati perkembangan parti. Apa yang akan berlaku
seterusnya? Mungkin satu melodrama
politik antara dua individu tersebut (Mogan dan James) di hadapan wakil media. Reaksi
saya berdasarkan visual dalam fikiran yang dipengaruhi pengalaman menonton
filem Tamil. — Yogadevi
9. Saya dapati Krishna tokoh politik yang disegani.
Beliau disingkirkan dengan muslihat. Morgan seorang yang gila kuasa dan akan
buat apa sahaja demi mendapatkan kuasa. Saya tidak ada idea siapa James
Arivalahan. Watak “Aku” mungkin bekerja sebagai pemberita yang sentiasa
mengkritik ahli politik. Apa yang akan berlaku seterusnya? Memang tidak ada
idea langsung. Cuma, cara James Arivalahan melangkah masuk ke dalam dewan
mengingatkan saya kepada babak dari filem Annamalai
(1992). — M. Mahendran
10. Saya berkali-kali membaca petikan awal cerpen
ini yang penuh dengan tanda tanya. Krishna seorang yang sangat lama dalam
politik dan tahu segala-galanya. Mogan pula budak baharu yang berlagak kononnya
tahu semua. Saya rasa, Arivalahan adalah mastermind
dalam cerita ini. Watak “Aku” boleh jadi seorang penyampai maklumat untuk
kedua-dua pihak dalam cerpen ini. Pada jangkaan saya, segala pertanyaan
wartawan akan terjawab kerana Arivalahan akan mengambil alih “pentas”. — Anuradha Chelliah
11. Krishna merupakan bekas ahli politik dengan
sejarah yang bagus. Mogan @ Morgan pula ahli politik yang ingin menyambung
legasi Krishna tetapi tiada pengalaman. Arivalahan merupakan ahli politik yang
berpengalaman tetapi tidak diundang ke sidang media. Watak “Aku” adalah watak
utama yang melangkah masuk ke dunia politik dengan bantuan Morgan. Apa yang
bakal berlaku? Saya rasa, Morgan akan memperkenalkan “Aku” sebagai pengganti
Krishna pada sidang media yang diadakan. — Shasikala
Tamil Kalanathan
12. Krishna mungkin mempunyai pengetahuan dan
pengalaman yang luas dalam bidang politik. Mogan merupakan orang yang suka
mengambil peluang dalam situasi yang memberikan keuntungan kepada dia. Saya
rasa, James Arivalahan yang sepatutnya mengambil alih tempat Krishna dalam Pertubuhan
Politik India (PPI). Watak “Aku” pula mungkin setiausaha PPI dan tahu karakter
sebenar setiap ahli/pemimpin PPI. Apa yang berlaku seterusnya? Saya jangka semua
wartawan mula menyoal posisi James dalam PPI. Lalu, James akan beritahu bahawa dia
akan ikut arahan pengerusi baharu untuk mencipta sejarah. Jawapan James akan
membuatkan Mogan mencurigai perlakuan James. — Varatharasan Subramaniam
13. Krishna seorang yang berkaliber dan disegani
masyarakat. Dia juga orang yang dipercayai. Sementara itu, Mogan nampaknya
menangguk di air yang keruh dan mahu perhatian. James disegani masyarakat dan masih
mempunyai pengaruh yang kuat dalam parti. Watak “Aku” pula seorang pemerhati
yang tidak bersetuju dengan Morgan. Saya rasa, Arivalahan akan hanya berdiri
dan menonton/mendengar ucapan Morgan. Kehadira Arivalahan pasti mendapat
perhatian wartawan untuk mengajukan soalan. — Noraziana binti Aziz
Saya rakamkan ribuan terima kasih kepada para pembaca
beta yang sudi meluangkan masa membaca dan memberi reaksi
ikhlas. Pasti sahaja komen rakan-rakan ini membantu saya menjadi penulis yang
lebih baik.
Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]
Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]
Baca juga — Reaksi Pembaca Beta Satu — Reaksi Pembaca Beta Dua — Reaksi Pembaca Beta Tiga — Reaksi Pembaca Beta Empat — Reaksi Pembaca Beta Lima — Reaksi Pembaca Beta Enam. — Reaksi Pembaca Beta Tujuh.